Primadona Kita

EH (Malaysia) - - Sepintas - Khairul Abidin PENGARANG majalaheh@bluinc.com.my

Jujur saya katakan saya sebenarnya suka menonton filem Melayu. Tidak kiralah filem dari zaman P.Ramlee hinggalah filem-filem era moden sekarang walaupun ada orang kata tak kelas tengok filem Melayu. Pada saya, sebuah filem yang bagus itu harus diberi sokongan. Terbaru saya menonton CEO, ceritanya ringan, kelakar dan saya tidak rasa diperbodoh-bodohkan. Saya teringat kata-kata arwah Yasmin Ahmad di dalam satu temu bual, dia tidak mahu membuat filem atau iklan yang tidak menunjukkan realiti kehidupan sebenar manusia. Dan saya sendiri memang sukakan filem yang berteraskan realiti, bukannya memperolok-olokkan minda penonton. Pengetahuan saya tentang filem mungkin cetek, namun saya menilai sesebuah filem sebagai penonton biasa yang membeli tiket dan mahu berasa sedikit terhibur pabila keluar panggung. Saya mahukan filem yang real.

Walaupun filem bukan kepakaran saya, namun itu tidak bermakna saya tidak punya filem-filem kegemaran ataupun pelakon pujaan, cuma mungkin minat saya pada filem tidak sedalam cinta saya kepada muzik. Meryl Streep dan Natalie Portman antara bintang Hollywood yang cukup saya kagumi. Dan bertuah sekali rasanya pabila saya dibawa Dior bertemu Natalie Portman di Tokyo tahun lalu. Duduk bertentang mata menemu bualnya selama 30 minit antara pengalaman indah sepanjang saya berada di EH! Sama seperti Hollywood, saya rasa kita punya barisan pelakon yang cukup hebat. Dari era Allahyarhamah Saadiah bawa ke era anaknya Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Deanna Yusuf hinggalah generasi pelapis seperti Maya Karin dan Sharifah Amani. Kehadiran mereka memberi warna kepada industri seni.

Jika tahun lalu kami bawakan KL Issue sempena sambutan bulan kemerdekaan, kali ini kami mahu mengangkat Primadona dunia lakon tempatan. Kami percaya filem itu sendiri besar pengaruhnya dalam kita menyusuri hari-hari kita. Untuk edisi ini Hafizan Mohd mengumpulkan empat pelakon hebat dalam satu penggambaran, Sofia Jane, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan Nadiya Nisaa. Malah Sharifah Amani terus cakap ‘Yes’ bila tahu penggambaran ini akan menemukannya dengan Sofia Jane. Begitu juga dengan Sara Ali sempat meninggalkan komen di Instagram EH! kala kami upload gambar empat aktres hebat ini – “Legend! I akan beli.” Cuma yang masih menjadi persoalan di benak saya adakah filem-filem yang dihasilkan hari ini seiring dengan tagline ‘Filem Kita Wajah Kita’.

Di dalam isu ini juga kami bawakan laporan penuh Anugerah Stail EH! 2014 yang dibawakan oleh A|X Armani Exchange. Lihat apa yang selebriti pakai dan kami kongsikan corat-coret menarik sepanjang majlis berlangsung.

Sebelum terlupa, rasanya tidak terlewat untuk saya mewakili team EH! mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.