BRAUN BÜFFEL: MISI BARU PEWARIS GENERASI KEEMPAT

Cerita pakar pengendalian barangan kulit dari pembuatan, pemasaran serta strategi penjenamaan.

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

Braun Büffel merupakan perniagaan keluarga yang dicorakkan sejak tahun 1887. Bertempat di Kirn, Jerman, asalnya ia diilhamkan dari perkataan “Kyr” yang membawa maksud ‘air’. Terletak dipertengahan Hahnenbach dan sungai Nahe, Krin yang dikelilingi air itu sekali gus membantu memudahkan proses tanning kulit justeru membuatkan bandar ini dikenali sebagai ‘bandar kulit’. Siapa sangka tukang pelana dan pembuat upholsteri pada 1887 dapat menjana wang dengan mempelopori satu perniagaan yang terus diwarisi sehingga ke hari ini. Berbekalkan kemahirannya itu, Johann Braun (yang berumur 26 tahun waktu itu) mempelbagaikan praktisnya sehingga awal abad ke20, dan dia berjaya bergelar saudagar dan pedagang malah menambah satu lagi kilang pada 1902.

Awal tahun 20-an hingga 30-an, ekonomi perniagaannya berada di tahap yang cukup baik dengan pertambahan tenaga mahir serta kemudahan di kilangnya, Alois Braun iaitu anak kepada Johann mula menghasilkan barangan kulit kecil pada 1927 dan menjadi pemilik kepada jenama ini pada 1933. Alois turut melabur untuk menjana satu lagi kilang bagi menempatkan penghasilan barangan kulit halus. Malangnya syarikat ini diberhentikan sementara waktu pada 1946 berikutan perang dunia kedua. Malah, kematian pengasasnya pada 9 Disember 1946 menjadi rakaman sedih buat jenama ini.

PERNIAGAAN TURUNTEMURUN

Walau bagaimanapun, ia tidak menghentikan semangat dan keterujaan pewaris jenama ini bagi meletakkan jenama ini di hati pengikutnya. Kobolehan yang ada pada anak lelaki pertama Alois, Hans-Werner Braun membangunkan kembali label ini. Sejurus tamat pengajiannya di sekolah kerja tangan di Offenbach dan mendapat sijil dalam pembuatan kraf kulit halus, dia terus dilantik sebagai Pengarah Teknikal pada 1952. Pada era 60-an, penghasilan kulit kecil diberi fokus utama dengan koleksi yang diperbuat daripada Saffian, Box calf dan Cowhide. Rekaan paling popular waktu itu adalah “Kassabeutel” atau beg menyimpan tunai yang dibawa ke bank oleh para saudagar. Walau bagaimanapun, Hans-Werner mati akibat kemalangan tragik pada 20 April 1968 sewaktu usianya 40 tahun.

Bagi memastikan perniagaan ini mendapat sentuhan dari darah keturunan pewaris Johann Braun, anak lelaki bongsu Alois iaitu Karl-Heinz Braun turut sama membangunkan perniagaan serta menyuntik kemahirannya dalam syarikat ini. Mempunyai pengalaman dalam perdagangan dan pada 1973, dia dilantik sebagai Pengarah jenama ini. Bersempena nama pengasas jenama ini, ia pernah diberi nama “Braun Studio” sebelum menukar nama kepada Braun Büffel pada 1974. Lambang kerbau dijadikan kuasa serta signifikasi pada pembuatan barangan kulit.

Jenama yang membariskan rekaan beg kulit lelaki dan wanita ini berjaya menempatkan rekaan mereka di Eropah dan Asia. Pasaran Asia pertama iaitu pada awal 80-an bermula di Singapura. Perlantikan Christiane Brunk iaiu anak perempuan Karl-Heinz Braun merombak penjenamaan yang lebih tepat dengan selera semasa.

Merencana strategi bagi bersaing dengan jenama lain menjadi kepakarannya sementelah memastikan rekaan yang praktikal dibuat dengan kualiti yang paling optimum. Visinya, bagi memastikan Braun Büffel kekal sebagai jenama gaya hidup serta terjual di seluruh dunia. Ini bukanlah satu yang mustahil pabila Braun Büffel pernah menerima beberapa pengiktirafan seperti anugerah “Deutsche Leaderwarenpreis” iaitu anugerah pembuatan kulit di Jerman. Selain beg tangan, jenama ini menambah beberapa lagi rangkaian seperti Braun Büffel Schuhwerk iaitu rekaan kasut pada 2004, mengeluarkan kaca mata pada 2006.

Christiane Brunk, Pemilik dan CEO Braun GmbH & Co KG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.