DUNIA BARU

ELIZAD SHARIFUDDIN, TASHA SHILLA & UMMI NAZEERA

EH (Malaysia) - - Muka Depan - TEKS & PENYELARAS KHAIRUL ABIDIN ISHAK PENATA GAYA YANA BAHARUDIN & MUZAMMIN ARAHAN SENI ZULKIFLI SULAIMAN GAMBAR AARON (LENSWORKS STUDIO) SOLEKAN SHENG SAW (TASHA SHILLA & ELIZAD SHARIFUDDIN) & SAIDATULNISA (UMMI NAZEERA) DANDANAN GARY (SHAWN CUTLER)

Elizad Sharifuddin

Tiba-tiba nama Elizad Sharifuddin meletup, ini semua gara-gara kemunculanya menerusi drama bersiri Teman Lelaki Upahan. Siapa sangka selepas beberapa tahun menghilang namanya kembali disebut-sebut. Jika dulu dikenali sebagai Siti Elizad, kali ini dia mahu dikenali sebagai Elizad Sharifuddin. Bila ditanya mengapa menukar nama, balasnya ia adalah satu cara penjenamaan semula dirinya sebagai pelakon. Selepas beberapa tahun menyepi, dia mahukan nafas baru kepada kariernya.

“Ke mana menghilang?” tanya saya. “Bukan sengaja menghilang, namun saya menjalankan tanggung jawab sebagai anak. Saya berehat sebentar dari dunia lakonan kerana mahu menjaga arwah emak saya. Sebagai anak tunggal perempuan, jadi sudah tentu peranan itu tergalas di bahu saya,” jelas Elizad yang menjaga selama lima tahun ibunya yang lumpuh selepas menghidap Parkinson. Ibunya pergi menghadap Ilahi pada tahun 2012.

“Tapi tidaklah saya menyepi terus sepanjang lima tahun itu, jika ada tawaran yang memerlukan saya di set sekadar sehari dua saya terima. Tapi manalah orang nak perasankan jika setakat beberapa scene.”

“Banyak hikmahnya, jika mak tak sakit mungkin kehidupan saya lain. Saya mengaku saya dulu sedikit ‘sosial’, jadi kesempatan yang Tuhan bagi untuk bersama-sama mak telah banyak merubah kehidupan saya. Dulu, mak sayalah yang beriya-iya mahu saya jadi pelakon. Dia suka tengok TV, dan dia selalu cakap teringin mahu tengok saya keluar TV. Tapi niat sebenar dia bukanlah mahu saya jadi pelakon, itu sekadar alasan supaya saya merubah personaliti saya. Saya dulu kasar orangnya, adik-beradik semua lelaki, personaliti saya terikut-ikut dia orang. Jadi bila jadi pelakon, perlahan-lahan personaliti jadi lebih lembut.”

Dalam banyak-banyak perancangan, pelan Tuhan juga yang terbaik. Selepas dia sempat berbudi kepada arwah bondanya, rezekinya menyusul dengan pelbagai tawaran. Diterima lebih baik selepas berkahwin, jadi perjalanan Elizad hari ini tampaknya dipermudahkan. Menurut Elizad dia percaya pada rezeki dan dia bersyukur kerana Tuhan mempermudah dan memurahkan rezekinya hari ini.

Memandangkan namanya kembali menjadi sebutan sebaik sahaja muncul menerusi slot Akasia, saya tanyakan pendapatnya tentang impak yang dicetuskan oleh slot tersebut. Ramai juga pelakon-pelakon yang berjaya menjadikan slot tersebut sebagai platform untuk melonjakkan nama. “Ya, saya tak nafikan Akasia adalah satu medium atau peluang terbaik, kalau you bagus, impaknya pun bagus, begitulah sebaliknya. Hampir setiap hari wajah you ada di kaca TV, jadi penonton berasa lebih dekat. Paling penting adalah bagaimana you nak tawan penonton untuk kekal menonton setiap hari. Seperti Teman Lelaki Upahan, orang suka mungkin kerana kelainan yang cuba dibawakan. Kami sebenarnya tidak terikat dengan skrip, kami bebas untuk adlib. Jadi, setiap kali sebelum masuk ke set, saya dan Ungku Ismail akan berbincang terlebih dahulu.”

