PENGERTIAN RAYA HARI INI

Tamat puasa, lebaran disambut. Tangan dihulur, maaf dipinta. Dan selepas itu?

EH (Malaysia) - - Etika -

Laju masa berlalu, lebaran yang lalu masih kekal segar di ingatan sambutannya. Puasa yang kita tinggal tahun lalu sudah diganti belum? Dan Syawal datang lagi untuk kita meneruskan tradisi memaafkan dan memohon kemaafan. Cuma sejauh mana pengertian Syawal ini betul-betul difahami? Adakah sekadar meraikan atau mendapat pelajaran setelah sebulan berpuasa? Apa yang pasti saban tahun raya terus dirai dengan makanan, pakaian dan perkakasan rumah serba baru.

Syawal di zaman serba-serbi moden ini sebetulnya dalam tidak sedar menjauhkan hubungan ‘fizikal’ yang biasa atau sepatutnya kita sesama manusia lakukan. Disebut sebagai silaturahim tetapi pengertiannya hilang dek telefon pintar, tablet dan peranti teknologi yang lain. Jika diimbas kembali zaman saya membesar, Syawal dirai dengan mengunjungi jiran dan saudara jauh kerana masa ini sahaja yang ada untuk satu hubungan yang jauh didekatkan. Jangan sesekali menolak pelawaan kedua ibu bapa atau ahli keluarga lain. Silap hari bulan akan dimarahi atau dianggap sombong. Biar kadang dalam keterpaksaan pergi jugalah kita berkenal-kenalan dengan sepupu atau dua pupu yang tidak pernah kita kenal selama ini. Daripada a total stranger kita menjadi saudara dan ada juga kes di mana hubungan yang asalnya kenalan rupa-rupanya punya pertalian darah.

WESTERNIZED PARENTS

Di sinilah hebatnya Aidilfitri. Hubungan kita didekatkan dan sedar kadang betapa kecilnya dunia ini orang yang pernah kita jumpa sekali dua atas urusan kerja atau kenalan rupanya saudara sedarah kita. Namun hal ini berbeza. Ibu bapa moden kadang menurut sahaja jika anak mereka tidak mahu menghadirkan diri di majlis keluarga. Jadi bagaimana hubungan silaturahim generasi ini akan diteruskan? Kita sekadar berteman virtual semata. Mengucap selamat di Facebook dan Instagram atau memohon maaf di Twitter bagi saya tidak bermakna apa-apa.

Melihat ibu bapa muda hari ini membesarkan anak mereka dengan kemewahan teknologi sebenarnya menjadi faktor mengapa mereka tidak lagi kenal saudara. Mahu senyapkan anak kecil yang menangis hari ini mudah, berikan saja tablet dengan permainan video senyaplah mereka. Namun sampai bila? Jika di majlis keraian keluarga juga begitu. Anak-anak kecil semua sibuk dengan telefon pintar ibu bapa mereka. Tidak lagi bermain berkejar-kejaran atau bergelak tawa sesama sendiri. Mereka tidak lagi ditegaskan untuk bermesra dan mengenal dekat saudara mara. Bersalaman sekadar ucapan selamat atau mahu melangkah pulang.

KENAPA IA PENTING?

Selain mengeratkan silaturahim yang ada, ia penting untuk anda kenal asal-usul. Banyak daripada anak muda kita hari ini menjadi liar dan terbiar kerana tidak tahu asal usul. Tidak tahu adab dan tidak pandai membawa diri bila berada dalam kelompok komuniti berbeza. Semoga Syawal tahun ini akan berbeza ceritanya. Make an effort untuk mengenal saudara, mengenal asal-usul datuk nenek kita. Anda akan sedar betapa ‘cantik’ nya budaya kita dan akan faham mengapa Hari Raya itu lebih daripada memakai baju yang cantik dan bersalaman di pagi raya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.