DEMI DUIT, JADI NOMBOR DUA TAK MENGAPA

KISAH BENAR

EH (Malaysia) - - Muka Depan -

W ang ringgit kini adalah satu ‘item’ subjektif yang sentiasa diperlukan manusia dalam kehidupan harian. Ada yang sanggup memusuhi teman sendiri hanya kerana mengejar kebahagiaan dunia. Ribut taufan yang melanda di negara kita kini adalah kejatuhan mata wang ringgit yang membuatkan ramai berasa gusar! Setiap hari di laman media sosial, ada sahaja prediction orang yang konon-konon pandai dalam segala hal. Keyboard warrior semakin rancak berperang di depan skrin, lantang bersuara demi memuaskan amarah mereka, mungkin dek kerana kesempitan hidup yang dilalui. Malah, ada khabar berita mengatakan duit kita tidak laku di luar negara? Entah betul entah tidak, atau hanya spekulasi semata-mata. Kerana kesusahan ini mungkin menjadi punca sebahagian wanita bertindak mengambil jalan pintas hanya untuk mendapat kesenangan percuma. Zaman kini ramai yang menolak ke tepi maruah diri. Ini bukan satu kisah sengaja saya reka-reka, memang terjadi kepada teman saya.

Tidak sangka teman rapat saya ketika di zaman sekolah, (ketika itu masing-masing masih comot dan cukup asing dengan dunia luar) kini dia tampak berbeza sekali. Dari segi penampilan hingga ke gaya percakapan. Habis semuanya berubah, bagaikan saya baru mengenali dia. Saya panggil dia Ayu (bukan nama sebenar), dulu dialah tempat saya berkongsi segala rahsia, namun atas sebab tertentu hubungan kami semakin jauh. Ayu menamatkan pengajian dalam bidang perbankan dan dia pernah bekerja di sebuah bank terkenal. Hampir enam bulan dia bekerja di situ dan cukup dikenali sebagai pekerja yang berdedikasi kerana menjadi pekerja paling cepat close account untuk kliennya tapi ini bukan klien personal.

Dengar khabar, Ayu sudah putus dengan kekasih lamanya hampir tiga tahun mereka bersama dan sudah dicanang berita yang mereka akan bertunang. Tapi semua itu hanya tinggal kenangan, dia kini memilih untuk bersama dengan seorang lelaki jauh lebih berusia yang sudi menjana pendapatan lebih untuk dirinya. Bibit percintaan bermula saat lelaki yang bergelar Datuk menjadi klien Ayu untuk menguruskan hal perniagaannya dan mereka semakin rapat hingga ke tahap yang lebih serius. Hendak kata Ayu sengkek tidak berduit, tidak juga kerana keluarganya sendiri sudah punya perniagaan sendiri, malah adik-beradiknya yang lain turut mempunyai karier masing-masing. Tapi seingat saya pada zaman sekolah, dia sememangnya terkenal dengan gaya dan cara pembawaan diri yang sentiasa ingin tampil cantik, mahu lebih cantik

lebih cantik daripada orang lain! Kembali ke kisah hubungan istimewa mereka, hampir setiap bulan Datuk itu memasukkan sejumlah duit yang banyak untuk kegunaan peribadi Ayu dan kini dia semakin diulit mimpi indah ditaburi wang ringgit. Daripada kereta Kancil, kini bertukar ke BMW! Wah, seronok sungguh kehidupan dia.

Ayu masih bekerja seperti biasa dan kerana sayangnya Datuk terhadap dia, statusnya bertukar sebagai seorang ahli perniagaan dengan membuka sebuah kafe makanan dan semuanya ditanggung walaupun dia menafikan kafe ini adalah tajaan sepenuhnya. Dia bersungguh mengatakan ini hasil simpanan duit yang sudah lama disimpan! Siapa yang hendak mengaku diri jika sedang ditaja oleh seorang Datuk, betul tak? Adakala saya terfikir apakah isteri Datuk yang melayan Ayu itu tidak menghidu akan hubungan mereka? Hinggakan mereka berdua outstation bersama-sama hampir setiap bulan ke luar negara. Kehidupan Ayu semakin berbunga malah penampilannya berubah persis seorang sosialit, dia pantas menayangkan beg tangan mewahnya di hadapan teman-temannya. Siapa sangka gadis baru berumur 25 tahun kini membimbit beg tangan Birkin, Hermes bersaiz paling besar yang anda pasti sudah tahu berapa angka harganya.

