Sofia Jane

EH (Malaysia) - - Kisah Benar -

Dalam persalinan uniform Taekwondo, Tifa mengambil gunting di meja soleknya dan di minit 8:40 rambutnya digunting. Tifa kini Dino, anak gadis rebellious kerana kekecewaan dan harapan palsu yang diberikan. Saya merujuk pada filem arahan Kamal Ishak, Cinta Kita yang ditayangkan pada tahun 1995. Lakonan Sofia Jane yang berbeza sekali jika mahu dibandingkan dengan mana-mana watak yang dilakonkan ketika era 90an. Rambutnya yang dipotong pendek persis Wynona Ryder, ada juga iras Demi Moore masa mudanya.

Sofia Jane masih kekal relevan sehingga hari ini. Dia tidak perlu terbabit dalam produksi yang entah apa-apa, tidak juga perlu hanya berharap pada watak utama untuk membuat perhatian teralih padanya. Apa yang pasti setiap kali dia muncul dalam mana-mana produksi kehadirannya paling dinanti dan dirasai. Beberapa judul yang menampilkan wajahnya sebagai pelakon pembantu – Jimi Asmara, Sayang Salmah, Puteri Gunung Ledang, Susuk dan yang bakal menanti tayangan Hanyut arahan pengarah hebat yang menaikkan namanya dalam Perempuan, Isteri & ... – U-Wei Hj. Shaari cukup buat kita ingat akan peranannya.

April lalu dia dianugerahkan Pelakon Terbaik di acara Boh Cameronians Arts Awards yang mengiktiraf bakat dalam bidang teater. Kemenangan itu merupakan usahanya dalam menyempurnakan monolog solo selama 55 minit menerusi karya Laut Lebih Indah Dari Bulan salah satu slot dalam Teater Kompilasi Nam Ron. “Tanggungjawabnya sama dengan mana-mana produksi sekalipun. Cuma cabarannya berbeza. Sebagai pelakon saya perlu sentiasa bersedia dan apa yang paling saya suka tentang teater adalah tenaga yang saya dapat daripada penonton adalah sesuatu yang saya tidak dapat jika berlakon filem atau drama.”

Kepuasan bagaimana yang mahu dicapai pada tahap ini soal saya. “Fokus saya bukan lagi watak tetapi naskhah yang baik. Saya sentiasa terbuka untuk terbabit dengan produksi yang saya yakin mampu menghasilkan produk yang baik. It’s not about the character anymore. It’s about the story line dan apa yang saya mampu beri pada masyarakat.”

Sofia Jane begitu passionate dengan apa yang dilakukan. Dalam bual telefon singkat kami dia sempat menamakan Normah Damanhuri sebagai primadona yang dia kagumi. Dan tentu sahaja lebih 20 tahun di lapangan showbiz tempatan dia pula menjadi rujukan ramai aktres baru hari ini yang mahukan zaman gemilangnya. Hanyut sedang menanti tarikh tayangan dan menurut Sofia hujung tahun ini dia sekali lagi bakal ke pentas teater.

“PERASAAN MACAM NI SUSAH SAYA NAK BAYANGKAN - PENYERAHAN. SAYA SUKA KEADAAN BEGINI. MEMBUAT DARAH SAYA PANAS.” ZALEHA (PEREMPUAN, ISTERI & ... /1993)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.