MENGAPA KITA PREJUDIS? Manusia tidak dilahirkan sempurna. Pasti ada kurang dan celanya namun kita masih menilai tanpa pertimbangan yang betul.

EH (Malaysia) - - Etika -

Carmen Rendon dalam artikel yang bertulis Why We Shouldn’t Judge People On First Impressions menulis – pandangan pertama atau first impression terhadap individu yang kita temui pasti akan terbit dan seringnya ia berkait rapat dengan imej fizikal individu. Rendon juga menyebut ia sebagai the inconvenient reality yang mencipta andaian awal yang mungkin salah percaturannya.

Budaya pop yang merupakan subbudaya yang banyak mempengaruhi pemikiran dan cara hidup manusia secara total. Sebagai contoh filem pop cult 80-an Sid & Nancy yang memaparkan gaya hidup anak kugiran yang hidup bergelandangan tanpa arah dan memberontak. Perkara begini menurut Rendon sebagai pendedahan kepada budaya judgmental sosio-budaya dunia. Hal ini sebetulnya bukan sesuatu yang bagus kerana ia membawa manusia menilai manusia lain dengan percaturan fizikal. Contohnya jika seseorang anak muda itu kelihatan memakai jean koyak dengan kemeja-t dengan logo pelik mereka akan dianggap menjalani kehidupan yang serupa dengan watak dalam filem Sid & Nancy tadi.

Satu kajian yang dilakukan laman sesawang Scientific American menulis penilaian yang dilakukan pada tahap awal biasanya salah dan hal ini yang dipanggil sebagai pemikiran yang stereotaip. Kita menilai berdasar pengalaman dan pengamatan daripada kesilapan orang lain yang pernah kita lihat dan dengar. Hasil daripada kajian ini mendapati dua kelompok berbeza. Satu kelompok normal (warm) dan satu kelompok yang dipanggil cold. Mereka yang berada di kelompok cold paling mudah menilai dan membenci.

Peristiwa 9/11 yang menarik emosi masyarakat dunia juga antara faktor kita mudah menilai dan membenci. Masyarakat Arab tercalar imejnya dan dianggap sebagai pengganas. Epidemik ini jika dilihat pada skala besar dunia memang sudah lama melekat dalam diri setiap individu dan membentuk satu pemikiran yang tidak sihat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.