Awas! Backstabber

SABARLAH WAHAI HATI. MUNGKIN ADA HIKMAH DI SEBALIK DUGAAN INI DI KEMUDIAN HARI.

EH (Malaysia) - - Kisah Benar - kisah benar

Masih teringat-ingat babak-babak dari filem keluaran Amerika Syarikat tahun 2011, berjudul Something Borrowed. Ia mengisahkan tentang persahabatan yang akrab akhirnya hancur dek kerana berkongsi cinta dengan seorang lelaki tampan yang jadi pujaan.

Kadang-kadang ada perspektif kasihan yang dilihat dari sudut si perampas, namun bagaikan ada bisikan yang memerintah untuk bersikap sedemikian rupa hanya untuk mendapatkan lelaki yang diiimpikan dari zaman universiti.

Bagi saya, dalam perhubungan sama ada sudah berkahwin atau belum, kedua-dua pihak mahu pun lelaki atau wanita, semestinya bersikap jujur dan setia antara satu sama lain. Setelah itu barulah titik kepercayaan mula terbina dalam perhubungan. Sering kita dengar, tanpa kepercayaan apa gunanya sebuah hubungan.

Ya, ia benar bagi saya tanpa adanya kepercayaan antara satu sama lain dalam sesebuah perhubungan, sama seperti perhubungan yang sia-sia dan tiada hala tuju. Tetapi, apakah pula jika satu kepercayaan yang telah terbina hancur apabila orang yang disayangi menghancurkannya dengan sekelip mata? Bukankah ia satu perkara yang amat ditakuti dalam sesebuah perhubungan yang telah terjalin, apatah lagi yang sudah lama bertahun-tahun bersama. Paling menyedihkan apabila sahabat rapat sendiri yang menjadi dalang.

Itulah yang pernah dilalui oleh seorang sahabat saya. Cinta yang terjalin sejak bertahun akhirnya terpadam dengan tiba-tiba. Kesannya cukup menyakitkan. Tidak disangka hubungan yang terjalin berakhir apabila orang yang disayangi menjalin hubungan secara diam-diam kerana berjauhan selama tiga bulan berada di negara orang.

Kisahnya tidak diduga kerana hubungan kawan saya biasa sahaja antara teman lelaki dengan rakan sekelas teman lelakinya yang juga seorang sahabat dan senior di kolej.

Tiga bulan ke negara orang untuk menyempurnakan pengajian rupanya mereka sudah menjalinkan hubungan di sana tetapi teman lelakinya masih berhubung dengan kawan saya yang berada di Malaysia seperti biasa.

Teman saya mengaku sebenarnya dia sudah merasakan seperti ada yang tidak kena dalam persahabatan antara teman lelakinya dengan sahabatnya yang juga senior di kolej. Hendak pula apabila melihat gambar yang agak intim mereka berdua ketika di Turki. Bila ditanya, teman lelaki itu menafikannya, mana mungkin mereka bercinta kerana teman lelakinya menganggap gadis senior itu sekadar kawan biasa sahaja. Si gadis mula curiga akan kerenah teman lelaki sedikit demi sedikit tapi dalam masa yang sama cuba berfikiran positif.

Pulangnya ke Malaysia adalah hari yang dinanti-nanti bagi kekasih yang setia menanti di tanah air untuk bertemu dengan teman lelakinya. Namun, hampir seminggu sudah pulang ke Malaysia, teman lelakinya asyik menolak pelawaan untuk berjumpa. Katanya sibuk menyelesaikan hal kolej. Panggilan tidak berjawab, tetapi WhatsApp boleh pula dibalasnya. Perubahan teman lelakinya mula ketara dari segi mesej yang dihantar melalui WhatsApp. Si kekasih sabar menanti dan cuba memahami keadaan teman lelakinya. Tanpa sebarang masalah atau konflik dengan tiba-tiba teman lelakinya meminta memutuskan hubungan melalui WhatsApp selepas seminggu pulang dari Turki.

Ditanya alasan, katanya ingin menikmati hidup bujang sebelum berkahwin dan bermacam lagi yang tidak masuk akal bagi si gadis kerana hubungan mereka sudah agak serius bertahan lama dan apatah lagi apabila kedua-dua ibu bapa sudah merestui. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Pastinya ada punca di sebalik peristiwa yang melukakan ini.

