Kulit Kekal Lembap Walau Puasa

KULIT KEKAL LEMBAP WALAUPUN TANPA BEKALAN AIR DALAM BADAN KERANA BERPUASA? TIDAK MUSTAHIL, KAMI TUNJUKKAN CARANYA.

EH (Malaysia) - - Nota Cantik -

Dalam usaha memiliki kulit yang sihat, pertama sekali pastikan kulit dalam keadaan yang seimbang dan terlindung, yakni tidak kering, tidak berminyak dan bebas kesan UV. Sebelum memulakan penjagaan kulit ekstrem, cuba anda tanya pada diri sendiri, adakah kulit anda mempunyai pH yang seimbang? Ini kerana kulit yang sihat mempunyai lembapan sempurna yakni tidak terlalu kering dan tidak juga terlalu berminyak. Sedikit berminyak itu dikira normal, namun jika kulit terlalu kering itu adalah masalah yang perlu ditangani terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini yang mana kulit akan mudah terasa kering dek kerana kurang minum air malah cuaca juga semakin lama semakin panas. Jika masalah kulit kering dibiarkan tanpa dirawat ia akan menyebabkan kulit mudah naik jerawat dan akhirnya kulit menjadi kasar, kusam dan lebih teruk cepat menua. Sebenarnya ada dua faktor yang menyebabkan kulit kering iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

1 CUACA YANG SEJUK DAN UDARA YANG KERING

Tidak kira sama ada anda bercuti di negara sejuk ataupun anda di dalam pejabat dengan penyaman udara, kedua-duanya menghasilkan udara yang kering. Ia akan menyebabkan kelembapan kulit kita berkurangan. Jadi anda perlu disiplin dalam pemakaian pelembap, seeloknya ia dioles setiap kali anda mencuci wajah atau berwuduk. Tinggikan suhu penyaman udara dan sediakan humidifier. Kalau tiada humidifier, anda boleh letak air di dalam cawan, gelas atau apa-apa bekas dan letaklah di dalam bilik.

2 CUACA PANAS JUGA MENJADI PUNCA TERBESAR KULIT KERING

Di bahagian T wajah anda mungkin berminyak namun bahagian wajah yang lain anda akan perasan ia menjadi semakin kering. Lebih-lebih lagi selepas anda mencuci wajah di hujung hari. Oleskan pelembap bebas minyak seperti gel pelembap. Lebih baik jika ia hadir dengan kandungan SPF. Dengan itu kulit akan lebih terpelihara dan kekal sihat.

3 MANDI DAN BERENDAM TERLALU LAMA DI DALAM AIR PANAS

Ini boleh menyebabkan minyak semula jadi yang melembapkan kulit akan hilang. Mandi dengan air suam dalam beberapa minit sudah memadai untuk menghilangkan kotoran di badan.

4 SABUN YANG TERLALU BANYAK BUIH JUGA BOLEH MENYEBABKAN KULIT MENJADI KERING.

Terdapat dua jenis sabun mandi:

Selepas membilas, kulit terasa kesat Sabun ini menyebabkan kulit menjadi kering dengan cepat sebaik anda lap badan kerana segala lapisan minyak semula jadi pada kulit semua hilang setelah dibilas. Ini kerana sabun yang digunakan tadi mengandungi pewangi atau bahan kimia yang tinggi. Cuba guna sabun yg tiada pewangi (fragrance free soap) dan jenis mild serta sabun bebas buih.

Selepas bilas kulit terasa sedikit berminyak Ini adalah sabun yang bagus, di mana walaupun selepas anda membilas sabun mandian tadi, ia akan meninggalkan sedikit kesan pada kulit yang mana kulit terasa seperti sabun tidak dicuci sempurna. Ini adalah kerana formula sabun itu meninggalkan sisa lembapan pada kulit bagi melindungi kulit daripada kekeringan.

5 ELAKKAN MEMAKAI LOSEN HANYA SETELAH KULIT KERING

Selepas mandi, cuci muka, basuh tangan, dan berwuduk jangan lupa untuk mengoles losen serta-merta. Untuk muka pakailah toner dan pelembap muka. Amalkan peraturan tiga minit iaitu sapu losen dan pelembap dalam masa tiga minit selepas mandi (seeloknya ketika keadaan kulit masih lembap). Barulah kelembapan dapat dikekalkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.