MAHKOTA BERSINAR

Memiliki rambut yang sihat bersinar adalah impian setiap wanita. Siapa tidak mahu orang yang melihat menoleh berkali-kali terpesona dengan kecantikan rambut mereka.

EH (Malaysia) - - Rambut -

Sama seperti kulit, tidak semua orang dianugerahkan rambut yang cantik semula jadi tanpa perlu dibelai dan dijaga. Namun masih tidak mustahil memiliki rambut yang cantik andai kena dengan caranya. Jenama produk penjagaan dan dandanan Jaico dikenali dengan kualiti produknya yang menggunakan revolusi teknologi untuk hasil penjagaan yang hebat dan kepelbagaian produk untuk dipilih berdasarkan keperluan. Misi Joico adalah untuk menghasilkan inovasi baru dalam memastikan setiap produknya memberi kesan yang baik kepada pengguna. EH! sempat bertemu dengan Kim Judkins Bonadio, pakar dandanan rambut Amerika yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

BUAL BICARA BERSAMA KIM JUDKINS BONADIO:

1 ANDA KHABARNYA BANYAK BEKERJA DENGAN SELEBRITI TERKENAL, ADA SEBARANG PENGALAMAN MENARIK YANG INGIN DIKONGSI?

Salah satu yang seronoknya bekerja dengan selebriti ialah mereka punya kebolehan untuk tampak berbeza, misalnya Charlize Theron. Cate Blanchett juga salah seorang selebriti yang menarik di mata saya. Tetapi sejujurnya saya lebih seronok bekerja dengan orang biasa, misalnya orang yang mempunyai kanser. Melihat pesakit kanser yang keguguran rambut kerana kesan kemoterapi akhirnya memiliki rambut yang lebat adalah pengalaman yang membuat air mata saya menitis.

2 DALAM PENJAGAAN RAMBUT APAKAH PERKARA ASAS YANG PALING PENTING?

Gunakan syampu yang sesuai dengan kulit kepala anda. Nasihat saya lakukan rawatan sekali seminggu. Jaga pemakanan, lebihkan pengambilan sajian yang mewah protein. Boleh cuba banyakkan pengambilan ikan dan avokado.

3 ADA YANG MENASIHATKAN USAH MEWARNAKAN RAMBUT LEBIH DUA KALI SETAHUN KERANA IA AKAN MEROSAKKAN RAMBUT. PENDAPAT ANDA?

Anda boleh warnakan rambut mengikut kehendak anda. Biasanya saya akan tanyakan tiga soalan ini sebelum mewarna rambut pelanggan; Apakah warna yang mereka suka? Bagaimana mereka boleh kekalkan warna dan keadaannya? Apakah gaya hidup mereka? Soalan-soalan ini penting supaya hasil dan warna kekal lebih lama. Tugas saya bukan menentukan apa yang sesuai dan apa yang tidak.

4 BAGAIMANA PULA JIKA MEMBELI SESUATU PRODUK RAMBUT, APA YANG PERLU DIPERTIMBANGKAN?

Tanyakan tiga soalan ini kepada diri anda; Apa yang anda perlukan, kenapa anda perlukan sesuatu produk dan apakah hasilnya.

5 BAGAIMANA PULA DENGAN MASALAH RAMBUT GUGUR, APA PULA PUNCANYA?

Rambut gugur tidak ada kena mengena dengan jenis rambut anda (nipis atau tebal). Ia disebabkan dengan pelbagai faktor luaran. Dan lumrah hidup, semakin meningkat usia rambut kita semakin kurang. Bagi perempuan pula rambut memang banyak gugur selepas melahirkan anak juga selepas menopaus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.