Izara Aishah

DENGAN DERETAN FILEM MENANTI WAKTU TAYANGAN SERTA TANGGUNGJAWAB SEBAGAI DUTA KEPADA EMPAT PRODUK TERNAMA, IZARA KINI SIAP SEDIA KEMBALI. BETTER THAN EVER!

EH (Malaysia) - - Contents - Khairul Abidin Ishak Yana Baharudin TEKS & PENYELARAS PENATA GAYA Yantie Basharudin PENGARAH KREATIF PEMBANTU Asron lee (Lensworks Studio) Khir Khalid GAMBAR SOLEKAN DANDANAN

Sebenarnya lama sungguh saya tidak bertemu Izara Aishah. Jika membabitkan hal kerja inilah kali pertama saya bertemunya selepas merakamkan gambarnya untuk muka depan EH! edisi Disember 2012. Kemudian, sekali di majlis perkahwinan teman baiknya. Selebih itu, sekadar bertegur sapa di Instagram juga sekali-sekala berhubung melalui WhatsApp.

Dan kerana sudah sekian lama tidak bertemu, saya bagaikan hilang idea memikirkan soalan apa yang mahu ditanya pada hari penggambaran. Saya mahu berbual kosong tanpa mencoretkan apa-apa. Banyak cerita juga berita peribadi mahu dikongsi, saling update each other.

Sebelum ketibaan Izara ke studio, awal-awal lagi kami sudah susun berpasang-pasang busana untuk dia gayakan, dan kesemuanya rekaan pereka terkenal, Rizalman Ibrahim. Malah, kurung moden rona biru yang Izara gayakan untuk penggambaran kali ini direka khas oleh Rizalman untuk penggambaran EH! selepas saya memujuknya mencipta gaya raya moden untuk penggambaran EH! ini. Terima kasih banyak-banyak Rizalman.

SEDIKIT DILUPAKAN

Saya bertemu Izara empat hari selepas penggambaran. Kami bertemu di The Ascott. Sambil dia disolek Emmy Agung dan didandan Chez Hamdan untuk bersiap-siap ke Anugerah Bintang Popular, saya setia duduk di sebelahnya bertanya dan mencatat setiap butir jawapannya. Temu ramah tambah santai dengan iringan lagu-lagu soundtrack filem The Great Gatsby yang melatari sesi temu bual ini.

“Ke mana Zara menghilang selama ini? Senyap sunyi, sukar sekali melihat kelibat Zara di kaca TV,” tanya saya membuka bicara. Mesra disapa Zara, dia menjawab, “Zara bukan menghilang, sibuk dengan penggambaran filem. Dan kebanyakan filem yang Zara lakonkan masih belum ditayangkan. Selepas Vanila Coklat banyak pula tawaran berlakon filem yang datang. Bermula dengan KL Zombie, terus-terusan tawaran filem datang.” Tahun ini khabarnya empat filem lakonannya menemui penonton, salah satunya ialah Sejoli yang menjengah panggung awal tahun ini. Tiga lagi filemnya masih lagi menunggu giliran, iaitu Showdown The Movie, Gangster Rock dan Pilot Café.

“Tetapi berlakon drama lebih impactful dan dekat dengan penonton kan?” “Itu Zara tak nafikan, memang drama lebih dekat di hati peminat lebih-lebih lagi drama bersiri. Zara akui hakikat itu, malah Zara sendiri orang kenal menerusi drama Vanila Coklat. Malah bila Zara keluar dengan drama Tollgate Asmara bersama Keith Foo baru-baru ini, respons yang diterima sangat baik. Zara akui memang peminat Zara dah kurang, tapi Alhamdulillah penerbit dan produksi tidak pernah lupa pada Zara, jika ada projek baru mereka tetap akan

call Zara, sekurang-kurangnya Zara sentiasa ada kerja walaupun orang tak nampak apa yang Zara buat. Sebagai pelakon tentunya Zara ingin mencabar kebolehan diri. Menerima tawaran berlakon pelbagai genre filem adalah satu cabaran yang Zara nanti-nantikan selama ini, jadi bila peluang datang mengapa perlu tolak?”

Mendengarkan jawapannya itu membuat saya menyusulkan soalan berikutnya. Sebagai pelakon baru tidak kah dia bimbang tentang kualiti lakonannya, penonton belum dapat memberikan feedback penuh kepada lakonannya memandangkan kebanyakan filem yang dilakonkannya belum menemui penonton. Apa yang membuatkan dia yakin untuk terus menerima tawaran yang datang. “Seperti Zara cakap tadi, sebagai pelakon Zara mahu mencabar bakat yang ada pada Zara. Dan jika betul-betul peminat mahu menilai Zara, Zara harap mereka boleh berikan komen yang jujur pabila menonton Pilot Café yang bakal ditayangkan hujung tahun ini. Ini antara filem yang menonjolkan Zara sebagai teraju utama, jadi kebolehan Zara lebih teruji berbanding filem-filem lain.

