ADIRA

Reaksi Gelaran Playgirl & Isu Putihkan Kulit

EH (Malaysia) - - Muka Depan -

Adira bukan nama baru dalam arena seni suara tempatan. Tidak lama, tidak juga baru. Mula dikenali menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Adira pantas menyemai populariti dan terus diterima baik sehingga hari ini. Biarpun namanya tidak segah penyanyi muda seperti Shila Amzah mahupun Yuna, namun Adira punya kelompok peminatnya yang tersendiri.

Mula dikenali dengan single Aku Ada Kamu, yakni lagu yang dipersembahkan di pentas akhir Akademi Fantasia musim kelapan, lagu-lagu rakaman seterusnya turut mendapat perhatian. Paling meninggalkan kesan tentu sekali duetnya bersama Hafiz menerusi lagu runut bunyi filem Ombak Rindu yang juga mengekalkan tajuk yang sama bagi lagu berhantu tersebut. Malah tidak keterlaluan andai dikatakan lagu itu jugalah yang membuat nama Adira melekat di minda dan suaranya mendapat lebih perhatian.

Selain Ombak Rindu, lantunan suara Adira juga menjadi pilihan untuk drama tempatan, antaranya Ilusi untuk Awan Dania dan Ratuku 2013 untuk Sehangat Asmara dan kerana itu ada yang menggelarkannya sebagai Queen of Soundtrack.

SAINGAN DUNIA NYANYIAN

Hari ini tidak ramai penyanyi wanita yang mampu bertahan, pendatang baru pula sekadar datang dan pergi, malah sebahagiannya terpaksa akur kepada kesuraman dunia muzik tanah air dan akhirnya mencuba nasib dalam bidang lain, lakonan misalnya. Berbanding dunia lakonan, pendatang baru mudah sekali menempa nama, mungkin kerana kerancakkan slot drama di kaca TV membuatkan para penerbit berlumbalumba menghasilkan produk baru dan wajah-wajah baru menjadi strategi dalam menyuntik kesegaran dramadrama mereka. Apa sudah jadi pada dunia muzik sebenarnya? Saya sempat meminta pandangan tentang situasi ini kepada Adira. “Sukar sebenarnya untuk mencari faktor sebenar, dan saya sebagai penyanyi percaya dunia hiburan itu sendiri ada pasang surutnya. Sebagai penyanyi juga sukar untuk kita meramal muzik bagaimana yang peminat mahukan. Ia sesuatu yang sukar dijangka. Dan sebagai penyanyi kita tidaklah boleh sewenang-wenang menukar genre lagu kerana itu adalah identiti kita sebagai penyanyi. Muzik juga seperti fesyen, ada trend tertentu yang hangat dalam satu-satu masa.”

Adira juga tidak bersetuju andai dikatakan bahawa kesuraman dunia nyanyian hari ini berpunca daripada kualiti lagu. Luahnya, muzik itu sangat subjektif dan penerimaan orang berbeza-beza. “Saya memang dikenali dengan lagulagu balada dan pop, dan buat masa ini saya selesa dengan lagu-lagu sebegini. Pada saya selagi lagu itu sedap didengar, Insya-Allah orang akan mudah terima.”

Namun begitu Adira tidak nafikan, seseorang penyanyi perlu menyuntik sedikit trend alunan muzik semasa ke dalam produk mereka agar ia lebih mudah diterima, namun seeloknya biarlah berada dalam lingkungan yang sederhana, usah merubah 100 peratus genre muzik yang dibawa sebelum ini atau melakukan sesuatu di luar kemampuan.

Tambah Adira lagi, persaingan dunia nyanyian sengit, dari masa ke semasa akan ada pendatang baru dan sebagai penyanyi kita harus sahut cabaran. Pendengar dihidangkan dengan pelbagai pilihan dan kita perlu tahu cara untuk meletakkan diri kita. “Strategi saya mudah, saya akan pastikan saya sentiasa ada lagu-lagu baru supaya orang tidak lupa.”

