DATUK SITI NURHALIZA

GEMILANG DUA DEKAD

EH (Malaysia) - - Muka Depan -

S iapa lagi yang sesuai untuk menghiasi muka depan EH! edisi muzik jika bukan Datuk Siti Nurhaliza. Penyanyi yang diangkat sebagai penyanyi nombor satu Malaysia bertahun-tahun lamanya ini punya resume kerjaya sebagai penghibur yang cukup gemilang. Ratusan anugerah sudah digenggam, 16 buah album solo (tidak termasuk album duet, kompilasi dan rakaman konsert), puluhan konsert di Malaysia, Indonesia, Singapura malah di kota London, siapa bisa menidakkan kehebatannya.

Siapa sangka bayi yang lahir di Kampung Awah, Temerloh, Pahang lebih 36 tahun dahulu akan menjadi penyanyi tersohor Malaysia. Tidak hanya dipuja masyarakat di negara sendiri, malah bakatnya jadi sanjungan negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura juga Indonesia.

‘Lahir’ daripada pertandingan Bintang HMI, takdir Datuk Siti Nurhaliza yang mesra disapa Siti ini memang sudah tertulis untuk bergelar juara pertandingan ini. Biar pun hadir lewat ke sesi uji bakat, berkat merayu dia diberikan ruang. Ternyata tidak silap juri memberikan peluang, jika tidak mungkin suara hebat Siti Nurhaliza tidak bisa kita nikmati hari ini.

Pagi penggambaran, seperti biasa Datuk Siti hadir bersama Pengurusnya, Rozie. Menariknya, Siti hadir dengan mask kecantikan di wajah (tentunya jenama SimplySiti). Hadir menggayakan blaus lengan panjang hitam dan skirt kembang rona merah pulasan. Sepanjang perbualan, Siti selesa membiasakan dirinya sebagai Kak Iti, sekali gus membuatkan bual bicara kami sungguh santai dan relaks.

GEMILANG DUA DEKAD

“Pernah tak Datuk Siti sangka atau berangan-angan boleh sepopular hari ini?,” tanya saya. “Sebagai seorang Islam kita memang kena percaya pada qada’ dan qadar. Tapi dalam masa yang sama kita sendiri kena usaha. Minat menyanyi tu memang ada dari kecil, dan orang kata sudah jadi darah daging memandangkan ahli keluarga Kak Iti juga memang ada yang punya minat dan kebolehan yang sama. Tapi, Kak Iti tak pernah jadikan penyanyi sebagai cita-cita. Cuma, bila kita dah suka menyanyi, kita nak juga uji kemampuan diri kita sendiri, sebab itulah Kak Iti beranikan diri masuk pertandingan.”

Tahun 2015 menandakan genap 20 tahun usia penglibatan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi profesional. Dan dalam jangka dua dekad ini pengalamannya bukanlah sedikit, dan Siti sendiri mengakui kehidupannya sebagai orang yang dikenali membuatkan dirinya meniti kematangan lebih pantas.

“Banyak yang Kak Iti belajar sepanjang 20 tahun ini, lebihlebih lagi dalam hal persembahan pentas. Jika dulu Kak Iti ikut sahaja yang diusulkan, tapi hari ini Kak Iti juga beri idea. Siti lihat idola-idola Siti seperti Celine Dion dan Beyonce, jika mereka buat persembahan mereka mahu tahu semua benda. Mereka terlibat dalam sekecil-kecil hal. Dalam kepala dah ada bagaimana visual satu-satu persembahan. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang penyanyi, kerana hanya kita yang tahu kemampuan kita dan apa yang kita mahu. Dan kita sebagai penyanyi perlukan orang-orang sekeliling yang boleh push kita untuk buat semua itu.”

“Kehidupan sebagai seorang yang dikenali juga membuatkan Kak Iti cepat matang. Ia juga mendidik Kak Iti menjadi orang yang tinggi kesabarannya. Kerjaya sebagai selebriti juga membuka banyak peluang dan ruang, namun itu semua bergantung kepada cara kita memanfaatkannya. Paling penting kita mesti jujur dalam bekerja dan sentiasa tahu bagaimana mahu menjaga nama baik kita sendiri. Prinsip hidup Kak Iti mudah sahaja, jadi anak seni tak seindah yang disangka, dan tak seburuk yang kita duga.”

