SENIMAN

Kerja seni mereka tiada tandingan masakan ada yang mampu mengganti. Sepuluh seniman tempatan kami rangkumkan sebagai pencetus inspirasi.

EH (Malaysia) - - Dunia Lelaki -

1 P. RAMLEE

Bertuah kita di era filem hitam putih, insan seni ini datang menjadi wakil cerita menggambarkan realitinya dunia. P.Ramlee tiada tandingan – semua filem dan lagu-lagunya akan kita ingati. Pemilik nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh ini memulakan kerjayanya dalam bidang perfileman pada tahun 1955 menerusi filem Abu Hassan Penchuri. Selepas itu dia mengarah filem pertamanya Ahmad Albab pada tahun 1968. Filem terakhirnya adalah Laksamana Do Re Mi manakala lagu Ayer Mata di Kuala Lumpur merupakan ciptaan terakhirnya.

2 U-WEI HJ. SHAARI

Pengarah yang cukup dihormati sehingga hari ini. Tidak ada satu karyanya pun yang mampu dibandingkan apa lagi disamakan dengan mana-mana pengarah. U-Wei cukup tersendiri, wanita sering menjadi objek utamanya dalam setiap karya. Perempuan, Isteri & Jalang, Black Widow Wajah Ayu dan Buai Laju-Laju antara yang paling diingati. Naskhah Kaki Bakar dan Jogho hadir dengan perspektif kemasyarakatan yang dikupas dengan cukup teliti.

3 A.SAMAD SAID

Seniman yang satu ini tiada galang gantinya. Sehingga hari ini dia masih aktif dalam memperjuangkan sastera Melayu menerusi karya agungnya. Salina, Lantai T. Pinkie, Di Mana Bulan Selalu Retak dan Hujan Pagi antara naskhah yang masih dibaca sehingga hari ini. Naskhah Salina awal tahun ini diterjermah dalam bahasa Inggeris menjadi bukti tulisannya masih lagi relevan.

4 M.NASIR

Melodi ciptaannya kental jiwa kemelayuan. Biar apapun inspirasinya dia tetap membikin lagu yang akan berpaksi pada akar umbi budaya. M.Nasir bermula dalam bidang muzik bersama kugiran Kembara sebelum fokus seni solonya bermula dengan debut Untuk Pencinta Seni (1979). Karya hebatnya dalam album Canggung Mendonan, Saudagar Mimpi dan Pheonix Bangkit dilihat sebagai karya agung dalam dunia pop tempatan. Tidak terikat sebagai pemuzik bakatnya di layar perak menerusi filem Kembara Seniman Jalanan, Selubung, Fenomena dan lain-lain menjadi bukti dia seniman sejati. M.Nasir pernah mengarah sebuah filem berjudul Merah lakonan Awie dan Ziana Zain.

5 RAMLI IBRAHIM

Bidang seni tari yang diceburinya sejak era 70-an masih lagi diperjuangkan sehingga hari ini dengan menubuhkan Sutra Foundation. Badan yang memberi peluang untuk orang ramai meminati seni tari tradisi dan kontemporari ini dibina kerana mahu melestarikan bidang seni yang satu ini. Pelbagai penganugerahan telah dimilikinya akan usaha yang dilakukan. Tahun lalu dia mendapat penghargaan University of Western Australia.

6 PAK NGAH

Tanpa Pak Ngah saya kira tiada siapa yang mampu mengkomersialkan irama Melayu. Pak Ngah atau nama sebenarnya Suhaimi Md. Zain tidak pernah putus asa mencipta dan memperjuangkan muzik melayu sehingga hari ini. Karyanya seperti Cindai, Awallah Dondang dan Nirmala akan sentiasa diingati. Tidak terikat di situ Pak Ngah juga individu yang bertanggungjawab mencipta patriotik seperti Jalur Gemilang.

7 AFDLIN SHAUKI

Dia membawa elemen komedi ke tahap yang lebih tinggi. Saat filem Buli dihasilkan dia dilihat sebagai pelapis pengarah yang mampu memberi harapan baru perfileman tempatan. Persahabatan dan kekeluargaan sering menjadi tema dalam karyanya seperti Baik Punya Cilok, Papadom juga Los dan Faun. Afdlin yang memulakan kerjayanya dalam bidang muzik pernah merakamkan album solo, Fuyooo!.

8 AMIR MUHAMMAD

Amir mula menulis secara serius sejak remaja lagi dan filem digital pertamanya Lips to Lips menyertai pelbagai majlis anugerah seperti Hawaii International Film (2000) dan Festival Singapore International Film Festival. Pada tahun 2007 dia menubuhkan Matahari Books yang menerbitkan karya bukan fiksyen dan membukukanlakon layar penerbitan filem sebelum menubuhkan penerbitan FIXI pada tahun 2011 yang memberi ruang buat penulis muda menerbitkan novel-novel mereka. Amir juga pernah mengarah filem berjudul Susuk lakonan Ida Nerina.

9 OTHMAN HAFSHAM

Setiap karya yang dibuat pasti akan mengambil isu-isu semasa yang dekat dengan persekitaran masyarakat. Mekanik dan Rahsia antara filem awalnya yang cukup mendapat perhatian. Masakan tidak, dia dianugerahkan Pengarah Terbaik bagi Festival Filem Malaysia buat kedua-dua filem itu. Hafsham beralih kepada genre komedi romantik dalam Soal Hati dan Soalnya Siapa yang cukup menghiburkan.

10 ADLIN AMAN RAMLIE

Memulakan karier dalam bidang lakonan dengan menjadi Artis Budaya Jabatan Penerangan Malaysia selama empat tahun bermula tahun 1990. Selepas melanjutkan pelajaran di Jabatan Teater Akademi Seni Kebangsaan, Adlin melibatkan diri sebagai pelakon pembantu menerusi filem Jogho arahan U-Wei Hj. Shaari. Dia juga banyak terlibat dengan pementasan teater dan berlakon di bawah arahan pengarah tersohor seperti Ahmad Yatim, Zahim AlBakri, Ahmad Tarmimi Serigar dan Krishen Jit. Watak Sultan Mahmud dalam filem Puteri Gunung Ledang antara yang paling diingati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.