“Apa faktor yang membuatkan Zara menerima sesuatu tawaran?” soal saya. “Tentu sekali skripnya. Pada Zara skrip sangat penting, jika jalan cerita menarik dan skripnya kuat mengapa perlu tolak. Kemudian barulah Zara tanyakan siapa pengarahnya. Soal dengan siapa Zara berlakon bukan perkara penting, Zara tak kisah sangat.”

“Pernah atau tidak, projek yang Zara lakonkan hanya ‘cantik’ pada skrip namun hasilnya tidaklah seindah diharapkan?” “Hmmm…. ada juga. Bila baca skrip seronok sekali, tetapi bila sudah siap, jauh dari yang diharapkan.”

Tambah Izara, dia baru sahaja menyempurnakan penggambaran filem Sinaran, iaitu sebuah filem muzikal arahan Osman Ali dan difilemkan sepenuhnya di Singapura. Filem yang menggandingkannya dengan Lisa Surihani itu diterbitkan oleh syarikat produksi sana. “Jadi bagaimana pengalaman bekerja dengan produksi negara jiran. Ada beza?” “Tidak banyak beza, namun

Zara tak nafikan orang kita sebenarnya tidak kalah dalam soal produksi,” balasnya yang menghabiskan masa hampir tiga bulan untuk menyudahkan penggambaran filem ini.

“Selepas ini apa lagi?” “Insya-Allah selepas raya nanti Izara akan turun ke lokasi untuk penggambaran drama bersiri 60 episod untuk Astro.

LIMA TAHUN YANG BUKAN MUDAH

Pejam celik pejam celik sudah lima tahun Izara Aishah terjun ke dunia hiburan. Bermula dengan pertandingan Dewi Remaja, hari ini Izara Aishah antara pelakon generasi baru yang sedang diperhatikan. Walaupun masih hijau, namun tentunya sudah banyak pengalaman dikutip sejak hari pertama dia dikenali umum.

“Apa yang Zara belajar dalam lima tahun ini?” tanya saya. “Zara kena be firm dan strict dalam soal tawaran kerja. Zara kena kuat dan tidak boleh lembik, nanti orang akan pijak kepala. Kita tidak boleh bagi ruang untuk orang ambil kesempatan.”

“Dari segi gaya hidup pula?” “Zara akui sebagai selebriti, lima tahun yang awal ini dikira agak menyeksakan. Sejujurnya bukan mudah untuk membiasakan hidup sebagai seorang yang dikenali. Ke mana sahaja kita pergi, apa yang kita buat, apa yang kita pakai akan jadi perhatian dan penilaian orang yang memandang. Zara tak nafikan pada awalnya ia agak merimaskan. Tetapi, Zara juga akui kerana gelaran selebriti itu juga banyak memberi kebaikan kepada diri Zara sendiri. Zara rasakan Zara matang lebih cepat dan hidup juga lebih teratur.”

“Awal-awal dulu memang ada rasa nak patah balik kepada kehidupan biasa. Zara rasa lemas. Lama-kelamaan Zara sedar lakonan adalah cinta Zara, jadi ini adalah harga yang perlu dibayar,” tambah gadis berusia 22 tahun ini.

Kehidupan sebagai selebriti itu banyak warna dan ragamnya. Sama seperti manusia lain, selebriti juga punya variasi attitude nya. Dan tidak semua orang bisa memahami gaya hidup selebriti, waktu kerja pun sudah berbeza, perhatian yang diberikan oleh orang sekeliling juga menambah jurang perbezaan selebriti dengan orang biasa. Dan tidak dinafikan apa yang mereka lalui itu membentuk personaliti diri, positif atau negatif terpulang pada diri sendiri.

Saya sendiri sempat bertanyakan pada Izara, mudahkah dia membiasakan diri dengan gelaran selebriti. “Seperti Zara cakap tadi, pada awalnya bukan senang, namun lama-kelamaan kita akan belajar dan faham.” “Bagaimana pula bergaul dengan selebriti? Boleh ‘layan’ tak?,” aju saya lagi. “Sejujurnya kawan-kawan rapat Zara bukan dari golongan selebriti. Bukan sombong atau memilih, tetapi Zara sudah selesa dengan teman rapat yang Zara ada. Sampai ke hari ini Zara kekal berkawan dengan dua teman yang Zara kenal sejak sekolah rendah lagi. Jika dengan selebriti, Zara lebih senang berkawan di set, bertemu di event dan bertegur sapa di laman sosial. Zara berkawan tetapi tidak rapat.”

“Mengapa pula? Bukan lebih mudah, kerana sama-sama di lapangan yang sama, interest juga tidak banyak beza?” “Kalau tak biasa, Zara takut mudah wujud salah faham,” balasnya.