Jika diperhatikan, hari ini kebanyakan penyanyi lebih senang membawakan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri. Shila Amzah misalnya, album barunya dimonopoli oleh lagu ciptaannya sendiri. Begitu juga Yuna dan Najwa Latiff, lagulagu ciptaan dan nyanyian mereka pantas menjadi hit. Mungkinkah kerana mereka tahu kemampuan diri, lantas mereka mencipta apa yang sesuai dengan kemampuan mereka. Pabila diajukan hal ini Adira punya pandangannya sendiri. “Ya, mungkin ada benarnya. Namun saya percaya setiap komposer juga mencipta lagu berdasarkan kemampuan seseorang penyanyi itu. Mereka tidak sewenangwenangnya memberi lagu yang tidak bersesuaian dengan karakter suara seseorang penyanyi. Sebagai komposer tentu mereka mahu karya mereka sedap didengar,” terangnya yang melancarkan buah tangan barunya Februari lalu, iaitu sebuah album penuh yang mengandungi 10 buah lagu termasuk lima buah lagu yang telah dilancarkan single nya terlebih dahulu. Menurut Adira antara komposer yang terlibat dalam album sulungnya ini adalah Aubrey Suwito, Audi Mok, Edry dan Ajai.

“Impian untuk merakamkan lagu ciptaan sendiri itu ada tapi saya tidak meletakkan sasaran waktu tertentu. Bagi saya itu bukan sesuatu yang mudah dan saya sendiri banyak yang perlu dipelajari. Penyanyi-penyanyi lain seperti Shila Amzah memang dikurniakan dengan kebolehan itu, dia juga boleh bermain alat muzik jadi agak mudah bagi dia. Saya mungkin akan ambil masa yang agak panjang. Lihatlah, suatu hari nanti siapa tahu.” Kata Adira dia sangat sukakan lagu-lagu nyanyian Jaclyn Victor, Dato’ Siti Nurhaliza, Hafiz dan Azlan & The Typewriter. Dan dia ingin sekali suatu hari nanti dapat merakamkan lagu duet bersama Jaclyn Victor. “Jac adalah penyanyi pujaan saya, suaranya hebat. Saya cukup mengagumi dia,” tambah gadis kelahiran Ranau, Sabah ini.

“Setelah bergelar penyanyi apa yang Adira rasa, adakah apa yang Adira lalui setakat ini sama seperti apa yang Adira sangka sebelum ini?” “Saya selalu fikir jadi penyanyi itu senang. Namun hakikatnya tidak sesenang yang orang tengok. Sebagai penyanyi banyak benda yang perlu kita korbankan. Kita tidak punya masa yang terluang seperti orang lain, dan ada do’s and don’ts nya, tak semua benda kita boleh lakukan sesuka hati.” Jelas Adira, soal rindu dengan keluarga tidak wujud kerana ramai ahli keluarganya menetap di Kuala Lumpur. “Bila terlalu sibuk dan tiada masa untuk pulang ke Sabah saya akan terbangkan ahli keluarga ke sini. Tapi mak sebenarnya tidak biasa di sini, mungkin sebab tiada kawan. Biasanya selepas dua minggu di KL dia sudah bising. Haha!”

“Bagaimana pula dengan ‘upahnya’, lumayan?” usik saya. “Saya tak nafikan agak mewah, berbaloi dengan apa yang

kita usahakan. Namun tiada jaminan, sebagai selebriti kita perlu fikirkan sesuatu yang akan menyokong kita di masa hadapan. Saya sendiri tidak tahu sampai bila saya akan bergelar penyanyi.”

“Sudah serasi hidup bergelar selebriti?” “Kalau hendak kata tak biasa saya tetap kena biasakan. Hendak atau tidak inilah jalan yang saya pilih,” ujarnya yang bakal menjengah usia 23 tahun September nanti.

Selain menyanyi, Adira ada juga cubacuba berlakon. Tahun lalu dia muncul memegang watak utama menerusi drama Keajaiban Cinta yang mana dia digandingkan bersama penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz. Namun menurut Adira, percubaannya sebagai pelakon adalah sekadar mencuba, dia tidak pernah meletakkan lakonan sebagai fokus. “Setelah mencuba beberapa kali, saya sedar bukan mudah untuk menjadi seorang pelakon. Lebih-lebih lagi soal masa, kadang-kadang seharian di set. Saya cukup respect pada mereka yang bergelar pelakon. Saya tak rasa saya boleh pikul kedua-dua gelaran. Tetapi sebagai penyanyi ada juga cabarannya, paling penting kita perlu jaga kesihatan. Tidur dan rehat mesti cukup, kalau tak cukup tidur memang akan beri efek pada suara.”

