Vanidah Imran

EH (Malaysia) - - Kisah Benar -

Impak lakonan dalam filem Perempuan Melayu Terakhir sebagai Mustika cukup ikonik dengan aktres ini. Ramai menganggap dia sebagai pelapis yang mampu menambahkan lagi kuantiti pelakon yang hadir dengan pakej bakat yang hebat seiring aura bintang filem yang tersendiri. Dan pada Festival Filem ke-14 yang berlangsung di Ipoh, Perak dia mendapat pencalonan sulungnya bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik namun nasib lebih menyebelahi watak witty Puteri Nora lakonan Amy Mastura menerusi filem Puteri Impian.

Namun kekalahan itu tidak mematahkan semangatnya, Pemenang kedua Miss World/Malaysia 1993 ini kembali menghangatkan layar perak dengan lakonan yang menganugera hkannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem The Red Kebaya. Selepas itu buat filem Akhirat sekali lagi dia dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM, diikuti Cinta, Sepi dan Setem arahan Kabir Bhatia di mana Vanidah membawa watak sebagai Alliya dengan satu lagi pencalonan FFM bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Vanidah Imran saya kira sebagai selebriti yang bersih dan fokus. Tidak pernah kita dengar namanya dikaitkan dengan mana-mana kontroversi merepek untuk bikin dia popular dan dia juga bijak mengatur rencana kerjaya dalam bidang showbiz tempatan. Tidak setakat menjadi pelakon TV dan filem, sayap bakatnya dilebarkan dalam bidang pengacaraan. Wajah manis ini pernah mengemudi program Nona bagi musim 2010 dan 2011 sebelum beralih tangan kepada Maya Karin.

Dia juga aktif dalam teater. Barisan karya sastera hebat dari Lantai T. Pinkie, Wangi Jadi Saksi arahan U-Wei Hj. Shaari sehingga muzikal Siti di Alam Fantasi melengkapkan lagi portfolionya sebagai aktres berkaliber. “Setiap produksi memberi pelajaran berbeza dan setiap pelajaran itu saya akan gunakan untuk projek seterusnya. Jadi jika ditanya produksi yang mana memberi kepuasan saya tak boleh memilih kerana semuanya datang dengan pengalaman berbeza.” Vanidah awal tahun turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik di majlis Anugerah Seni Boh Cemeronians menerusi teater kompilasi Namron – Laut Yang Tenang.

Dua puluh satu tahun dalam bidang showbiz saya soalkan tentang tawaran bagaimana yang dia nantikan? “Yang datang dengan skrip dan cerita yang bagus. Saya perlu lebih selektif bukan kerana demand tetapi perlu berbalik pada kesesuaian watak, cerita dan juga masa.” – Katanya yang bakal kembali ke lokasi penggambaran untuk dua buah filem hujung tahun ini.

FILEMOGRAFI CINTA METROPOLITAN (1996) | BADAI MENTERA (1998) | PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR (1999) | KL MENJERIT, MAMI JARUM (2002) | HINGGA HUJUNG NYAWA, MAKAR (2004) | THE RED KEBAYA, CINTA (2006) | AKHIRAT, SEPI (2008) | SETEM, PAPADOM (2009) | MAGIKA (2010) | MISTERI JALAN LAMA (2011) | UNTUK TIGA HARI (2012)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.