PERIHAL KELUARGA

EH (Malaysia) - - Anda&dia -

Selepas insiden suaminya membunuh diri atas desakan dan tekanan, kasih sayang keluarga ini diuji. Violet adalah ketua keluarga sekarang namun dia tidak mampu untuk membahagiakan anakanaknya seperti apa yang sepatutnya dia lakukan. Barbara (Julia Roberts) cuba memulihkan keadaan keluarga yang kucar-kacir namun dek kerana sikap baran yang ada dia juga gagal. Selain Barbara keluarga besar ini mempunyai Bill, Mattie, Steve, Ivy, Karen, Charlie dan Jean. Satu per satu meninggalkan Violet kerana tidak mampu lagi bertahan dengan sikapnya.

Cereka yang ditulis oleh Tracy Letts ini membawa saya jauh berfikir. Adakah tindakan anak-anak Violet ini sesuatu yang betul? Adakah hanya kerana sikap ibu yang di luar kawal membuatkan kita hanya membiarkan mereka bersendirian? Secara peribadi saya tidak rasa itu cara yang betul. Ada hemah yang lebih baik selain daripada membiarkan saja mereka sendiri begitu. Namun apa yang ditulis Tracy Letts ini mungkin hanya budaya masyarakat barat (semoga tidak berlaku di sini) untuk kita renungkan apa tanggungjawab kita sebenarnya. Drew Barrymore secara terang berkongsi tentang masalah yang wujud antara dia dan ibunya dalam satu temu bual bersama penulis Marie Claire dalam isu Februari yang lalu. Barrymoore turut memberitahu teman-temanya adalah individu yang lebih penting dalam hidupnya berbanding ibu atau ahli keluarga lainnya. Hal ini bukan sesuatu yang pelik jika di Hollywood. Aktres seperti Angelina Jolie dan Oprah juga pernah menyuarakan masalah mereka dengan ibu kandung yang melahirkan. Ini bukan cara kita tetapi masih terjadi pada sebilangan artis kita. Bukan mahu mengungkit apa yang jadi, sekadar contoh cerita sengketa seorang selebriti dan ibunya dek kerana kekasih sepatutnya bukan perihal yang harus dikongsi dengan umum. Begitukah cara yang betul menyelesaikan masalah yang ada?

Miskin sekali adab generasi millennial hari ini. Dengan ibu sendiri kita boleh berbuat begitu apa pula dengan orang luar yang tiada perkaitan darah. Dalam apa jua jenis perhubungan pasti akan adanya sengketa. Bak kata pepatah Melayu, sedangkan lidah lagi tergigit. Kita lebih mementingkan sahabat dan kekasih biar kadang jika kita susah belum tentu ada seorang pun teman yang akan setia membantu.

Keluarga jadi nombor dua hari ini. Entah di mana silapnya kadang bagi sesetengah individu pertalian keluarga itu tidak begitu dirasai. Meminta bantuan daripada ahli keluarga sendiri kadang lebih sukar untuk meminta bantuan daripada orang luar. Beberapa insiden begini banyak terjadi hari ini. Sama ada cara kita dibesarkan, persekitaran hidup yang memaksa atau nilai kekeluargaan tidak diterapkan sejak dari kecil.

Seorang abang tidak lagi peduli perihal adik atau seorang ayah yang hanya melepaskan tanggungjawab mendidik pada guru di sekolah antara faktor nilai kekeluargaan semakin menipis. Hal-hal begini yang mencipta epidemik sosial yang bermacam-macam. Jika tidak masakan enam remaja yang sangatsangat muda dibiar nyawa mereka diragut dadah baru-baru ini.

Jika si abang mengambil tahu perihal adiknya atau si bapa tidak semudahnya melepas tanggungjawab mendidik pada guru semata hal ini saya kira tidak akan terjadi. Tidaklah pula saya menuding jari 100 peratus kepada ibu bapa atau ahli keluarga semata kerana realitinya hari ini remaja kita terlalu sukar dikawal. Kemahuan yang pelik-pelik dengan teknologi yang pelbagai juga memudahkan epidemik sosial semakin mudah terjadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.