Superstar Muzik

BICARA DIVA; ELLA, DAYANG NURFAIZAH, LIZA HANIM & MISHA OMAR

EH (Malaysia) - - Muka Depan -

NILAINYA PERMATAPERMATA YANG DIGANDING INI TINGGINYA TIDAK TERPERI. ASLI, TERSENDIRI DAN TIDAK TERUJI DEK BAKAT BARU YANG DATANG DAN PERGI SILIH BERGANTI. KAMI MASIH MAHU MEREKA TERUS MENYANYI, KAMI TIDAK MAHU MELIHAT MEREKA BERHENTI. EMPAT BETARI SENI CIPTAAN ASLI YANG MANAKAN MUNGKIN DITUKAR GANTI.

DAYANG NURFAIZAH

Dayang meraikan lima belas tahun perjalanan karier sebagai penghibur dengan cukup gemilang. Dua konsert, dua trofi Anugerah Juara Lagu, persembahan memukau di Anugerah Industri Muzik dan dominasi pentas Mentor Legend sebagai juara menjadi bukti branding Dayang Nurfaizah kini berada di liga berbeza. Semua itu satu kelegaan buatnya apabila dia dapat membuktikan sesuatu yang cukup bermakna pada dirinya ketika awal memutuskan untuk bergerak serius sebagai penyanyi lima belas tahun lalu.

Soal saya padanya jika kita putar kembali masa lima belas tahun ke belakang adakah apa yang Dayang capai hari ini apa yang Dayang bayangkan? “Tidak langsung. Dayang hanya tahu Dayang nak jadi penyanyi dan berjanji pada diri untuk tidak hanya hadir dengan satu album dan senyap. Dayang nak kekal relevan dan tidak putus dengan naskhah baru. Nak kata dapat buat konsert atau dapat penganugerahan jauh sekali. Ada angan-angan tapi sekadar angan sahaja bukanlah begitu mengharap. Jadi apabila semua peluang ini datang pada satu masa Dayang sangat-sangat gembira dan teruja.”

Bukan wajah asing dalam merangkul trofi anugerah muzik tempatan, kemampuannya di pentas nyata sesuatu yang cukup hebat. Siapa saja mampu mengalihkan pandangan biar sekejap daripada melihat kuasa luar biasanya di pentas. Magis ini saya kira tidak dimiliki ramai penghibur lain yang mungkin punya suara yang bagus tetapi tidak stage

presence yang sebaik ini.

“What is your favorite journey?” tanya saya lagi “Banyak sebenarnya tapi kemenangan Vokal Terbaik di majlis Anugerah Juara Lagu yang lalu antara yang paling bermakna buat Dayang. Sebagai penyanyi bila vokal anda diiktiraf itu merupakan sesuatu yang sangat besar tambahan pula AJL adalah medan persembahan secara langsung. Standardnya berbeza dengan rakaman studio. Jadi itu antara momen penting dalam kembara seni Dayang.”

Bercerita lanjut tentang rangka kerjayanya selepas Di Pintu Syurga, Dayang mengakui sukar baginya untuk mendapatkan lagu yang betul-betul kuat dan bagus. “Dalam mencari material baru Dayang mencari keseimbangan antara apa yang Dayang suka dan apa yang peminat mahu. Alhamdulillah Dayang telah temui formula dalam mencari keseimbangan tersebut dan Di Pintu Syurga menjadi bukti.” Ada elemen baru dalam muzik Dayang yang kita boleh harapkan akan datang? “Album Kasih dan Sayang & Cahaya merupakan fasa eksperimen dalam perjalanan muzik Dayang. Sudah puas rasanya bereksperimen jadi Dayang akan kembali ke asas muzik yang penggemar mahukan tetapi tidak sesekali berkompromi melepaskan cara persembahan Dayang.”

Tambahnya lagi kedua-dua album itu antara risiko yang diambil sebagai pembelajaran. “Kalau Dayang tak cuba dan buat Dayang tak belajar banyak benda. Dengan menghasilkan albumalbum beginilah Dayang menemukan formula dalam menyeimbangkan apa yang pasaran mahu dan apa yang Dayang mahu. Hal ini sangat penting sebab yang nak menyanyinya Dayang dan yang mahu mendengar peminat. Jadi Dayang sangat gembira pada tahap ini Dayang sudah makin jelas dalam mencari keseimbangan tersebut.”