“Apa pesanan emak dan abah Kak Iti yang dipegang sampai ke hari ini?” “Parents selalu pesan, jaga tingkah laku dan jaga maruah. Setiap kali emak telefon, dia akan selalu ingatkan perkara itu.”

“Sebaik sahaja emak dan abah izinkan jadi penyanyi, mereka sendiri sudah bersedia dengan cabarannya, mereka tahu akan ada gosip dan kata-kata orang. Dulu, kalau posing lebih sikit atau baju terketat sikit, mak Kak Iti akan call. Marah!,” ceritanya sambil ketawa. “Kak Iti akui dunia seni ni banyak cabarannya. Kalau kita tak kuat dan mudah tergoyah memang boleh hanyut. Kak Iti ni mujurlah dulu-dulu terlalu sibuk dengan kerja, masa untuk bersosial memang tak ada. Jika ada kelapangan selalunya Kak Iti guna untuk tidur sahaja,” ujarnya sambil ketawa lagi.

Dan tidaklah dinafikan menjadi seorang yang dikenali bukanlah mudah, apatah lagi buat seorang yang digilai seluruh pelosok Malaysia seperti Siti Nurhaliza. Cabaran dan dugaannya tidak kecil. Lumrah dalam kehidupan, ada yang suka ada yang sebaliknya. Selain dihujani pujian dan dipuja, pasti ada terselit keji dan benci. Ada sahaja yang menanti diri berbuat silap. Perkara ini diakui sendiri oleh Siti. Namun ujar Siti pada saya, jadikan situasi sebegini sebagai sesuatu yang positif.

“Dalam mana-mana pekerjaan pun hal ini ada, bukan dunia hiburan sahaja. Apa yang Kak Iti pegang ialah kita mesti sentiasa positif. Kita buat kerja kita dengan baik dan usah cari musuh. Halhal haters ini memang sudah menjadi lumrah, jadikan ia sebagai satu cabaran. Paling penting kita sendiri kena jujur dengan diri kita. Jika difikir-fikir, haters tu sebenarnya yang mendorong kita untuk kita buat lebih baik dan menolak kita untuk ke hadapan. Kak Iti sendiri kadang-kadang teliti apa yang haters katakan, kadangkadang ada betulnya dan kita akan perbetulkan. Haters buat kita untuk lebih berhati-hati.”

Tambah Siti lagi, “Once kita decide untuk jadi selebriti secara tak langsung kita dah buka ruang untuk orang bercakap tentang kita, tak kiralah baik atau buruk. Kadang-kadang kita tak buat pun orang akan bercakap. Dalam hal ini pada Kak Iti orang sekeliling kita memainkan peranan yang sangat penting, merekalah yang akan menjadi rujukan juga penasihat. Selama ini, Kak Rozie dan keluargalah yang jadi penyokong dan penasihat Kak Iti. Ada juga

rakan-rakan wartawan yang berkongsi pandangan. Jika dalam bab perniagaan, suami jadi rujukan.”

“Sebagai penyanyi apa yang menjadi ketakutan Kak Iti?” “Tentulah hilang suara. Itu paling merisaukan. Kak Iti pernah demam sehinggakan tonsil bengkak, suara pun jadi besar, dan selalunya untuk persembahan-persembahan kita sudah ambil duit deposit kan, jadi sihat atau tidak kita mesti teruskan juga. Jika persembahan dengan live band itu lebih mudah kerana kita boleh adjust key ikut kemampuan kita pada waktu itu, tapi jika

minus one, Kak Iti mengaku ada masanya Kak Iti terpaksa lip sync, itu pun pada waktu betul-betul terdesak. Ya, Kak Iti boleh batalkan persembahan dan pulangkan duit, tapi Kak Iti tidak mahu menghampakan peminat-peminat yang mahu melihat dari dekat dan bertemu.”

“Bagaimana Kak Iti memanjakan diri? Kesibukan tentunya membataskan aktiviti santai,” soal saya untuk mengajak Siti berbual hal-hal santai. “Sejujurnya, Kak iti rasa kehidupan lebih seimbang selepas Kak Iti berkahwin. Jika dulu fokusnya memang hanya pada kerja. Selepas berkahwin barulah Kak Iti ada masa untuk berjalan dan bercuti jauh. Kak Iti sukakan kawasan percutian seperti pergunungan dengan aktiviti lasak seperti jungle trekking dan flying fox. Berbeza dengan suami, dia lebih sukakan pantai.” Tambah Siti lagi, biasanya pada hujung minggu dia dan suami akan luangkan masa menonton wayang. “Kalau ikutkan Kak Iti suka tengok cerita hantu, tapi suami pula tak suka. Dia sukakan cerita aksi,” kongsinya yang cukup sukakan filem Conjouring.