“Bagaimana pula dengan trend tajuk-tajuk drama hari ini yang tajuknya mirip antara satu sama lain. Dia Sebenarnya Isteri Saya, Playboy Itu Suami Aku dan beberapa tajuk lain, hinggakan ia jadi bahan mainan di media sosial. Selama mana rasanya penerbit mahu bermain dengan drama-drama sebegini?” “Tak saya nafikan, industri kita banyak dipengaruhi trend, kiranya sekarang memang tengah musim drama sedemikian. Bukan sahaja drama, novel pun begitu. Selagi tak ada orang pecahkan trend itu, selagi itu ia berterusan. Contohnya, dulu kita asyik disajikan dengan filem seram, back to back filem seram muncul di pawagam hinggalah Ombak Rindu muncul, dan ia jadi begitu hit. Maka selepas itu muncullah cerita-cerita cinta pula.”

“Penonton ni bila mereka suka satu-satu benda, they want more. Kalau mereka suka cerita romantik, mereka mahu lagi. Begitu juga dengan siri yang berasaskan novel, mereka mahukan lagi. Novel memberi peluang kepada pembaca untuk berilusi, dan menerusi drama pula kita tonjolkan dari sudut imaginasi dan persepsi yang lain. Kita perlukan skrip yang bagus juga pengarah yang boleh beri sentuhan berbeza,” jelasnya yang bakal muncul dengan filem Harmonika iaitu sebuah filem seram.

“Apa yang penting untuk jadi seorang pelakon yang baik?” “Pada saya punctuality itu sangat penting. Usah lambat, jika lambat you akan menyusahkan orang lain. Saya pelik bagaimana ada orang tergamak datang lambat dan bagi alasan terbangun lambat. Jika tak boleh buat dan beri komitmen, jangan buat. Sebab itu saya tak pernah ambil dua kerja dalam satu masa sebab saya tahu kita mungkin akan menyusahkan orang. Lagi satu, sebagai pelakon kita juga mesti pandai bagaimana untuk hook penonton untuk setia menonton kita.” Bila ditanya tentang kontroversi yang mengatakan dia menyorokkan kisah perkahwinannya, Elizad punya alsan yang cukup kukuh. “Saya berkahwin pada waktu nama saya sudah lama menyepi, jadi saya sendiri berasa pelik andai kata tiba-tiba saya muncul untuk mengumumkan saya nak berkahwin. Hendak jemput wartawan sekalipun saya malu, nanti orang kata popular kah saya nak hebohkan hal perkahwinan saya. Lagi pun perancangan dan persiapan majlis kahwin saya dilakukan pada saat akhir, memandangkan ayah kurang sihat, jadi saya perlu percepatkan pernikahan saya memandangkan rancangan berkahwin ini sendiri sudah tertunda dua kali.”

Ummi Nazeera

Sewaktu artikel ini ditulis, Ummi Nazeera sedang sibuk melaksanakan tugasnya sebagai pemegang watak Tun Teja untuk siri 13 episod Megat Panji Alam untuk siaran TV Alhijrah. Bergandingan bersama Johan As’ari, Eman Manan dan Zulhelmi, ini merupakan projek terbarunya selepas menyudahkan telemovie Angin Cinta, yang mana menyaksikan gandingannya bersama Zizan Razak. Beberapa hari sebelum penggambaran ini pula drama Cik Puan Sinderella telah berjaya menawan penonton juga peminatnya.

Melihatkan deretan projek yang disempurnakan, dapat saya simpulkan bahawa dia benar-benar serius untuk menggerakkan kerjayanya sebagai pelakon ke peringkat yang lebih tinggi. “Saya ingin cuba pelbagai genre. Jika dulu lebih banyak dengan watak-watak serius, saya cuba memberi warna kepada resume saya sebagai pelakon. Cik Puan Sinderella adalah projek sulung saya selepas tampil dengan imej baru. Sudah lebih dua tahun tidak ke lokasi, jadi saya gembira atas reaksi positif penonton terhadap Cik Puan Sinderella.”

