KISAH BENAR

Drama Balik Kampung

EH (Malaysia) - - Contents -

Sudah menjadi resam keluarga, pabila Syawal berkunjung pasti ada kisah lucu sepanjang menyambut hari paling gembira seisi keluarga ini. Namun, janganlah sampai bermasam muka hingga ke hujung tahun, isunya kecil, hanya berpunca daripada giliran pulang ke kampung!

Sudah hampir 10 tahun aku merantau dan menetap di negara orang atas tuntutan kerja. Namun, setiap kali tibanya Ramadan dan kemudian bertandang pula bulan Syawal aku pasti teringat kisah lucu terpercik pahit antara kedua orang tuaku. Hingga kini kami sekeluarga terngiang-ngiang apa yang telah berlaku sewaktu aku masih bersekolah.

Imbas kembali peristiwa yang berlaku lebih kurang 10 tahun lalu, ibu berniaga kecil-kecilan dengan menjual kuih-muih dan abah pula bekerja di pusat servis kereta. Mereka berdua sering sibuk dengan urusan kerja dan kami adik-beradik kadang-kadang menumpang di rumah jiran.

Tahun itu, seperti selalu bila tiba bulan Ramadan kami sekeluarga berbuka puasa dengan juadah-juadah ringan, selalunya yang manis-manis. Selepas selesai solat terawih barulah perut kami dijamu dengan sajian yang berat-berat. Itu sudah jadi satu rutin kami semua. Hari berganti hari, ibu sibuk dengan persiapan raya kami sekeluarga. Termasuklah memilih tema pakaian hinggalah membuat beberapa jenis biskut raya.

Kata ibu, “Kita sekeluarga mesti nampak sedondon, nanti bila sudah sampai kampung senang, sanak saudara kenal kita.” Hal-hal berkaitan persiapan raya semuanya terpulang pada ibu, jika dibantah nanti ada yang merajuk! Dan abah pula kerjanya makin sibuk menjelang raya, biasalah makin dekat raya makin banyak kereta perlu diservis.

Kejadian yang ingin aku ceritakan ini berlaku seminggu sebelum pulang beraya. Ibu memang orang paling seronok sebab tahun ini tiba giliran beraya di kampungnya. Ibu lahir dan membesar di Kuala Kangsar, Perak. Sudah bertimbun beg atau perkakas raya yang ingin dibawanya. Jerit abah, “Sudah-sudahlah packing barang awaknya! Kita balik seminggu sahaja bukan tinggal sana terus. Tak usah bawa banyak barang nanti tak muat kereta, bukan kita balik dengan lori!” Sindiran abah membuat aku dan adik-beradik lain ketawa. Abah memang suka bergurau, dan kadang-kadang usikannya ‘makan dalam’. Ibu memang keras kepala, macam aku cakap tadi semua arahannya perlu dipatuhi. Usah dibantah. Sesudah dia mengemas, kali ini dia sibuk berbual telefon dengan nenek di kampung. Macammacam ceritanya, apa yang aku dengar semuanya berkait fasal raya. Ibu cakap persiapannya kali ini lagi meriah, tiga kali ganda belanjanya berbanding tahun lepas.

Dalam sibuk ibu berbual, abah pulang ke rumah. Wajahnya sugul, tak bermaya. Tak sihat agaknya. Selalunya, jika dia pulang ada sahaja celotehnya tetapi tidak hari itu, hari yang sama sepatutnya kami pulang ke kampung. Ibu menguak pintu biliknya kerana terdengar bunyi enjin kereta abah, dia terus keluar dan menyambut

Ayah menunduk kepala dan terdiam. Bagai mencari-cari idea menyusun ayat-ayat. Gerakgerinya macam orang berbuat kesalahan besar, bagaikan sudah tiada pengampunan bila melihat riak wajahnya. Perlahan-lahan abah membuka bicara, katanya kami mungkin kami tidak dapat pulang ke kampung ibu sebaliknya bertukar arah ke kampung ayah. Alasannya, nenek di kampung hanya beraya seorang diri memandangkan adik-beradik dan saudara-mara lain tidak pulang beraya tahun ini. Dengan sekelip mata, ibu bangkit dari bangku kayunya dan terus menuju ke bilik. Kuat dia menghempas pintu. Kulit mukanya yang kuning langsat bertukar merah menahan marah. Ayah perlahan-lahan melangkah masuk ke bilik.