Dayang saya kira penghibur yang punya graf kerjaya yang cukup sustain. Daripada era Hakikat Cinta dia terus memikat pendengar dengan hit timeless Seandainya Masih Ada Cinta sebelum fasa tempo upbeat Dayang Sayang Kamu dan Ingin Kumiliki memikat pendengar. Tahun lalu dia kembali ke asas balada Di Pintu Syurga yang sekali lagi menjadikan dia sebagai penyanyi yang sentiasa dinanti kehadirannya. Langkah disusun mengena pada masa dan kehendak pasaran. Semakin lama dia di persada ini semakin tinggi darjat seni seiring kesungguhan yang diberi.

ELLA

Dua puluh lapan tahun diharungi tanpa lelah dan penuh minat. Berbual dengan Ratu Rock ini memberi bayangan cukup jelas bidang muzik yang dipilih adalah jiwa dan kehidupannya. Album Pengemis Cinta yang diterbitkan Datuk Ramli Sarip pada 1989 menjadi titik tolak pembabitan Ella dalam bidang muzik dan dengan pantas dia mencuri tumpuan dengan hit-hit hebat seperti Permata Biru, Sembilu, Layar Impian, P.P.P, Retak, Simbiosis dan Oh! terlalu banyak kiranya jika saya mahu tulis di sini. Hal ini menjadi bukti bahawa pengaruhnya cukup luar biasa kerana jika anda bukan peminat tegarnya sekalipun setidaknya bila disebut namanya pasti akan ada satu trak all

time favourite yang akan kita hafal.

Soalan pertama saya padanya, apakah album kegemarannya sepanjang merakamkan album dia pantas menjawab EL (1998) sebelum menyebut Ella U.S.A (1994) dan 30110 (1992). “Album EL begitu personal dan Ella puas dengan kualiti rakamannya. Pada waktu itu teknologi rakaman muzik tidak secanggih sekarang dan untuk mendapatkan hasil yang sebegitu bagus menuntut kreativiti yang cukup tinggi juga kesabaran untuk menyiapkannya.” Tambah Ella lagi peluang bekerjasama dengan pemuzik undangan Slash dari Gun N’ Roses, Richard Marx serta Jascha Richter (Michael Learns to Rock) antara yang paling tidak akan dilupakan.

Apa yang Ella mahu tawarkan pada peminat tahun ini? “A brand

new album. Ella sangat teruja untuk berkongsi lagu-lagu terbaru ini dengan peminat. Kali terakhir Ella muncul dengan album penuh pada 2007 menerusi album Rama-Rama dan apa yang boleh Ella katakan album terbaru ini merupakan satu persembahan muzik yang cukup segar dan terkini.” Dan saat ditanya apa yang dimaksudkan dengan sesuatu yang segar, Ella berkata dia kali ini bekerja dengan bakat muda seperti Sam Bunkface dan Omar K bagi memberi suntikan terkini selain masih menggunakan khidmat penerbit senior seperti M.Nasir dan Edrie Hashim.

Menjadi living legend sepertinya pasti akan punya permintaan tinggi baik daripada peminat sehingga orang sekeliling. Bagaimana Ella mencari kepuasan dalam berkarya soal saya padanya. “Menjadi penyanyi buat Ella belajar untuk melepaskan. Sesetengah perkara

we should let go and be positive. Ya memang Ella ada banyak perkara yang nak dicapai tapi Ella tak boleh nak kawal semuanya. Ella hanya perlu fokus pada apa yang patut dan selebihnya percaya pada tenaga pakar yang bekerja dengan Ella. You

cannot be selfish all the time.”

Tambah Ella lagi setiap kali dia harus bekerja untuk sebuah album baru dia akan sentiasa punya rujukan yang dijadikan sebagai panduan dan meletakkan syarat utama kepada produser untuk menghasilkan sesuatu yang punya keaslian dalam penciptaan. “Rujukan penting bagi Ella supaya apa yang ingin dicapai itu jelas dan menjadi. Ella tak mahu menghasilkan sesuatu bercampur aduk tanpa punya arah yang jelas.” Dan jujur saya setuju dengan apa dikatakan. Sepanjang berbual dengannya dia tidak putus menyebut perkataan minat dan jujur. Katanya tanpa minat yang mendalam dia takkan bertahan sampai hari ini dan tanpa kejujuran orang tidak akan dapat rasa apa yang cuba dia sampaikan.