Menurut Ummi, biarpun tawaran berlakon sudah singgah sejak tahun lalu, namun dia mengambil masa untuk membuat keputusan. “Tawaran awal yang datang ialah watak ustazah, saya tolak. Mengapa? Sebab saya tidak mahu cipta impression bahawa saya hanya akan terima watak-watak sedemikian. Biarlah kemunculan sulung saya selepas tampil dengan imej bertudung dengan sesuatu watak berbeza. Saya tak mahu ada yang salah sangka.”

“Awalnya agak sukar untuk saya mengembalikan momentum. Saya jarang berlakon untuk cerita cinta, sebelum ini pun saya banyak menggalas watak-watak serius untuk filem berat seperti Penanggal dan Hikayat Merong Mahawangsa, jadi saya memerlukan sedikit masa untuk mencari chemistry dengan gandingan saya. Bersama Zizan saya berasa kaku pada awalnya. Bila sudah melakukan beberapa projek, saya lebih bersemangat. Saya mula sedar, inilah tempat saya. I’m supposed to be here.” Ya, siapa mampu menidakkan bakat yang ada pada Ummi, dia bukan sekadar berbakat tetapi hebat. Malah namanya juga antara lima yang tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia tahun lalu menerusi filem Penanggal.

Menurut Ummi, kali ini dia mahu lebih fokus dan serius untuk membawa karier lakonannya ke satu peringkat yang lebih baik. “Dulu sebenarnya saya tidak serius, berlakon satu drama atau filem, kemudian saya stop dan kemudian muncul semula, semuanya atas komitmen peribadi seperti kerja dan sebagainya. Dulu saya agak selective juga, saya memilih untuk bekerja dengan pengarah baru, juga penulis skrip yang bagus juga sparing partner yang strong, kerana mereka semua memberi impak kepada kualiti lakonan saya. Kali ini tidak, saya lebih fokus dan kerana itulah saya decide untuk melantik orang lain untuk menguruskan kerja saya. Setakat ini saya senang dengan Uprising, mereka bergerak seiring dengan saya, sama-sama cepat.” Jelas Ummi, dia perlukan seseorang untuk push dirinya bekerja, sekurang-kurangnya terbit rasa komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan.

Tambah Ummi lagi, biasanya dia akan berehat seminggu dua sebelum memulakan projek baru. “Saya perlu ambil masa untuk buang karekter lama sebelum menyerap watak baru. Kadang-kadang kita terbawa-bawa sesuatu watak.” Boleh dikatakan itu bagaikan satu detoks padanya.

Program Nona menjadi kemunculan sulung Ummi secara rasmi selepas berhijrah. Selepas mendiamkan diri dan adakalanya menjadi teka-teki tentang penghijrahannya pada peringkat awal dulu, Fara Fauzana (pengacara Nona ketika itu) berjaya memujuk Ummi untuk tampil sebagai hos jemputan. “Saya tewas dengan pujukan Fara dan dalam masa yang sama saya akui saya rindu untuk beraksi di hadapan kamera. Dari situlah Alhidayah memanggil saya untuk datang casting.” Bersama Alhidayah, Ummi sempat menjadi nadi kepada program tersebut untuk 26 episod. “Tak mudah sebenarnya, kerana kita mengemudi sebuah program yang berlandaskan fakta. Jadi setiap apa yang kita tuturkan mestilah tepat,” tegasnya.