PENGALAMAN TAWAN INDONESIA

“Pada awalnya, bila keluar album pertama dan kedua sejujurnya Kak Iti masih lagi keliru, belum betul-betul yakin mahu jadikan menyanyi sebagai kerjaya. Selepas melihat penerimaan orang terhadap album Cindai barulah keyakinan itu datang. Dan keyakinan itu datang dengan rasa tanggungjawab. Bila orang suka dan terhibur, maka kita sendiri rasa kita kena terus menghibur orang-orang yang menyokong kita.”

Tidak ramai penyanyi kita yang diterima baik di Indonesia. Segunung usaha belum tentu dapat menembusi pasaran sana, hanya yang benar-benar berbeza dan bertuah bisa ke sana. Dan Siti Nurhaliza antara yang berjaya menawan hati pendengar muzik negara seberang itu. Kongsi Siti dengan saya, ketika mula-mula ke sana dia dibayangi rasa takut. Hayat seninya di Malaysia sendiri masih hijau pada waktu itu, apatah lagi hendak memulakan tapak di Indonesia. Pengalaman pun tidak banyak.

“Kak Iti rasa diri ini sangat kerdil pada waktu itu. Orang-orang di sana juga bertanya ‘mengapa mahu masuk pasaran mereka

walhal mereka sendiri punya penyanyi-penyanyi hebat’. Kak Iti cakap pada mereka, dengar dulu. Tak kenal maka tak cinta. Jadi, bila mereka dengar lagu Cindai mereka terus suka. Orang-orang Indonesia anggap lagu Cindai itu lagu dangdut.”

“Penerimaan peminat-peminat di sana memang di luar jangka. Jika Siti buat persembahan di sana ada peminat yang sanggup datang dari jauh, naik bas 20 jam untuk sampai ke Jakarta pun mereka sanggup, malah ada yang ambil satu hari untuk sampai. Indonesia kan besar. Jika ada yang tak tahu, di sana juga ada SitiZoners. Bila tiba hari lahir Kak Iti, mereka akan berkumpul dan raikan sesama mereka biarpun Kak Iti tidak ada di sana. Dua tahun lalu Kak Iti sempat ke sana untuk buat kejutan,” tambah wanita yang meraikan ulang tahunnya ke- 36 pada 11 Januari lalu.

“Bagaimana pengalaman Kak Iti sepanjang bekerja di sana?” “Jika dilihat dari segi muzik tak dinafikan mereka lebih ke hadapan. Lebih advance. Dan sebab itulah jika mana-mana penyanyi luar yang hendak masuk pasaran sana mestilah berbeza. Mereka di sana cepat, mereka berlumba-lumba.” “Kak Iti pernah buat satu program TV di sana, pada malam

rehearsal itu juga mereka mahu tukar lagu. Hendak atau tidak, Kak Iti terpaksa akur dan hafal lagu-lagu yang mereka mahu. Pada waktu itu rasa stres sangat. Kak Iti anggap itu adalah satu cabaran dan Kak Iti kena buktikan pada mereka yang Kak Iti boleh.” Menurut Siti, pabila membuat persembahan di sana, tidak hanya mempersembahkan lagu-lagunya sendiri, dia juga sering diminta menyanyikan lagu-lagu evergreen Indonesia, antara yang popular adalah Keretapi Malam.

FESYEN SITI

Tidak sempurna berbicara tentang seseorang penghibur tanpa mengaitkan tentang fesyen dan imej sementelah muzik dan fesyen itu sering berkait. Di era moden ini muzik tidak sekadar untuk sajian telinga malah ia juga disempurnakan dengan visualnya. Siti mengakui revolusi stail dan fesyennya melalui perjalanan yang cukup menarik. Biar pun ada yang dengan mudah melabel penampilan Siti ‘kampung’, namun dia mengambilnya sebagai satu dorongan untuk dia memperbaiki imejnya dari masa ke semasa.

