TILDA SWINTON Dia berada di kelas yang cukup tersendiri dengan portfolio kerjaya yang cukup hebat. Tilda Swinton nyata bukan bintang Hollywood tipikal yang ada. Kredibilitinya sentiasa disanjung tinggi.

EH (Malaysia) - - Selebriti -

Bagi sesetengah aktres Hollywood, penting bagi mereka untuk mendapatkan tawaran dengan filem yang mampu menjadi hit di panggung, kerana dari situ nama mereka akan meniti bibir penggemar filem dunia. Hal ini cukup berbeza dengan aktres kelahiran London ini. Pada usia 53 tahun Tilda dikenali sebagai aktres yang dihormati dengan cara tersendiri. Tidak perlu kontroversi yang pelik-pelik atau melibatkan diri dalam produksi yang hanya mahu mengaut untung, dia tidak berkompromi dengan hal-hal tersebut kerana apa yang penting baginya adalah untuk mendapatkan tawaran yang datang dengan cerita, watak dan pengarah yang tepat.

We Need To Talk About Kevin, Julia, I Am Love dan Moonrise Kingdom antara filem yang cukup hebat di persada festival filem dunia namun hadir dengan skala tontonan yang tidak begitu besar. Namun inilah cara Tilda menjaga kualiti kerjanya. Dia hanya pernah dicalonkan sekali sahaja untuk majlis Oscars bagi filem Michael Clayton dan pulang dengan trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Tilda dalam satu temu bual berkata dunia lakonan yang diceburinya adalah peluang untuk dia merasai apa yang orang lain rasa dengan memainkan sesuatu watak yang dipertanggungjawabkan.

QUIRKY TILDA

Wajah unik miliknya dengan tubuh kurus tinggi menjadikan dia antara ikon fesyen dunia. Tilda tidak pernah gagal di karpet merah dan hal ini membuatkan kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan. Sering menyarung rekaan Haider Ackermann, Tilda berkata pereka kelahiran Colombia itu sentiasa membuat dia selesa dan selamat dalam setiap helaian yang direka.

Wajah unik dengan cita rasa tinggi dalam berfesyen membuatkan wajahnya dirakam sebagai muse kepada pereka Karl Lagerfeld bagi kempen Chanel musim praluruh tahun lalu dan jenama Pringle of Scotland bagi kempen musim bunga/ panas 2011. Aksi semula jadinya juga kerap dirakam majalah fesyen dan seni seperti W, Another dan Dazed & Confused yang merubahnya menjadi objek seni yang cukup eksperimental.

Sepanjang menceburkan diri dalam bidang ini pada awal 80-an Tilda mendapat lebih 45 penganugerahan dalam bidang lakonan dengan jumlah pencalonan sehingga 54. Filem Michael Clayton dan We Need To Talk About Kevin antara yang cukup memberi kesan pada kariernya. Jika anda belum menonton Only Lovers Left Alive dan Julia, dua filem ini wajib ditonton untuk mengenal kehebatan pelakon ini. Masih lagi kekal aktif berlakon Tilda akan muncul dalam dua filem tahun hadapan – Trainwreck dan kembali bersama pengarah yang pernah mengarahnya dalam filem I Am Love, Luca Guadagnino yang masih belum punya judul tetap.

“Saya menonton Herbie Rides Again dan kagum dengan hasilnya. Sejujurnya kerana filem itulah saya membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.