“Tidak mahu cuba mengacara?,” tanya saya lagi. “Oh tidak! Slang Sabah saya masih pekat, saya tak rasa saya boleh jadi pengacara yang bagus. Saya masih lagi dalam proses membiasakan cara orang Semenanjung bercakap. Seronok sebenarnya belajar biarpun ada juga yang kata saya lupa diri. Bukannya saya lupa diri, saya bercakap bahasa Semenanjung di sini, jadi bukanlah lupa diri namanya. Jika saya cakap cara orang Semenanjung pabila pulang ke Sabah, ya itu lupa diri maknanya. Haha!”

PERSIAPAN MASA DEPAN

Penghujung tahun lalu Adira melancarkan produk kecantikannya sendiri yang dinamakan dengan Adira Beauty Signature. Sebagai pembuka langkah, Adira memperkenalkan sabun kecantikan yang boleh digunakan pada wajah dan juga badan. “Seperti saya cakap tadi, saya sendiri tidak tahu sampai bila saya mampu dan mahu jadi penyanyi, jadi inilah salah satu back up saya di masa hadapan. Buat masa ini produk ini boleh dibeli secara online. Saya juga punya HQ di Melaka. Setakat ini Alhamdulillah

respons yang diterima agak memuaskan. Tetapi jangan salah faham ya, sabun ini bukanlah untuk putihkan kulit tetapi lebih kepada menyelesaikan masalah kulit, jerawat misalnya.”

Saya faham mengapa Adira mahu mengingatkan para pengguna produknya, kerana memang ramai yang bertanyakan bagaimana dia boleh memiliki kulit secerah itu. Malah, jurusolek Bong, jurugambar Eric dan pendandan rambut penggambaran kali ini, David dan Bibian masing-masing bertanyakan soalan yang sama. Malah mereka membanding-bandingkan kulit mereka dengan Adira. “You buat apa sampai boleh putih macam ini. Kulit you putih macam kertas,” gurau Bong. “Orang memang selalu tanya kenapa saya putih, malah ada yang cakap saya suntik untuk putih macam ini. Tidaklah. Dulu masa mula-mula masuk Akademi Fantasia memang orang nampak saya tidak seputih ini kerana dulu saya baru sahaja habis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kalau buat suntikan boleh putih, mesti kakak saya putih macam saya juga,” ujarnya sambil menunjukkan jari ke arah kakaknya yang menemaninya hari itu. “Saya banyak ikut ayah, dia pun cerah seperti saya.”

“Mengapa produk kecantikan, mengapa bukan membuka butik pakaian atau restoran misalnya?”, soal saya lagi. “Selama ini sudah ramai yang menggunakan wajah saya sebagai pelaris produk mereka, walhal saya tidak menggunakan produk mereka. Jadi bila difikir-fikir, lebih baik saya buat produk sendiri.”

“Saya akui saya tidaklah hebat dalam hal-hal berkaitan menghasilkan produk kecantikan namun saya bersyukur kerana saya punya orang-orang berpengalaman yang membantu saya,” tambahnya lagi. “Jadi Adira tidak buat apa-apa langsung?” “Bukanlah tidak ambil tahu langsung, saya banyak berkongsi pandangan dari segi bau, warna serta

packaging. Soal promosi ada juga.”

MUDAH JATUH HATI?

Sebagai selebriti memang sukar untuk menyembunyikan hal-hal peribadi, dan sukar untuk menafikan bahawa pengikut dunia hiburan ada kalanya lebih berminat untuk mengetahui kisah peribadi selebriti pujaan mereka selain soal-soal kerja. Bahkan senario ini bukan hanya berlaku di Malaysia, di mana-mana sahaja. Di Hollywood misalnya orang lebih tertarik untuk mengetahui kisah peribadi mereka. Jadi tiada apa yang hendak dihairankan.

