Terima Kasih...

EH (Malaysia) - - Contents - Khairul Abidin PENGARANG majalaheh@bluinc.com.my

Saya menulis artikel ini beberapa hari selepas berlangsungnya Anugerah Stail EH!. Lega, kerana apa yang dirancang berjalan lancar, dan rata-rata yang hadir cukup seronok kerana membuat keputusan untuk hadir ke majlis kami. Malah, biarpun sudah beberapa hari berlalu saya masih lagi menerima ucapan tahniah dan terima kasih menerusi kiriman WhatsApp daripada sebahagian tetamu yang hadir.

Tambah manis, ramai juga yang mengirim WhatsApp, e-mel malah menelefon mengucapkan syabas kepada EH! kerana menerbitkan sebuah buku kecantikan yang serbaserbi cantik. Dalam tercungap-cungap menyiapkan edisi bulanan EH!, team EH! terpaksa mencuri-curi masa dan terkejar-kejar menyiapkan buku Rahsia Cantik 15 Selebriti yang dilancarkan pada malam yang sama. Terima kasih juga kepada semua selebriti yang sudi meluangkan masa datang ke penggambaran, membalas e-mel biarpun ada yang terkejut dengan soalan yang panjang berjela-jela, juga ada yang sudi berbual di telefon hampir satu jam untuk menjawab segala soalan. Saya takkan lupa pengalaman menyambut Fasha Sandha di pintu studio, tercungapcungap dia mendaki tangga studio Verve, biarpun demam dan hamil tiga bulan, sedikit pun dia tidak merungut. Begitu juga dengan Misha Omar, dalam sibuk menyiapkan majlis perkahwinannya, sudi mencuri masa untuk bersama kami di studio.

Semua kemanisan yang kami kecapi hari ini juga bukan datang bergolek. Saya bersyukur kerana anak-anak buah saya bukanlah jenis berkira kerja, saling membantu dan kuat semangat kerja. Istilah masuk jam 9, pulang jam 6 tidak pernah ada. Walaupun mungkin ada kurangnya di sana sini, kami bangga kerana semuanya dibuat sendiri (tanpa ada seorang pun contributor).

Dan ini semuanya juga atas izin Tuhan, jika segunung usaha tapi tiada izin-Nya mana mungkin semua ini akan berhasil. Sebagai manusia usah kita lokek mengucapkan terima kasih. Sebaik sahaja mendapat apa yang kita mahu cepat-cepat bersyukur biar sekecilkecil nikmat yang dikurniakan. Usah terlambat berterima kasih, kerana dua patah perkataan itu besar maknanya. Dan masih ramai juga orang yang masih keras lidahnya mengucapkan dua perkataan itu. Kadang-kadang bukan duit, bukan hadiah yang diminta sebagai balasan, ucapan terima kasih itu sendiri sudah besar ertinya. Tanya pada diri kita, dalam sehari berapa kali kita ucapkan terima kasih kepada ibu kita sendiri. Adakah kita ucapkan terima kasih kepada emak kita setiap kali dia membangunkan kita di waktu pagi, menyediakan sarapan atau makan malam? Saya mengaku, saya sendiri selalu juga terlupa walhal mengucapkan terima kasih kepada emak sendiri bukanlah sesukar mana. Semoga dengan ketibaan Ramadan ini akan mengajar kita untuk lebih bersyukur dan tahu menghargai setiap nikmat juga pertolongan.

Selamat berpuasa dan salam Aidilfitri.

Gambar: Aaron Lee (LENSWORKS) Baju: Rizalman Ibrahim

M/S 22

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.