Sedang rancak mereka bermadu asmara, akhirnya ‘terkantoi’ jua hubungan sulit mereka di hadapan isteri pertama Datuk. Tiga pasang mata bertentangan sesama sendiri, tiada sebutir perkataan dihembuskan hanya layangan laju penampar hinggap di muka mulus Ayu! “Betina tak sedar diri, patutlah suami aku jarang balik rumah”,teriak Datin dengan penuh rasa marah dan kesal akan perbuatan suaminya yang pernah dia kasihi. Sejak kejadian itu, Datuk hilang selama dua minggu dan Ayu semakin dihimpit kesusahan. Dia kini berada keseorangan, kosong malah sahabat karibnya yang dia tinggalkan semata-mata mengejar kemewahan menjauhkan diri. Yang ada hanyalah kawan plastik yang hanya menunggu disuapkan duit daripada Ayu.

Puas dia mencari kekasih hatinya namun siasia. Baru sahaja ingin meneruskan kehidupan barunya, Datuk muncul kembali dan kali ini dengan lebih serius. Jelas Datuk, dia berhasrat untuk memperisterikan Ayu sebagai isteri kedua setelah mendapat kebenaran daripada isteri pertama. Alasan kerana sudah terlanjur beberapa kali. Ayu melonjak keriangan kerana dia bakal mengahwini lelaki paling dia sayang walaupun jarak umur mereka 20 tahun, kerana wang soal umur dia ketepikan. Baginya yang penting dia bahagia mendapat kesenangan sepanjang hayat dan tidak perlu bersusah payah. Ada sifat tamak menyelubungi dirinya kerana dia turut memasang angan-angan untuk bergelar Datin dan menjadi isteri pertama Datuk. Namun, apakan daya Datuk tidak akan menceraikan isteri pertamanya. Akhirnya setelah satu tahun mengikat tali pertunangan, Ayu sah menjadi isteri kedua Datuk, dia kini berpindah ke rumah lebih besar dan mempunyai laman rumah cukup indah. Semakin mewah semakin bongkak, dengan status sudah bertukar dia kini semakin berlagak dan tidak melayan orang yang tidak setaraf dengannya.

Belum puas menikmati kemewahan, suaminya kini mula jarang pulang ke rumah. Gusar di hatinya, “Adakah dia pulang ke rumah Kak Nor?” Baru enam bulan berkahwin belum masuk satu tahun lagi suaminya kini mula menunjukkan belang sebenar. Sangkaannya tepat, suaminya kini bermain cinta dengan gadis lebih muda lagi bergetah daripada dia. Hendak menangis tidak berguna lagi, jika dulu dia pernah menyakitkan hati isteri pertama kini hatinya pula ibarat dihiris dengan pisau tajam melihat perbuatan suami sendiri. Mereka berdua kerap bergaduh, apabila Ayu bertindak untuk menghalang Datuk keluar dari rumah hinggakan Datuk terungkap perkataan, “Aku ceraikan kau dengan talak satu.” Terduduk Ayu apabila suaminya sanggup menceraikan dia hanya untuk bersama dengan kekasih baru. Kalau dahi sudah dicop sebagai buaya darat, memang tiada daya yang boleh dihalang.

Bukan sahaja dia diceraikan dan segala harta benda yang dimilikinya sebelum ini turut diambil kerana tiada sebarang dokumen sah mengatakan ia harta pencarian bersama. Ayu kembali dengan kehidupan lamanya dan hanya tinggal di rumah milik ibu bapanya. Kini dia hanya menganggur duduk di rumah, tidak mahu bertemu dengan orang ramai kerana malu dengan sikap bodoh sombongnya dulu lebih-lebih lagi dengan teman rapatnya yang dikenali sejak kecil. Malah, dia cukup menyesal setiap perbuatan tamaknya untuk mengecapi kehidupan mewah secara ekspres! Benarlah, kata pepatah lama, “Ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan,” menderita mencari kebahagiaan atas dasar kemewahan dan tidak telus dalam perhubungan. Saya harap pembaca EH! mengambil kisah sahabat saya ini sebagai pedoman hidup anda.

“TIGA PASANG MATA BERTENTANGAN SESAMA SENDIRI, TIADA SEBUTIR PERKATAAN DIHEMBUSKAN HANYA LAYANGAN LAJU PENAMPAR HINGGAP DI MUKA

MULUS AYU!”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.