Sebelum terlibat dalam satu-satu bidang tentu kita meletakkan satu jangkaan, membayangkan perkara-perkara indah yang biasanya kita perhatikan secara zahir. Sama juga seperti bekerja, sebelum menyertai sesuatu syarikat kita sudah mencoret pelbagai angan-angan, di dalam minda hanya fikirkan yang positif sahaja. Begitu juga dengan Izara. Bilangnya, sewaktu mula-mula terlibat dalam dunia lakonan dia sangka semua orang akan faham dan terima dirinya seadanya, tetapi tidak. “Sebelum Zara jadi pelakon Zara memang tak baca gosip, Zara fikir orang hanya akan tengok lakonan kita sahaja tanpa punya interest untuk tahu perkara-perkara peribadi, atau ambil kisah perkara-perkara lain yang tidak berkaitan dengan lakonan, kenyatannya berbeza. Zara bermula pada usia yang sangat muda, tidak pernah terfikir tentang hal atau tanggungjawab lain yang dipegang selebriti.”

Sebagai selebriti, hal gosip juga tidak dapat dielakkan, sekuat mana perisai yang digunakan namun gosip tetap berjaya menembusi. Sama ada dicari atau ia datang sendiri, gosip sudah menjadi rencah dalam kehidupan setiap selebriti. Begitu juga dengan Izara, biarpun dia cuba menjaga reputasi namun sekali-sekala cerita yang tidak sedap didengar tetap muncul di media. “Selepas beberapa tahun dalam dunia seni, Zara rasa Zara perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan. Zara akui Zara agak berhati-hati setiap kali ditemu bual media. Zara tidak lagi sewenang-wenangnya memberi komen atau jawapan balas bagi sebarang isu.”

“Zara rasa sebagai selebriti kita perlu lakukan sesuatu. Zara tidak pernah cuba untuk rosakkan karier orang lain, jadi mengapa bila ada orang cuba menjatuhkan air muka kita dengan menulis cerita yang tidak betul kita tak boleh hendak bersuara dan cuba untuk memperbetulkannya. Memang adakalanya kita perlu berdiam diri jika isu yang ditimbulkan adalah hal remeh-temeh, namun jika ada isu yang sengaja dipanjang-panjangkan Zara lebih senang untuk hubungi wartawan itu sendiri dan selesaikan cara baik. Paling mudah, Zara call saja Melodi untuk beri kenyataan. Jika cerita yang disebarkan tidak sahih dan boleh merosakkan periuk nasi, kita kena berdiri dan pertahankan hak kita.”

Jika anda pengikut setia Izara Aishah sejak di awal kemunculannya anda akan sedar bahawa tidak banyak soal peribadi tentangnya yang dikongsi, siapa keluarganya, dengan siapa dia berdampingan atau rutin hidup hariannya. Laman sosialnya juga banyak diisi dengan soal kerja semata, sekali-sekala dia memberi bayangan aktiviti peribadinya, namun tidak menyeluruh. Kata Izara dia memang seorang yang private, dia lebih senang untuk tidak berkongsi hal-hal peribadi secara umum. Jelasnya, sikapnya ini bukan kerana title selebriti yang dipegangnya kini tetapi kerana itu memang sikapnya sejak dulu lagi. “Bukan sebab saya artis saya jadi perahsia, saya memang tak selesa berkongsi cerita yang tak ada kena mengena dengan kerja.”

Pabila ditanya tentang misinya dalam dunia seni, dia menyasarkan mahu menjadi seorang artis yang disegani seperti Datuk Siti Nurhaliza. Dia mahu dihormati dan diangkat kerana bakatnya. “Beri Zara tujuh tahun untuk Zara buktikan pada semua. Zara akan cuba buat diri Zara bangga dengan diri Zara sendiri sebelum usia Zara cecah 30 tahun.”

“Selepas itu apa lagi?” “Tidak terfikir apa yang mahu Zara lakukan lagi, biarlah Zara puas dengan my first love iaitu lakonan. Selepas Zara buktikan apa yang Zara mampu buat barulah proceed dengan benda-benda lain, business misalnya.

KLON MAYA KARIN?

Saya pernah menemu bual Maya Karin suatu ketika dahulu, dan dia mengakui antara pendatang baru yang dilihat punya potensi besar dalam dunia lakonan adalah Izara Aishah. Dan jika anda perasan hari ini, sebahagian jenama

yang pernah menggunakan wajah aktres campuran Jerman itu sebagai jurucakap kini sudah bertukar tangan kepada Izara Aishah, iaitu Nescafe dan Innershine. “Kak Maya sendiri pernah cakap pada Zara, hari ini Zara menyambung apa yang pernah dia buat sebelum ini. Bukan hanya Nescafe dan Innershine, Zara juga ditawarkan untuk berlakon untuk watak pontianak untuk sebuah projek baru. Tetapi jangan ada yang salah sangka, bukan Zara sengaja mahu tiru apa yang kak Maya buat sebelum ini. Malah kak Maya sendiri yang usulkan nama Zara pada Innershine.” Selain dua jenama tersebut, Izara juga dilantik sebagai duta kepada Veet dan terbaru khabarnya dia sudah disunting sebagai wajah kepada sebuah produk kecantikan antarabangsa yang berpangkalan di Jepun pada September nanti.

