SANTAI KOTA

Kantin Jepun

EH (Malaysia) - - Contents - TEKS MUZAMMIN MUZLAN ARAHAN SENI SHANE ROHAIZAD GAMBAR ROBIN YONG

Terletak bersebelahan hospital Gleneagles di Jalan Ampang, Greenhouse by Muir adalah sebuah destinasi makanan yang menampilkan beberapa restoran di bawah satu bumbung. Di aras bawah terletaknya Kuroshio Market manakala aras satu pula menempatkan Brycg, iaitu restoran berasaskan hidangan New Orleans. Aras tiga pula menempatkan restoran Jepun fusion Minu.

Mengangkat konsep kantin Jepun, Kuroshio Market dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu kafe, cold market, hot market dan bakeri. Melangkah masuk, pelanggan akan melintasi kafe yang menjual minuman berasaskan kopi dan teh bersama seleksi pemanis mulut. Anda pasti terpegun melihat ruang makan di Kuroshio Market. Ia mencedok inspirasi dari perkampungan nelayan di Jepun dengan sentuhan tali kapal dan pelampung. Konsep Kuroshio Market sangat berbeza dengan restoran Jepun lain di sekitar Lembah Klang kerana hanya terdapat satu meja panjang yang boleh menempatkan lebih 20 pelanggan. Jika mahukan privasi, terdapat beberapa meja di ruang luar restoran.

Buat peminat sushi, cold market pasti menjadi pilihan anda. Ia menghidangkan seleksi makanan laut yang segar seperti ikan salmon, ketam, udang dan tiram. Kebanyakan diimport terus dari Jepun dan Norway. Di sini, anda boleh memilih cara masakan sendiri seperti sashimi mahupun panggang. Buat yang on the go pula turut ada seleksi bento dan sushi yang sudah siap dibungkus untuk dibawa pulang.

Berbeza di hot market pula, pelanggan boleh memilih masakan Jepun yang dimasak dalam pelbagai cara. Dari teriyaki ayam ke unagi kabayaki, ramen dan banyak lagi, anda pasti akan rambang mata melihat menu di sini. Hidangan tamagoyaki (telur dadar) di sini sedikit berbeza kerana ia dihidangkan bersama soft shell crab. Jika anda datang untuk makan malam, saya sarankan anda memilih hidangan lengkap hot pot Jepun. Hadir dalam pilihan makanan laut, ayam, daging mahupun sayuran dalam sup spicy kimchi, sukiyaki atau kombu.

Andainya anda bukan peminat makanan Jepun, terletak di ruang belakang Kuroshio Market adalah bakeri yang menjual pastri dan roti Jepun dan Eropah. Dihasilkan segar setiap hari, pelanggan boleh milih pelbagai jenis roti seperti Chocolate Super Cheese, Sun-Dried Tomato, Fruit Danish, Mashmallow Chocolate Toast dan banyak lagi. Sampel disediakan untuk memudahkan pelanggan untuk memilih nanti.

Hot Pot Seafood Set with Spicy Kimchi, RM39.22

Yakiniku Don, RM11.66

Unagi Maki, RM27.56

Salmon Ikuna Salad, RM15.90

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.