Namun mungkinkah kisah-kisah peribadi mampu melonjakkan nama seseorang selebriti dan adakah benar selebriti tidak boleh bergantung pada album, drama mahupun filem untuk terus popular? Saya mintakan pandangan Adira tentang situasi ini. “Sebagai selebriti kita memang perlu sediakan diri untuk berhadapan dengan senario ini. Memang ada kemungkinan kita akan berhadapan dengan cerita-cerita yang tak sedap didengar dan tiada bukti kebenarannya, namun pada saya yang paling penting adalah kepercayaan keluarga. Bila keluarga percaya pada kita, maka tiada apa yang perlu dirisaukan kerana mereka lebih kenal kita berbanding orang luar.”

“Bagaimana pula dengan label ‘Playgirl’ yang pernah diberikan pada Adira sebelum ini?” soal saya mencungkil perasaannya terhadapan gelaran yang kurang enak itu. “Saya tiada kuasa untuk mengawal apa yang orang cakap atau fikir tentang saya. Pada saya, orang tidak boleh terus mengatakan itu dan ini jika mereka tidak kenal seseorang dengan dekat. Pabila saya berkawan dengan mana-mana lelaki tak semestinya saya punya hubungan yang istimewa. Ada yang betul ada yang tidak. Memang cerita mahupun gelaran sebegini sedikit sebanyak mengganggu saya namun saya lebih senang berdiam diri, kerana pada saya kalau cakap banyak pun tak mengubah apa-apa.”

“Jadi, sekarang Adira sudah ada yang punya atau tidak?” soal saya memandangkan ramai yang mula menyedari hubungan rapatnya dengan seorang lelaki, lebih-lebih lagi pengikutnya di Instagram. “Saya tak mahu komen

lebih-lebih soal itu. Kalau yang tahu, tahulah. Kadang-kadang tak semua benda boleh dikongsi, sebahagiannya biarlah kita simpan sendiri.”

“Saya orangnya cukup ringkas dan mudah sekali bergaul,” jawab Adira saat saya melemparkan soalan bertanyakan tentang personaliti dirinya. “Saya juga bukanlah seorang yang mudah punya perasaan marah, jika ada sesuatu yang boleh menimbulkan rasa marah saya lebih senang berdiam diri sahaja. Namun sebagai manusia setiap kesabaran ada batas, ada masa memang kita perlu luahkan,” tambahnya lagi.

“Bagaimana pula dari segi selera fesyen?” “Pada hari-hari biasa saya senang dengan gaya ringkas. Tetapi untuk persembahan ramai yang sukakan saya tampil dalam gaya feminin, bergaun kembang misalnya. Biasanya saya serahkan kepada pereka fesyen untuk rekakan dan mereka selalu mencipta ilham gaya berdasarkan lagu yang saya persembahkan.” Menurut Adira dia bukanlah seorang kaki

shopping. Jarang sekali dia keluar membelibelah, biasanya dia akan keluar sekali dan membeli untuk ‘stok’ beberapa bulan. “Saya suka mengumpul kasut dan tidak suka memakai aksesori kerana saya alah kepada metal. Satu-satunya aksesori yang saya suka pakai hanyalah jam tangan.”

Melihatkan tubuhnya yang genit, bilang Adira dia tidak pernah menyekat makan. Dia masih makan seperti biasa, cuma pabila berasakan berat badannya naik dia akan kurangkan

portion. “Saya sejak kecil memang tak makan sayur. Begitu juga suplemen, susah untuk saya disiplinkan diri mengambilnya, selalu saja terlupa. Saya sukakan buah-buahan, setiap hari mesti makan buah.” Untuk aktiviti fizikal pula, jelas Adira biasanya dia akan luangkan masa tiga kali seminggu untuk berenang.

“Pada Adira sebagai selebriti perlu ke tampil cantik sentiasa, maksudnya berhias cantik walaupun sekadar keluar makan?” “Tentu sekali, sebagai selebriti penampilan perlu sentiasa dijaga. Tidak semestinya perlu bersiap seperti ke majlis, cukup sekadar tampak kemas, bersih dan tidak selekeh. Bukan selebriti sahaja, orang biasa juga perlu sentiasa jaga penampilan. Paling penting penampilan mestilah sesuai dengan tempat.”

Perbualan saya malam itu berakhir serentak dengan penggambaran. Dan ya, hasil perbualan singkat itu memang benar Adira memang bijak bergaul dan menyesuaikan diri dengan persekitaran. Moga tuah akan mengiringnya agar kurniaan bakatnya tidak sia-sia.

Baju off shoulder & skirt: RALPH LAUREN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.