“Bagi Kak Iti, perjalanan fesyen kak Iti cukup menarik. Kak Iti asal kampung, jadi memang polos dalam hal berfesyen. Jadi, sejak awal dulu apa yang orang suruh pakai, Kak Iti pakai. Ikut sahaja. Walaupun menerima macam-macam kritikan tapi Kak Iti bangga sebab Kak Iti belajar sedikit demi sedikit. Perubahan itu

step by step, jadi lama-kelamaan Kak Iti jadi lebih terbuka.” “Selepas tiga empat tahun bergelar penyanyi baru Kak Iti beranikan diri untuk berkongsi pandangan dan cakap apa yang Kak Iti mahu. Dan pada waktu itulah juga Kak Iti mula berkenalan dengan Michael Ong. Jika bekerja dengan mereka yang mahir dan profesional dalam hal fesyen, Kak Iti berikan mereka ruang dan kebebasan untuk berkarya tetapi mestilah berada di atas landasan yang betul, haruslah ikut guidelines yang sudah ditetapkan.”

“Artis-artis baru hari ini rasanya lebih mudah, kerana hari ini ramai juga pereka-pereka fesyen baru. Jadi, dari awal lagi sudah ada yang sudi untuk menaja atau bekerjasama. Pilihannya lebih banyak.”

“Jika Kak Iti boleh pilih satu penampilan terbaik Kak Iti, mana satu yang jadi pilihan?,” tanya saya. “Ingat lagi tak baju warna biru firus masa Anugerah Industri Muzik, itulah penampilan yang paling Kak Iti suka, baik dari segi baju ilham Michael Ong dan juga solekan serta dandanan Kak Nurul.”

PERANCANGAN TAHUN 2015

Sempena menyambut ulang tahun ke-20 di bidang seni, pelbagai rencana sudah disusun untuk meraikan ulang tahun yang cukup bermakna ini. Sewaktu penggambaran ini berlangsung, Siti baru sahaja mendapat berita baik tentang kelulusan konsert Unplugged yang berlangsung pada 7 April lalu di Istana Budaya. “Perancangan dan persiapan untuk konsert ini sangat singkat, kerana Kak Iti sebolehnya mahu ada sesuatu yang istimewa berlangsung pada bulan April kerana ini adalah bulan ulang tahun kerjaya Kak Iti. Dan konsert ini juga adalah satu ‘showcase’ untuk album Fragmen, yang mana pada Siti album ini cukup bermakna untuk diri Siti secara peribadinya. Sewaktu album ini dirakamkan juga banyak cabaran dan dugaannya, antaranya suami Kak Iti kemalangan.”

Kongsi Siti lagi, pada bulan November nanti dia akan muncul dengan teater muzikal Siti, yakni sebuah persembahan yang akan membawa kisah kehidupan sejak kecil hinggalah hari ini. “Buat masa ini Kak Iti sedang mencari pelakon yang sesuai kerana Kak Iti hanya akan muncul pada babak yang menonjolkan imej terkini Kak Iti (bertudung),” kongsinya. Dan menurut perancangan, sebuah buku autobiografi juga akan dilancarkan seiring dengan persembahan muzikal yang dijadualkan pementasannya di Istana Budaya.

Pabila ditanya tentang SimplySiti pula, Siti bercerita tahun ini SimplySiti akan melancarkan kempen sosial baru, iaitu kempen kesedaran tentang kanser serviks. Berbeza dengan SimplySiti di Hati, kempen ini lebih kepada mewujudkan kesedaran masyarakat tentang penyakit ini. “Kita akan bekerjasama dengan National Cancer Society Malaysia (NCSM) untuk sama-sama menyebarkan informasi tentang penyakit ini. Siti dan seorang doktor akan menyertai road show yang akan bermula pada Jun hingga Julai nanti di outlet Guardian terpilih.” Menurut Siti lagi, setiap pembelian produk SimplySiti bernilai RM100 ke atas, sebanyak RM5 akan disalurkan kepada NCSM. “Walaupun kita lancarkan kempen baru ini, SimplySiti di Hati akan tetap diteruskan.

“Apa lagi impian Kak Iti untuk SimplySiti?” “Dunia kecantikan kan luas, banyak yang boleh kita explore. Kak Iti ingin sekali punya minuman kesihatan. Itu sesuatu yang bakal Siti usahakan.” Sebelum mengakhiri bicara, saya sempat meminta senarai makanan tambahan yang Siti amalkan. Kongsi Siti dengan saya, setiap hari dia akan mengamalkan pengambilan fish oil, Q10 (baik untuk memori), vitamin C, olive oil atau coconut oil. Sesekali Siti akan membuat sendiri jus delima, makan madu, kurma dan susu kambing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.