LELAKI BULAN INI

Lugman Hafidz

EH (Malaysia) - - Contents - PENYELARAS/TEKS/PENATA GAYA ANIS HANINI GAMBAR RAISA NORAZZAM ARAHAN SENI SYAZ KHIDZIR GROOMING FENDI SANI PAKAIAN FRENCH CONNECTION & OBERMAIN

Pemegang ijazah dalam bidang ukur tanah (quantity surveyor) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak ini mula mencuri perhatian sebaik kemunculan pertamanya menerusi filem Ola Bola. Filem yang begitu cemerlang ini diarahkan oleh pengarah filem box-office The Journey, Chiu Keng Guan yang mengambil inspirasi daripada kegemilangan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia pabila mereka layak menyertai Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Filem ini berjaya mengutip RM15.85 juta selepas 39 hari tayangan. Ulasan positif juga mula memberi spotlight kepada jejaka berusia 24 tahun ini. Luqman seorang yang mudah mesra dan cukup ramah, bahkan temu bual bersamanya juga tidak kekok. Kenali ‘Ali’ dengan lebih dekat.

BAGAIMANA ANDA BOLEH TERLIBAT DENGAN DUNIA LAKONAN?

Saya mendapat pesan ringkas yang mengatakan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mencari pelakon bola sepak amatur untuk satu projek Astro. Saya menghantar résumé kerana projek ini melibatkan bola sepak dan di dalam résumé ini saya melampirkan sekali gambar selfie bersama YB Khairy Jamaluddin setelah dianugerahkan pemain bola sepak terbaik untuk Khairy Jamaluddin Cup Tournament. Keesokan harinya, pihak Astro menghubungi saya untuk datang ke uji bakat. Saya sangka uji bakat itu hanya untuk watak sampingan, namun sebenarnya mereka sedang mencari calon untuk watak utama. Saya sempat berjumpa dengan Chiu Keng Guan dan kami mula bermain bola bersama-sama. Selepas beberapa minggu, saya dipilih sebagai salah seorang pemain utama filem Ola Bola dengan memegang watak Ali.

CERITAKAN SEDIKIT MENGENAI PENGALAMAN BERLAKON FILEM OLA BOLA.

Sangat menyeronokkan dan saya amat bangga dengan filem ini. Ia menghidupkan semangat perpaduan buat rakyat Malaysia dengan impak-impak positif. Ketika penggambaran pula saya tidak rasa seperti sedang berlakon kerana saya amat berminat dengan bola sepak. Setiap kali penggambaran bermula saya harus pastikan saya melakukan yang terbaik dan tonjolkan kebolehan yang ada.

APAKAH PERASAAN ANDA KETIKA MEMAINKAN WATAK ALI?

Rasa sedikit tertekan kerana Ali memakai jersi nombor 10. Kebiasaannya pemain bola yang memakai jersi nombor ini dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik di padang. Jadi saya perlu menunjukkan kebolehan yang terbaik. Malah, sebelum rakaman bermula, kami juga berlatih di padang setiap hari agar tidak kelihatan kekok di depan kamera.

PERSEDIAAN YANG DILAKUKAN BAGI MEMAINKAN WATAK ALI.

Terbahagi kepada dua, iaitu dua bulan latihan bola sepak dan berlakon. Kelas berlakon bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang manakala latihan bola sepak pada pukul 5 petang hingga 7 malam. Latihan bola pula diketuai oleh Garreth Yeong yang juga melakukan taktikal dalam filem Ola Bola. Pada saya latihan tersebut amat intensif dan mereka mahu kami berlatih di tengah-tengah panas agar warna kulit nampak lebih gelap dan realistik.

BABAK KEGEMARAN DALAM FILEM OLA BOLA. MANA-MANA BABAK DALAM BILIK LOKAR.

Cabaran yang dihadapi sepanjang lakonan? Sepanjang kelas lakonan, saya menghadapi masalah perhubungan dan bertarung dengan emosi sendiri. Walaupun secara peribadinya ia tidak bagus untuk diri namun, emosi ini amat sesuai untuk filem. Pabila saya perlu berekspresi sedih dan dikehendaki menangis, ia bukan satu masalah bagi saya.

REAKSI PERTAMA SELEPAS MENONTON AKSI SENDIRI DI PAWAGAM.

Ketika Ola Bola ditayangkan buat kali pertama, saya sibuk mencari kesalahan yang dilakukan seperti gerak isyarat yang tidak dirancang. Jadi saya tidak menghayati filem tersebut dengan sebaiknya. Situasinya amat berbeza dengan kali kedua. Seluruh barisan pelakon menangis di belakang pentas dan group hug ibaratkan sebuah keluarga.

ANDA AKAN TERUS BERLAKON?

Selepas Ola Bola, saya mendapat banyak tawaran dan semuanya amat baru bagi saya. Sebagai contoh, saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam sebuah telemovie untuk tribute Tan Sri P Ramlee serta menjadi hos untuk dokumentari merdeka. Garnier pula memilih saya sebagai wajah baru mereka.

APA PERASAAN ANDA JIKA PENONTON MASIH KAITKAN DIRI ANDA DENGAN WATAK ALI?

Tidak menjadi satu masalah jika saya dikenali sebagai Ali, ini bermakna saya berjaya membawa watak tersebut dan lakonan masih segar di minda penonton.

FILEM TERAKHIR YANG ANDA TONTON DI PAWAGAM.

Filem Shah Rukh Khan – Fan.

JIKA DIBERI PELUANG, SIAPA PELAKON PILIHAN ANDA JIKA DIBERI PELUANG MEMILIH UNTUK DIGANDINGKAN?

Shah Rukh Khan dan jika pelakon tempatan pula, sudah pasti ibu Fauziah Nawi. Saya percaya banyak yang dapat saya pelajari daripadanya.

“TIDAK MENJADI MASALAH JIKA SAYA DIKENALI SEBAGAI ALI, INI BERMAKNA SAYA BERJAYA MEMBAWA WATA TERSEBUT

– LUQMAN HAFIDZ

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.