“Sebagai duta kepada produk yang kita tahu ada kualiti dan nama yang gah kita punya tanggungjawab untuk menjaga nama baik juga reputasi sesebuah produk itu. Setiap tindak tanduk kita mencerminkan prestij sesebuah jenama. Tugasnya tidak mudah.”

“Selain menjaga reputasi dan nama baik kita sendiri serta produk yang diwakili, tugas yang lebih besar adalah untuk menjaga populariti kita. Perlu sentiasa ada produk baru, yakni drama atau filem supaya orang tidak lupa dan kita sentiasa relevan kepada masyarakat.” Pabila mendengar komen Izara itu terus mengingatkan saya kepada Lisa Surihani yang pernah berkongsi pendapat yang sama sewaktu saya menemu bualnya hujung tahun lalu.

“Memang orang kata pendapat sebagai duta lumayan, namun bukan soal wang sahaja yang Zara lihat. Peluang sebagai jurucakap sebenarnya membuka ruang untuk Zara bertemu dengan peminat dan supporters Zara. Bila ada sesi meet

& greet, ruang untuk bermesra dengan peminat itu lebih proper dan terjaga. Dan tentu sekali bila menjadi duta sesuatu produk kita berkongsi sesuatu produk yang berkualiti dengan pengguna, jadi sangat penting untuk cerewet dalam menerima tawaran. Usah dikaburi dengan wang kerana kualiti produk itu yang lebih penting kerana wajah kita digunakan untuk mempromosi produk tersebut, jika tak berkualiti, buruknya orang lihat pada kita dulu.”

NEW FASHION GIRL

Saya tak nafikan Izara Aishah antara selebriti generasi baru yang punya sense

of fashion yang sangat bagus. Tiga kali menjalankan penggambaran bersamanya, dan tiga kali juga dia datang penuh gaya, tidak terlalu beria-ia, tidak terlalu mencuba namun dia nampak menang gaya. Dia juga kami lihat sudah jadi ‘Friends of Melium’ iaitu sebuah organisasi besar tempatan yang membawa pelbagai jenama antarabangsa ke pasaran Malaysia.

“Sejujurnya I feel proud, syukur jika orang nampak Zara. I love fashion dan bila orang-orang fesyen sendiri yang nampak dan senang dengan cita rasa fesyen Zara, itu sudah cukup menggembirakan. Tapi betul ke Zara ni ada gaya.. ha ha ha?” tanya Izara kepada saya. “Eh! mestilah, kalau tak masakan tiga kali EH! ambil jadi

cover girl,” balas saya. “Apa pendapat Zara tentang gaya selebriti Malaysia?” tanya saya. “Kreatif!” pendek jawapannya. “Selebriti Malaysia yang Zara rasa hebat cita rasa fesyennya?” “Tentu sekali Camelia. Dia sentiasa nampak sofistikated dan dia bawa diri dia dengan baik sekali.” Ya, siapa mampu menidakkan cita rasa fesyen Camelia. Pada saya sendiri dia antara selebriti yang cukup effortless namun sentiasa hadir dengan gaya yang ‘wow’ dan tidak jemu dipandang. She got taste! “Siapa pula pereka fesyen tempatan kegemaran Zara?” “Definitely Rizalman Ibrahim,” jawabnya pantas.

MENCARI KESETIAAN

“Susah nak cari lelaki yang setia. Mungkin tak ada.” Itu jawapan Izara saat saya tanyakan padanya tentang lelaki. “Zara mahukan lelaki yang boleh buat Zara

happy, my family happy. Dia mestilah setia dan bertanggung jawab. Zara suka lelaki yang observant, yang peka dengan keadaan sekeliling,” jawabnya sambil ralit mengoles pensel bibir pada bibirnya. Dan bila ditanyakan bila mahu berkahwin, Zara meletakkan harapan untuk berkahwin sebelum usianya mencecah 30 tahun

Lupakan soal lelaki, saya mahu tanya sedikit tentang raya memandangkan edisi ini adalah edisi Aidilfitri. Ujar Izara raya itu bermaksud bermaaf-maafan dengan orang tersayang dan juga masa untuk berkumpul bersama orang yang tersayang. Tahun ini Zara akan beraya di Johor dan bercadang mahu cuti sepanjang bulan Syawal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.