Jika dilihat cara dia mengadaptasi lagu-lagunya agar relevan dengan trend semasa sentiasa menjadi. Saya beri contoh ketika dia era kugiran indie mendominasi pasaran dia muncul dengan trak Pop Alternatif seperti Nan Berbeza, Teruja dan Simbiosis kemudian melodi kugiran Pop Indo menguasai carta radio seperti Radja dia tampil dengan ilham Retak dan RamaRama. Malah dia juga pernah merakam trak Melayu asli Jauh Di Mata. Namun semuanya dicipta cukup tersendiri agar ramuan ‘Ella’ dalam setiap lagu yang diterbitkan tidak terlalu dibayangi trend semasa. Dan saya kira itulah alasan mengapa dia masih lagi kekal relevan sehingga hari ini selain kalimat jujur dan minat yang menjadi bahan fikir saya petang itu.

LIZA HANIM

Maaf jika saya bias. Liza Hanim adalah favourite vocalist saya melebihi mana-mana pun penyanyi yang pernah dicipta di Malaysia. Dia punya feel,

clarity dan projection hebat dalam penyampaian yang tiada tandingan. Saya akan sentiasa terbuai mendengar dendangannya dalam mana-mana trak sekalipun. Gelisah Mimpi, Andainya Aku Bersuara, Ku Idamkan Rindu, Merawat Luka Terpendam, Getaran Cinta Di Jiwa sehinggalah magis yang dicipta ketika di pentas P.Ramlee The Musical sebagai Saloma. You are the best Saloma. Saya boleh tonton anda pada bila-bila masa di YouTube. Kata saya padanya. “P.Ramlee The Musical merupakan satu fasa yang memberi impak berbeza sepanjang karier saya sebagai penghibur. Saya tak pernah bayangkan untuk terlibat dalam produksi teater muzikal sebesar itu tapi Alhamdulillah peluang itu datang pada masa yang betul di saat saya memerlukan sesuatu yang baru untuk dicuba.”

Sama seperti Dayang Nurfaizah bakat ini dicungkil daripada pertandingan nyanyian Golden Teen Search. Biar gagal mendapat tempat teratas rezekinya sebagai penyanyi masih terbuka dengan peluang yang juga datang daripada Datuk Adnan Abu Hassan dan terlahirlah debut Epilog yang menampilkan penerbit hebat seperti Azmeer, LY dan Adnan sendiri. Ketika Getaran Cinta Di Jiwa memanjat carta radio, Liza harus siap bersaing dengan Datuk Siti Nurhaliza yang ketika itu mencipta fenomenanya sendiri. Biar begitu kehadirannya tidak langsung sepi – satu per satu album diterbitkan Suria Records sehingga yang terakhir Ku Teruskan pada tahun 2003 sebelum memutuskan untuk bergerak sendiri.

Selepas album Imagin dan P.Ramlee The Musical, kelibatnya dalam industri muzik semakin menjauh. Soal saya padanya adakah kerana fokus hidup sudah berubah atau sudah tiada lagi tawaran yang menarik perhatiannya. “Ketika album Imagin diterbitkan saya baru menubuhkan syarikat sendiri yang fokusnya lebih kepada pengurusan majlis dan pengiklanan. Slowly somehow I got immerse in this business yang membuatkan fokus saya beralih seketika. Biarpun begitu saya rasa peralihan ini sesuatu yang sangat baik kerana saya bermula sebagai

front liner dan kurang arif tentang kerja belakang tabir. Jadi bila sudah berada di posisi berbeza saya belajar lebih banyak perkara tentang selok-belok produksi.” Tambah Liza lagi “Selain fokus kerjaya berubah saya juga tidak mahu lepas peluang melihat anakanak membesar. Satu hal harus dilepaskan demi menjaga satu lagi perihal yang harus diutamakan terlebih dahulu. Bukan berhenti terus dari menyanyi tetapi berehat seketika dalam kitaran hidup yang berubah.” Tahun lalu dia kembali dengan

single Egoismu untuk drama siri Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Menjadi bukti vokalnya masih antara yang terbaik dia dicalonkan dalam kategori Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik tahun lalu. Bakat seperti ini tidak datang selalu jika datangnya pada masa yang salah dan tidak beriring tuah maka sekejap sahajalah datang menyinggah. Namun saya pasti biar sepuluh atau dua puluh tahun mendatang sekali pun nama Liza Hanim pasti akan kita ingat, kita sebut dan rindu bila disoal siapa penyanyi terbaik yang pernah kita ada sama seperti Dayang, Ella dan Misha. Soalan akhir saya padanya – apakah momen terbaik sepanjang kariernya? “The beginning of the journey is magical but Saloma is the best era of my journey. The feeling is out of this world.” Biar kita kunci ingatan itu di situ dahulu sebelum dia mencipta lebih lagi magis selepas bayi keempat yang dikandung ini melihat bumi. Dan semoga selepas itu impian menerbitkan album sepenuhnya bersama iringan lengkap orkestra mampu mengubat rindu yang datang bertamu.