Setelah beberapa lama dari saat si teman lelaki menghantar SMS yang mengecewakan itu barulah si gadis mengetahui punca sebenarnya apabila melihat gambar-gambar yang dimuat naik oleh gadis senior kolej yang disangkanya sahabat namun sebenarnya perampas teman lelakinya. Teman saya juga berkata banyak lagi perkara yang mencurigakan antara sahabatnya itu dengan teman lelakinya. Namun, biarlah ia disimpan sahaja kerana tidak mahu membesarkan cerita.

Si gadis yang digelar sahabat dan merupakan juga seniornya di kolej sebenarnya telah block si gadis di Instagram, namun teman saya baru menyedarinya apabila mahu melihat perkembangan temannya di Turki yang juga pergi bersama teman lelaki serta rakan sekelas yang lain untuk menjalani latihan industri sebelum menamatkan pengajian.

Teman saya dalam masa yang kesedihan ditinggal dan dianiaya tetap bersyukur juga kepada Tuhan kerana memberikan petunjuk lebih awal sebelum hubungan yang lebih serius terbina yakni perkahwinan yang pastinya lebih buntu dan menyeksakan. Hampa dan kecewa itulah yang dirasai teman saya, namun lama kelamaan dia menerima hakikat hubungan yang dibina bertahun sudah tidak ada lagi apabila dicurangi oleh orang yang disayangi dan dipercayai.

Kisah benar ini dalam masa yang sama terkandung dua kekecewaan, pertama hubungan jarak jauh yang penuh dugaan dan kedua kawan menikam dari belakang. Mungkin sama dengan kecruangan teman lelaki yang terjadi sewaktu berjauhan menyambung pengajian seperti yang dipaparkan dalam filem Istanbul Aku Datang lakonan Lisa Surihani dan Tomok.

Bukan hendak memburukkan manamana pihak, tetapi boleh dikatakan teman lelakinya juga sebenarnya menjadi punca hubungannya berakhir. Jika si lelaki seorang yang setia dan jujur pada kekasih yang satu dan jauh beribu batu menanti dengan setia, manakan hubungan terjalin boleh retak dengan hadirnya orang ketiga jika tidak diendahkan kehadirannya.

Letakkan sahaja di hujung benua, jika percaya dan setia tetap di fikiran dan hati, tidak akan terjadinya perpisahan yang hanya disebabkan jarak. Namun, siapalah manusia hendak menidakkan takdir Tuhan, hal ini semuanya bergantung pada jodoh. Jika ada jodoh, pastinya bersama. Telah ditetapkan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik, begitulah sebaliknya. Namun, kita adalah manusia biasa, tidak layak mengadili siapa baik dan siapa jahat. Tetapi sifat dan perangai manusia yang kadang kala berubah sekelip mata dari baik berubah jahat atau sebaliknya semuanya bergantung pada diri masing-masing.

Sebagai manusia kita tahu jika ia bukannya milik kita, tidak akan kita ganggu atau usik, itulah ajaran ibu dan ayah kepada kita sedari kecil. Mencuri itu salah. Inikan pula merampas kebahagiaan orang lain.

Apakah tidak punya perasaan akan nasib mereka yang hilang orang yang disayang hanya kerana anda terlalu mengikutkan rasa cinta, dan sanggup pula memutuskan persahabatan juga kerana cinta. Cuba letakkan diri anda di tempat si tertipu. Rasa marah juga kecewa pasti ada.

Tidak mengapa hati yang sedih, pasti ada hikmah di sebalik yang berlaku. Mungkin nanti hati yang sedih digantikan dengan kegembiraan yang baru dan lebih baik di masa mendatang. Cuma bersabarlah dengan penuh kepercayaan kepada jodoh yang Tuhan telah letakkan. Pastinya nanti putera mencari Cinderella. Kebahagiaan pasti ada di hadapan. Tetapi bagi mereka yang melakukan kesalahan diantara manusia, janganlah anda berasa begitu selesa kerana dosa dengan Tuhan, pastinya Tuhan ampunkan jika bertaubat, tetapi dosa dengan manusia, hanya maaf dari mereka yang perlu didambakan agar hidup kekal tenang.

LETAKKA N SAHAJA BENUA, DI HUJUNG JIKA PERCAYA TETAP DAN SETIA DAN DI FIKIRAN AKAN HATI, TIDAK YA TERJADIN PERPISAH AN YA YANG H AN AN JARAK. DISEBABK

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.