Waktu itu aku berlari perlahan tanpa berbunyi tapak kaki dan cuba mencuri dengar perbualan mereka. Apa yang aku dengar, abah cuba memujuk ibu mengikut dia pulang ke kampung. Tetapi, ibu kental dengan kemahuannya. Ibu terjerit-jerit. “Tak nak!” kalau sudah namanya perempuan, jika berjanji kalau tidak dituruti pasti hatinya akan memberontak. Aku dengar suara garau abah bergetar tengkingnya. Tiba-tiba aku terdengar bunyi tamparan. Serius sekali nampaknya pertelingkahan ini. Selang beberapa ketika dapat aku dengar suara tangisan ibu. Hatiku dihimpit rasa bimbang, risau jika ada apa-apa yang lebih serius terjadi. Ibu terus keluar dari bilik menuju ke dapur dan abah sekadar duduk termenung di bucu katil. Nafasnya kencang, tercungap-cungap.

Aku pantas bangkit dan mengikut ibu di belakang. Seperti yang aku jangka pipinya berbirat merah seperti ditampar. Dia cuba menyorok matanya yang berkaca dengan pura-pura mengemas barangan dapur, dan ayah datang ke arah kami untuk memberitahu yang kami akan pulang kampung sebelah ayah di Melaka, malam ini juga! Aku lihat reaksi ibu kosong! Tiada emosi. Wajahnya tiada seri, tidak seperti sewaktu dia berbual dengan nenek di telefon tadi.

Malam itu, kami bertolak dari rumah kira-kira jam 10 malam. Dengan selambanya, ibu hanya membawa persalinan baju raya kami tahun lalu. Sengaja dia meninggalkan yang baru. Mogok agaknya. Dan tahu akan tindakan ibu, abah turut sama memberontak. Sengaja dia memandu laju. Susah juga bila kedua-duanya tidak mahu mengalah. Kami adik-beradik yang duduk di belakang diam seribu bahasa. Aku pula dalam hati tak henti-henti berdoa janganlah ada apa-apa bencana berlaku. Laju sungguh abah memandu. Takut. Hendak lena sekejap pun aku tak berani. Sepanjang perjalanan, mereka berdua bergaduh hingga sampai di halaman rumah nenek.

Nenek menyambut kedatangan kami dengan gembira dan paling mengejutkan aku lihat semua sanak saudara ada di kampung dan aku terfikir apa perasaan ibu ketika itu. Reaksi abah biasa, macam tiada apa-apa yang berlaku. Wajah ibu masih mencuka. Usai bersalam dia terus meluru masuk ke bilik. Sakit hati barangkali! Nenek perasan, dan dia ada tanyakan padaku. Aku sekadar menggelengkan kepala, pura-pura tidak tahu. Dan kerana pertelingkahan itu aku rasakan raya tahun itu sangat membosankan. Malah kami sekeluarga tidak punya gambar bersama seperti selalu. Abah buat hal sendiri, ibu buat hal sendiri.

Siapa sangka rajuk seorang wanita memakan masa cukup lama! Layanannya acuh tak acuh, hinggakan tanggungjawab sebagai seorang isteri pun ibu abaikan. Dendam dan amarah ibu pada abah tidak terpadam, malah lebih membuak-buak. Kadang-kadang mereka bergaduh lepas itu berdiam diri dan abah pula seperti mahu mengelak daripada ibu. Abah jarang ada di rumah, kadang-kadang sengaja dia berlama-lama di tempat kerja. Bila tiba waktu ibu hendak tidur barulah nampak kelibat abah di rumah.

Aku ingat lagi, kerana ibu terus bermasam muka, abah pernah tidak pulang ke rumah hampir sebulan. Ibu ego, sedikit pun dia tidak tunjukkan rasa risau. Lama-kelamaan aku sendiri tidak tahan dengan perangai mereka berdua. Aku nekad minta bantuan nenek. Pertelingkahan mereka seperti sudah tiada penghujungnya. Nenek akhirnya datang ke rumah kami.

Entah dari mana datangnya magis, baru sehari dua nenek datang ke rumah, ibu dan ayah kembali bertegur sapa. Entah jampi apa yang nenek pakai aku pun tak tahu. Ibu berasa segan mungkin. Ya, siapa yang mampu bertahan bila emak sendiri berleter. Nenek bagaikan pakar psikologi, macammacam nasihat diberi. Bilang abah, dia sengaja menipu kerana sudah tiga tahun mengalah dengan ibu. Dan abah sebenarnya berkecil hati dengan kami adik-beradik, dia rasakan kami lebih seronok balik ke kampung ibu, dan kerana itulah juga tiga tahu berturut-turut dia turutkan saja kata ibu. Tapi tidak tahun ini, dia nekad memenuhi kehendak hatinya. Oh ya, selang beberapa bulan sejak ibu dan abah berdamai, ibu disahkan hamil.

“AYAH MENUNDUK KEPALA DAN TERDIAM. BAGAI MENCARI-CARI IDEA MENYUSUN AYATAYAT. GERAK-GERINYA MACAM ORANG BERBUAT KESALAHAN BESAR, BAGAIKAN SUDAH TIADA PENGAMPUNAN BILA MELIHAT RIAK WAJAHNYA.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.