Selain akaun Instagram Ummi, saya juga merupakan follower kepada akaun abangnya, Nazreem. Daripada apa yang saya lihat, kedua-duanya cukup menyanjung ibu mereka. Akan sentiasa ada post tentang luahan rasa cinta kepada ibu, sekaligus membuatkan saya berasa cukup tersentuh. Kongsi Ummi dengan saya, ibu adalah idolanya. Semakin meningkat usia, rasa untuk menghargai ibunya semakin menebal. “Semakin besar, saya semakin rapat dengan ibu. Dalam hidup saya, my mom memang memainkan peranan besar dalam membesarkan saya, selain menyara dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu, dia juga banyak mempengaruhi peribadi saya. Dia seorang ibu, juga seorang teman.” Bercerita tentang persiapan meraikan ketibaan Ramadan dan Syawal, menurut Ummi sambutannya pasti berbeza tahun ini memandangkan tahun ini merupakan tahun pertama dia beraya tanpa datuknya (sebelah ibu). Hubungan Ummi bersama datuknya sangat rapat, tidak hairan pada satu ketika dulu Ummi pernah bercadang mahu re-branding namanya kepada Nazeera Musa. “Rutinnya, kami sekeluarga akan meraikan Aidilfitri di Besut, Terengganu dan setiap hari raya juga keluarga besar kami akan bergambar bersama. Memandangkan tahun ini adalah kali pertama kami beraya tanpa atuk, sebagai anak sulung, maka menjadi tugas untuk mak mengumpukan semua adik-beradiknya.”

Sebelum mengakhiri temu bual ini, Ummi sempat berkongsi rasa syukurnya bersama saya, luah Ummi pengalamannya menyambung pengajian di Australia telah banyak mengajarnya memahami tentang kehidupan. “Saya bersyukur saya buat keputusan untuk ke sana. Banyak yang saya belajar. Pengalaman tinggal sendiri juga menguruskan segalanya sendiri menebarkan 1001 hikmah. Dan di sana jugalah saya mula mengambil keputusan untuk mengenakan hijab.”

Tasha Shilla

Sewaktu penggambaran ini berlangsung, nama Tasha Shilla sedang hangat diperkatakan. Antara yang menjadi bualan adalah perpisahannya dengan bekas kekasih hatinya, Han. Tidak cukup dengan itu, soal pemakaiannya juga dipersoalkan. Di sebalik cakap-cakap orang itu, saya puji fokusnya dalam bekerja, dia masih meneruskan aktiviti kerjayanya dengan penuh tanggungjawab atas dasar profesionalisme.

“Apa perasaan Tasha sekarang?” soalan pertama saya sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya ke kerusi solek? “Saya berasa bebas dan dalam masa yang sama saya dapat rasakan saya punya ruang untuk appreciate diri sendiri dengan lebih baik. Hal-hal negatif yang berlaku kebelakangan ini tidak sekali mematahkan semangat saya, saya Aquarius, I’m a fighter. I’m a warrior,” ujarnya yang seakan faham maksud soalan saya tadi punya kaitan dengan kontroversi yang melanda.

“Apa yang Tasha lihat pada kontroversi?” tanya saya lagi. “Pada Tasha kontroversi adalah satu cabaran, orang mahu lihat bagaimana kita mengawal atau berhadapan dengan satu-satu kontroversi, sama ada menghadapinya dengan kesabaran atau kita bertindak balas dengan kemarahan. Jika dengan kesabaran, Insya-Allah positif kesannya, andai dengan kemarahan lainlah pula jadinya.”

“Emak saya selalu pesan, jadilah diri sendiri dan sentiasa percaya pada diri sendiri. Tunjukkan attitude kita yang sebenar. Berbuat baik dengan semua orang. Tingkah laku yang baik akan menjadi ‘wajah’ kepada keperibadian kita walaupun tanpa mengutarakan sebarang kata-kata.”

Sebelum berkongsi dengan mana-mana media tentang punca perpisahannya dengan Han, Tasha terlebih dahulu menceritakan situasinya bersama saya. Ujar Tasha, dia dan Han masih lagi punya hubungan yang baik, mereka berkawan. Pada fasa sekarang adalah masa untuk masing-masing memperbaiki kelemahan diri. Waktu untuk mencari dan menghargai diri sendiri.

“Saya akui, kami agak terburu-buru declare kepada umum tentang hubungan kami sewaktu mula-mula berkenalan dulu, walhal pada waktu itu kami sendiri tidak sedar hakikatnya kami tidak bersedia sepenuhnya. Namun Tasha bersyukur semuanya terjadi sebelum kami melangkah ke tahap yang lebih serius, yakni perkahwinan. Semuanya berlaku adalah satu pengalaman juga pengajaran,” ungkap Tasha yang menjelaskan perpisahan mereka tiada kaitan dengan sesiapa, semuanya berpunca daripada mereka berdua sendiri.