MISHA OMAR

Merdu suaranya tidak siapa mampu mempertikai. Saat awal hit Bunga-Bunga Cinta di corong radio saya kira suara ini cukup istimewa. Selepas Liza Hanim, Misha antara yang paling merdu. Selepas itu mungkin ada beberapa lagi tetapi sekadar datang dan pergi. Kembali ke tahun 2001 yang mana menjadi pemula cerita gemilangnya sebagai penyanyi, Misha berkata dia tidak pernah pun terlintas untuk bernyanyi sepenuh masa. Bintang RTM yang disertainya itu hanya sekadar suka-suka mengisi minat dan kehendak salah seorang ahli keluarganya yang melihat bakat yang dia ada mampu membawanya lebih jauh lagi.

“Saya memasuki Bintang RTM pada tahun 2001 dan berjaya ke final bersama-sama Azharina dan Asmidar yang ketika itu mendapat gelaran juara dan naib juara. Awalnya saya kira di situlah noktahnya namun kurang daripada sebulan Datuk Adnan Abu Hassan menghubungi saya dan merancang sesuatu. Maka

terhasillah lagu pertama Bunga-Bunga Cinta sebelum menerbitkan album penuh tahun berikutnya.” Tambah Misha lagi produser hebat itulah yang memberi nama Misha Omar sebagai penjenamaan yang kuat sehingga hari ini.

Selepas Aksara, Misha mengambil masa untuk mengeluarkan album penuh. Strategi mengeluarkan single demi single diatur Sony Music sebelum album ketiga menyusul pada tahun 2008 – jarak empat tahun selepas album keduanya di pasaran. “Saya akui semakin lama berada dalam bidang ini membuat saya lebih selektif. Tentang masa, naskhah yang betul dan kesesuaian. Saya ingin bekerja dalam keadaan seratus peratus sedia. Kalau dulu kalau sakit pun kena masuk studio dan halhal sebegini sebetulnya sedikit sebanyak mengganggu kualiti persembahan.” Jadi setelah hampir lapan tahun tanpa album studio adakah Misha sudah sedia sekarang? “Ya saya memang sudah cukup sedia. Saya fikir ini masa yang tepat untuk kembali sepenuhnya. Single pertama album keempat ini bakal menampilkan duet bersama Hafiz berjudul Terimaku Seadanya hasil ciptaan Ajai.”

Tambah Misha album ini masih lagi mengekalkan konsep sama seperti apa yang peminat sudah kenal dan tahu tetapi lengkap sebagai sebuah album dengan persembahan muzik yang cukup matang. “Album ini refleksi kepada kematangan saya secara total. Baik dalam muzik mahupun peribadi diri. Masih kental elemen Pop tetapi saya selitkan elemen fusion yang memberi nafas sedikit berbeza. Sebagai permulaan saya harap trak Terimaku Seadanya ini mampu menarik kembali perhatian pendengar muzik lokal terhadap Misha Omar.”

Di mana letaknya kepuasan Misha sebagai seorang penyanyi? Soal saya padanya. “Sejujurnya memenangi hati orang untuk suka pada apa yang kita buat dan yakinkan mereka yang kita punya sesuatu adalah perkara paling sukar. Jadi bila ada orang nampak kebolehan yang saya ada itu sudah cukup buat saya gembira. Dan bila dapat peluang merangkul trofi majlis anugerah berprestij hal ini menawarkan pengalaman berbeza. Selepas kemenangan di Anugerah Juara Lagu untuk lagu Bunga-Bunga Cinta saya sebenarnya risau dan berfikir – hari ini aku menang tapi sampai bila aku boleh bertahan? Persoalan yang begini datang tetapi Alhamdulillah dengan perancangan dan jalan yang disusun saya masih diterima sehingga hari ini untuk berkongsi lebih lagi cerita, pengalaman dan kebolehan yang ada.”

#ShowLimaBelasSaat nya di Instagram akan sentiasa saya nanti. Sebagai teman halwa telinga sebelum tidur dan pengubat rindu peminat yang sentiasa mahukan suaranya terus dilantun dengan lunak dan merdunya. Misha Omar sudah kukuh berdiri sendiri tanpa perlu dibayangi mana-mana figura yang ada. Sejarah akan terus diukir dengan cara dan gayanya yang tersendiri tanpa akan ada yang mampu mempertikai hebat dan matangnya dia dalam menjalani hidup sebagai anak seni.

“Saya akui semakin lama berada dalam bidang ini membuat saya lebih selektif. Tentang masa, naskhah yang betul dan kesesuaian.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.