BINTANG SEMUSIM?

Pengganti Saloma, Azean Irdawaty atau Dato’ Fauziah Ahmad Daud takkan mungkin ada. Namun pelapis akan sentiasa dicipta atau tumbuh sendiri meraikan seni lakon tempatan.

EH (Malaysia) - - Kesihatan -

Tahun 1997, Shuhaimi Baba menggarap filem terbaik sepanjang kariernya, Layar Lara. Filem tersebut dilakonkan cukup hebat sekali oleh dua pelakon wanita terbaik yang kita pernah ada – Ida Nerina dan Allahyarham Azean Irdawaty. Fokus utama filem ini adalah watak Ena Manjalara yang memberi refleksi akan attitude artis muda ketika itu dan Seniwati Zai yang dikenali kerana zaman gemilangnya dalam filem hitam putih. Filem ini dibikin lebih 10 tahun lalu namun Shuhaimi Baba punya visi jelas menggambarkan attitude pelakon, produser mahupun krew yang terbabit di belakang tabir.

Era 90-an saya kira istimewa sekali baik pelakon, naskhah filem, pengarah dan penulis hadir dengan idea yang cukup baik dan berbeza antara satu sama lain. Bak kata Sofia Jane, 90’s is the era when most of the story line driven by women. Masakan tidak judul seperti Ringgit Kassorga, Femina, Perempuan Isteri & ... serta Puteri Impian memaparkan wanita sebagai subjek utama filemfilem era tersebut. Atas alasan itu juga banyak aktres muda yang muncul ketika itu adalah bakat-bakat yang datang dengan pesona bakat yang luar biasa. Ida Nerina, Deanna Yusuf, Datin Seri Tiara Jacquelina, Nanu Baharudin, Julia Rais dan Erma Fatima menjadi wajah yang cukup ikonik sekali di era 90-an. Lakonan mereka dikagumi dan siapa saja boleh lupa

iconic lines Deanna Yusuf dalam Ringgit Kassorga – “Siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka.” Sehingga hari ini masih lagi diingati.

MENCARI PELAPIS BERBAKAT

Hari ini berbeza. Jika seorang aktres itu berlakon dalam tiga hingga empat filem setahun dengan lambakan drama dan siri TV belum tentu satu pun akan terkesan. Saya tidak pasti di mana silapnya dan persoalan saya terungkai apabila dalam menemu bual bersama Sofia Jane, dia memberitahu kebanyakan karya hari ini datang dengan idea cerita yang sama. Tidak seperti 90-an di mana penulis dan pengarah berani untuk tampil lain dengan cerita berbeza-beza.

Dek kerana tawaran cerita-cerita yang serupa inilah membuatkan ramai sekali pelakon yang berbakat terikat dengan watak yang sama. Sekadar menyebut nama Elfira Loy dan Tiz Zaqyah sebagai contoh, saya kira mereka pelakon yang sangat berbakat namun terikat dengan tawaran lakonan serupa. Tidak dicabar dengan karakter yang lebih kuat bagi menguji kehebatan lakonan mereka.

ACCIDENTAL CELEBRITY

Menerusi pengamatan, cara selebriti baru hari ini ‘memasarkan’ diri mereka berbeza sekali. Medium media sosial banyak membantu mencipta accidental celebrity. Apa maksud saya dengan terma itu. Boleh jadi mereka dikenali kerana kontroversi percintaan, menumpang populariti adik-beradik atau kerana stail.

Apa jadi bila sudah dikenali? Maka berderetlah orang mahu mengikuti kisah hidup mereka di Instagram. Kadang bukanlah sebab minat pun tetapi lebih pada sibuk nak ambil tahu hal orang dan bila pengaruh sudah dicipta barulah nama mereka boleh dicadangkan kepada sang produser bagi menjadi wajah pelaris. Jika bertuah lakonan mereka akan hit dan menjadikan mereka bintang semusim, jika tidak berusahalah lagi untuk melobi.

Menjadi isu kah perihal ini? atau salahkah cara mereka? Tidak. Bak kata Amani there is no wrong or right dalam showbiz. Semua ada cara sendiri untuk bekerja. Cuma persoalannya, generasi beginikah yang akan menjadi pelapis seniwati dan primadona yang ada? Berlakon tiga filem setahun dengan deretan drama televisyen belum tentu ada satu pun yang diingati. Seperti sifatnya makanan segera, yang mudah dan cepat. Tetapi tak tahan lama dan akan diganti dengan makanan lain untuk tubuh kita mendapatkan zat yang betul. Begitu jugalah sistem showbiz hari ini mungkin kerana tidak mahu mengeluarkan bajet yang besar kita ambil sesiapa sahajalah yang punya rupa dan sanggup menerima bajet yang ada tadi sebagai wajah pelaris.

“Sebenarnya bakat itu bukanlah perkara paling penting. Ia bukan nombor dua atau tiga ia adalah perkara terakhir yang perlu ada. Pada saya paling penting adalah profesionalisme.”

- MAYA KARIN

WAJAH MASA HADAPAN

Situasi yang tidak sihat buat industri showbiz ini bagaimanapun sedikit sebanyak sudah dilawan balik oleh mereka yang punya minat tinggi dan tidak sesekali berkompromi dengan nilai komersial semata. Perkembangan dunia teater dan indie hari ini menampakkan sesuatu yang positif. Saya beri contoh usaha Iedil Putra, Redza Minhat, Shamaine Othman, Farah Hani dan lain-lain dalam Projek Disko Baldi memberi alternatif pengikut seni pentas tempatan yang lelah dengan karya tipikal drama TV yang menjemukan. Aktivis teater dan filem seperti Nam Ron serta Bront Palarae contohnya sentiasa datang dengan ilham segar menghasilkan Psiko: Pencuri Hati dan Kolumpo. Pengarah hebat seperti Kabir Bhatia, Osman Ali, Nik Amir Mustapha dan Razaisyam Rashid, Fariza Azlina (sekadar menyebut beberapa nama) mencipta bintang masa hadapan yang berbakat seperti Cristina Suzanne, Elfira Loy, Sara Ali dan Nadiya Nisaa dalam karya mereka.

Namun begitulah warna dalam dunia showbiz, jika di Hollywood pun situasinya serupa tetapi perlukah kita menjadi Hollywood? Tidak rasanya. Apa yang perlu adalah untuk sentiasa bekerja tanpa lelah atas nama seni dan minat bukan keuntungan semata. Pengaruh dunia pop yang sangat mudah diserap oleh orang biasa ini sepatutnya meraikan sesuatu yang positif. Tidak lagi hanya memberi ruang kepada hal peribadi selebriti tetapi hype yang sama harus diberikan kepada produk yang bagus. Bercakap tentang kualiti dan kerja keras bukan lagi menjual soal privasi.

Semoga akan ada keadilan buat bakat-bakat muda hebat hari ini diberikan tanggungjawab yang betul dengan watak yang betul. Jika tidak sayang sekali bakat hebat yang ada pada Tiz Zaqyah yang semakin sepi tanpa produk baru. Saya suka untuk memetik kata-kata Maya Karin yang ditemu bual sebagai wajah muka depan EH! edisi April lalu – “Sebenarnya bakat itu bukanlah perkara paling penting. Ia bukan nombor dua atau tiga ia adalah perkara terakhir yang perlu ada. Pada saya paling penting adalah profesionalisme.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.