KELANGSUNGAN TEKNOLOGI MOBILITI

ASUS melancarkan rangkaian telefon pintar ZenFone mereka secara besar-besaran di Jakarta. EH! turut serta dalam pelancaran rasminya.

EH (Malaysia) - - Tekno -

Terkenal sebagai pengeluar notebook terkemuka, ASUS memperkenalkan siri telefon pintar pertama seumpamanya bagi jenama ini baru-baru ini. Bertempat di Hotel Pullman, Jakarta – menyaksikan pelancaran rasmi tiga siri utama ZenFone iaitu ZenFon 4, ZenFone 5 dan ZenFone 6 bagi zon Asia Tenggara.

ASUS ZenFone hadir dengan rekaan moden yang menggunakan material berkualiti tinggi dengan teknologi yang disebut sebagai ZenUI. Saiz empat incinya dengan skrin sesentuh yang lengkap dengan sensitiviti jari cukup memuaskan sekali gus memudahkan pengguna yang mahu mengalih dari satu folder kepada folder yang lain. Melengkapkan ciri-ciri moden yang ada pada telefon pintar ini, ASUS ZenFone hadir dalam pilihan warna pop yang cukup menarik perhatian. Daripada pilihan warna asas seperti putih dan hitam, kepelbagaian warna pada telefon pintar ini diperluaskan pada warna terang lain seperti ungu, kuning dan merah. Jika mahu dibandingkan dengan jenama lain saya kira hanya siri Nokia Lumia sahaja yang berani mengeluarkan telefon pintar dalam rona begini kerana ramai akan memilih warna asas hitam dan putih sebagai pilihan utama.

TEKNOLOGI ZEN UI

Teknologi antara muka (interface) yang disebut sebagai ZenUI ini dicipta eksklusif bagi siri ini. Rekaan visualnya lebih menarik dengan menekankan tiga kunci utama buat pengguna iaitu freedom, expression and connection. Apa yang dimaksudkan dengan tiga elemen ini? Tentu sekali kerana rekaan antara mukanya yang hadir dengan ikon menarik, kejelasan warna pada skrin dan sistem bunyi yang jelas terutama bagi notifikasi bagi aplikasi tertentu. Dua fungsi lain yang menarik yang ditawarkan adalah What’s Next dan Do It Later memudahkan pengguna dalam menguruskan urusan harian dengan lebih sistematik.

PIXEL-MASTER!

Apalah erti sebuah telefon pintar tanpa fungsi kamera yang bagus. Dan ini juga adalah kelebihan yang ada pada ASUS ZenFone. Dua mode paling penting bagi sebuah telefon pintar hari ini adalah bagi memastikan pengguna dapat merakam imej selfie dengan mudah dan kedua fungsi depth of field yang membolehkan imej dirakam bak menggunakan kamera berteknologi tinggi. Dan kedua-dua fungsi ini sempurna pada siri ZenFone. Dilengkapkan dengan fungsi low-lightmode membolehkan pengguna merakam imej pada pencahayaan minimum. Saya melihat sendiri bagaimana imej dirakam dalam satu demonstrasi yang diadakan pada majlis pelancaran dan hasil daripada itu, imej yang dirakam masih jelas pada resolusi yang cukup memuaskan.

ZENFONE 5 RM599 ZENFONE 6 RM899

ZENFONE 4 RM299

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.