MENGAPA RAMAI TIDAK TAHU MENGENAI PERANCANGAN KELUARGA?

EH (Malaysia) - - Kesihatan -

1MALU DENGAN MASYARAKAT

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Bayer HealthCare pada tahun 2013, satu daripada lapan pasangan tidak pernah membincangkan perihal perancangan kehamilan bersama pasangan malah 22.7 peratus pula mengatakan bahawa mereka hanya berdiskusi mengenai isu tersebut pada awal hubungan mereka. Malah dalam kajian itu lagi, hampir suku daripada responden tidak menggunakan sebarang kontrasepsi manakala 54 peratus pula terlupa untuk menggunakan pencegahan kehamilan. Rasa malu untuk membeli kondom terutamanya sering menjadi punca utama. Jika anda mahu tahu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyediakan perkhidmatan perancang keluarga dan rawatan kesuburan yang lengkap termasuk kaedah mencegah kehamilan yang boleh didapati dengan harga lebih murah berbanding jika dibeli di farmasi. Buang rasa malu dan lakukan apa yang sepatutnya.

2INFORMASI YANG TIDAK MENCUKUPI DAN SALAH

Memilih kaedah pencegah kehamilan adalah antara keputusan yang penting yang anda dan pasangan perlu diskusikan sebelum pengambilannya. Sebelum itu, anda perlu mengenal pasti jenis kontraseptif yang sesuai dengan diri anda dan perlu mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan agar tidak memudaratkan diri. Namun begitu, ada sesetengah wanita mengelak untuk mengambil pencegah kehamilan sebagai contoh pil perancangan kerana percaya ia tidak baik untuk kesihatan. Hakikatnya pil tersebut membawa lebih banyak faedah kepada wanita dengan mengurangkan risiko kanser ovari dan pangkal rahim, mengurangkan berlakunya ketumbuhan pada ovari, jerawat, lebihan bulu pada badan dan muka serta mengurangkan kekurangan darah atau anemia. Jadi penting untuk lakukan sedikit penyelidikan mengenai kontraseptif.

3 TIADA AKSES SEPATUTNYA

Di dunia yang canggih kini, hampir semua orang memiliki peranti pintar yang lengkap dengan data Internet. Namun begitu tidak semua yang mengetahui atau memiliki akses untuk mendapatkan informasi mengenai perancangan keluarga terutamanya di kawasankawasan luar bandar yang mana hubungan kelamin dan perancangan keluarga masih dianggap sebagai tabu untuk dibincangkan. Ada juga tidak tahu di mana mereka boleh mendapatkan kontraseptif dan ini menyebabkan kepada isu yang tidak diingini seperti kes buang bayi. Akibat kejahilan mengenai kaedah selamat perancangan keluarga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan seramai 152,182 anak luar nikah dilahirkan pada tahun 2008 hingga 2010. Tidak salah untuk kita mula menyebarkan informasi betul terutamanya kepada remaja yang masih tidak memahami perubahan diri. Pendidikan yang betul dapat menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah. “Menurut kajian yang dilakukan oleh Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM5), kadar kelahiran di Malaysia semakin rendah. Tahun 2014 mencatatkan bahawa kadar kelahiran bagi setiap pasangan di Malaysia kian merosot sehingga ke paras 2.0 orang anak sahaja. Namun begitu, setiap hari kita digegarkan dengan berita pembuangan bayi. Walaupun tiada statistik yang direkodkan di Malaysia, dikatakan jumlah kematian akibat pengguguran tidak selamat kerana kehamilan tidak diingini dijangka terus meningkat. Kefahaman terhadap hubungan kelamin dan kontraseptif dapat mengelakkan pelbagai masalah di masa hadapan, walaupun ia sukar dibincangkan secara umum namun sudah tiba masanya untuk masyarakat mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Salah faham mengenai kontraseptif timbul daripada kepercayaan yang tidak berasas jadi rujuk kepada pakar perubatan dan media yang betul untuk maklumat berasas.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.