Menurut Tasha banyak yang dipelajari daripada perpisahan ini. Katanya perpisahan adalah waktu terbaik untuk dia berubah. “Pada waktu kita patah hatilah ruang terbaik untuk kita perbaiki kelemahan. It such a blessing pada saya. Pesan saya, dalam situasi sebegini percayalah pada pilihan kita sendiri, usah mudah dipengaruhi dengan kata-kata orang.”

Usai perpisahan itu, ramai pula cakap-cakap belakang mengatakan penampilan seksi Tasha sejak kebelakang ini adalah satu cara Tasha memberontak. Hakikatnya menurut Tasha dia sekadar menggayakan apa yang dia suka. “Sejak dulu saya suka berfesyen dan sekarang saya dah dapat bentuk tubuh yang saya idamkan jadi inilah masa terbaik untuk saya sarung baju-baju yang saya suka. Dah lama mengidam tubuh kurus seperti Kate Moss,” katanya yang mengakui perpisahannya dengan Han sedikit sebanyak menjadi punca mengapa dia turun berat badan. “Normallah bila kita sedih kita hilang selera makan, tapi kita cuba jadikan ini satu peluang terbaik untuk dapatkan bentuk badan yang saya idamkan.”

“Saya tak pernah lakukan sesuatu dengan niat untuk impress sesiapa. Bila orang kata seksi, itu mungkin di mata mereka. Seksi di mata mereka belum tentu seksi di mata saya. Saya akui selama ini saya takut-takut untuk menonjolkan karekter saya sebenar, kini saya cuba tunjukkan pada khalayak siapa saya sebenar. Tetapi tidaklah saya kata selama ini saya bersikap hipokrit atau cuba menjadi orang lain, cuma saya masih tercari-cari bagaimana saya boleh bawa karekter diri saya sebenar pabila bergelar selebriti. Sikit demi sedikit saya cuba tunjukkan, it takes time untuk orang faham dan terima.”

“Apa yang buat saya geram ialah pabila lapan gambar saya di beberapa majlis dipadam Instagram atas report orang-orang yang tak bertanggungjawab. Pabila orang jemput saya ke sesuatu majlis, mereka akan expect untuk saya berkongsi dengan followers saya, lagi-lagi pabila mereka sendiri pakaikan saya dengan baju-baju mereka. Kalau tak suka klik unfollow. Saya tak pernah minta semua orang suka saya. Lagi satu, saya nak orang tahu saya tak perlukan nasihat daripada sesiapa, saya ada keluarga dan rakan-rakan rapat saya sendiri,” ujarnya yang mula dikenali menerusi filem Ratu dan drama bersiri Gemilang yang pernah disiarkan di TV3.

Tasha juga sempat berkongsi berita gembira, tidak lama lagi dia akan muncul dengan produk minuman kesihatannya sendiri, yang mana minuman ini dicipta untuk reshape dan mantapkan tubuh badan. “Produk ini dicipta untuk mereka yang melakukan diet dan melakukan senaman, ia dicipta untuk tone dan fitkan tubuh. Insya-Allah tahun ini akan diperkenalkan, setakat ini persiapannya sudah sempurna 50 peratus.”

Bercerita tentang Aidilfitri, ujar Tasha biasanya dia akan meraikan Aidilfitri di Kulai, Johor (kampung sebelah ibu) terlebih dahulu. Selepas sehari dua di Kulai, barulah dia dan keluarganya meraikan Aidilfitri di Ulu Yam (kampung sebelah ayah).

“Pada Tasha, apa itu Aidilfitri?” “Pada Tasha, Hari Raya adalah kesempatan untuk kita bersama-sama keluarga serta bermaaf-maafan. Bunyinya klise tetapi itulah senario yang kita lalui tiap kali lebaran tiba,” jelasnya yang cukup menggemari lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Sudirman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.