Bagaimana anda menghadapi tekanan ketika perlawanan?

EH (Malaysia) - - Inspirasi -

his MMA Fighter Is Asian, Female and Muslim menjadi tajuk utama artikel majalah TIME yang ditulis David Stout awal tahun ini bercerita tentang kejayaan Ann Osman sebagai wanita Asia pertama yang beragama Islam yang menjadi atlet dalam seni pertahanan diri, Mixed Martial Art (MMA) hari ini. Kejayaannya menewaskan peserta dari Singapura membuatkan namanya menjadi sebutan dalam sukan yang majoritinya dimonopoli oleh kaum adam ini. EH! membawakan temu bual eksklusif bersama Ann Osman buat pembaca semua.

Permulaan

Saya memang seorang yang gemar melakukan aktiviti sukan sejak di bangku sekolah lagi. Semua aktiviti yang berkaitan outdoor dan melibatkan fizikal mudah menarik minat saya. Sejak diperkenalkan dengan seni mempertahankan diri ini beberapa tahun lalu dan saya pantas jatuh cinta dengannya. Selepas itu saya mula terlibat dengan aktiviti di gim serta menjalani latihan bersama Borneo Tribal Squad dan memasuki beberapa pertandingan peringkat amatur sukan Muay Thai dan Mixed Martial Art (MMA). Kini aktiviti ini menjadi fokus utama saya di bawah kendalian ONE Fighting Championship dan pada Oktober tahun lalu saya berjaya membuat debut Pro MMA pertama saya. Selain itu peluang untuk berjumpa lebih ramai orang berpengalaman dalam bidang ini merupakan satu bonus untuk saya terus menjadi yang terbaik.

Perkara paling sukar?

Pengorbanan untuk keluarga, kawan-kawan dan jadual latihan yang ketat. Namun saya bersyukur kerana sokongan mereka sentiasa bersama untuk saya terus serius dalam bidang ini.

Boleh ceritakan proses latihan anda?

Saya berlatih dua kali sehari dalam jangka masa tiga sehingga empat jam bagi satu sesi. Latihan sesi pagi antara yang paling saya suka kerana banyak terlibat dengan aktiviti outdoor seperti larian berkumpulan di tepi laut atau kawasan berbukit. Ia merupakan aktiviti yang sangat menyegarkan manakala bagi sesi petang latihan lebih kepada teknik dan ketahanan diri serta mental. Latihan yang saya jalani sama sukarnya dengan semua peserta lelaki yang lain.

Inspirasi

Semua yang dekat dengan hidup saya. Ibu, jurulatih, kawan-kawan malah boleh datang daripada cerita kejayaan orang lain. Namun selalunya motivasi saya datang apabila mengenangkan kembali apa yang telah saya capai hari ini.

Saya akui tekanan itu selalu ada terutama dalam membahagikan masa untuk banyak perkara. Namun saya punya cara sendiri sama ada menghabiskan masa bersama keluarga, kawan-kawan atau cukup sekadar dengan tiga puluh minit yang lapang tanpa memikirkan hal yang berat-berat. Jika ditanya sebelum bertanding pula saya akan mengambil tiga nafas sedalamnya dan berbisik pada diri, “I believe in myself and I can do this.”

Anda kini terlibat dengan satu kempen memperkasakan wanita bersama LEVI’S. Boleh ceritakan sedikit tentang hal ini?

Saya gembira berpeluang menjadi sebahagian daripada kempen Keep Cool ini. LEVI’S adalah jenama denim kegemaran saya sejak dulu lagi dan kolaborasi bersama LEVI’S ini adalah bertujuan untuk memberi fokus terhadap memperkasakan wanita – baik dari segi keyakinan diri dan visi dalam hidup setiap wanita. Banyak aktiviti akan dianjurkan bagi memenuhi visi ini buat masyarakat. Antaranya berkongsi cerita tentang pengalaman hidup dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.