ANTARA MIMPI DAN REALITI

EH (Malaysia) - - Sepintas -

Kata Elfira Loy, perkahwinan itu adalah ibadah paling indah. Tambahnya lagi, kasih sayang adalah anugerah Tuhan paling cantik. Ujar bicaranya itu merangsang deria saya berfikir-fikir. Benarlah katanya itu, kerana nabi junjungan kita pernah bersabda, pabila seseorang sudah bernikah maka sempurnalah separuh daripada agamanya.

Dan Elfira sekali lagi mengajak saya merenung dan berfikir, katanya perkahwinan itu adalah perkara yang baik, dan sudah lumrah benda-benda yang baik akan banyak ujian dan dugaan. Memang setiap pasangan impikan kembara perkahwinan yang indah namun ada kalanya realiti tidak memihak pada kita. Sejujurnya dalam membuka langkah-langkah untuk menjadi seorang hamba yang lebih baik ada kalanya kita dihujani cabaran dan ujian, tidak akan pernah sunyi dengan hasutan. Dalam perkahwinan itu sendiri akan ada turun naiknya, detik berselisih pendapat akan tiba, rasa cemburu pasti muncul. Ambillah perselisihan atau pertengkaran yang berlaku sebagai satu ruang untuk kita belajar. Pengalaman adalah guru terbaik, itulah yang menjadi ‘vitamin’ kematangan, juga ‘imunisasi’ untuk kita terus berhadapan dengan cabaran kehidupan.

Dan di satu tengah hari di studio, saya berbual dengan seorang pereka/ pembuat kek. Katanya, hari ini ramai bakal pengantin terpaksa tolak tambah kali bahagi berkali-kali sebelum berbelanja. Katanya, pengantin hari ini tidak lagi berbelanja seperti klien-kliennya dua tiga tahun dulu. Bila dengar sebut harga tak mudah mereka bersetuju.

Kos sara hidup yang semakin tinggi serta keadaan ekonomi yang masih kabur kestabilannya membuatkan ramai bakal mempelai menyekat selera, biar mungkin impiannya mahu majlis yang meriah serba-serbi namun kaki perlu kekal berpijak di bumi. Apa yang boleh dibuat sendiri akan disempurnakan dengan gotong-royong sekeluarga. Mana-mana yang tidak perlu dilupakan terus.

Ramai juga kenalan saya yang menyatukan dua majlis dalam satu hari, pagi nikah tengahari terus bersanding. Itu lebih mudah, menjimatkan masa juga belanja dan tidak memenatkan. Ya, tanyalah mana-mana kawan anda yang sudah berkahwin. Melakukan persiapan berbulan-bulan cukup membuat mereka stres, apatah lagi duduk di atas pelamin dalam balutan baju yang kadang-kadang tidak menyelesakan. Menyarung sedondon songket di waktu terik mentari sedang di puncak, oh tidak terbayangkan bahangnya.

Dan menerusi edisi ini kami cuba menyatukan hal-hal berkaitan dengan persiapan majlis perkahwinan, baik dari segi baju, solekan, dandanan hinggalah hantaran. Dan memahami kehendak mereka yang mahu berjimat, kami sertakan juga booklet perkahwinan yang kami isi dengan idea-idea DIY yang mungkin boleh membantu anda mengurangkan belanja kahwin. By the way jangan lupa dapatkan Jurnal Selebriti – Perkahwinan yang mula berada di pasaran Jun lalu, mungkin ia boleh jadi rujukan tambahan dalam anda mempersiapkan diri bergelar ratu sehari. Dan saya mahu ambil kesempatan ini mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca EH! Semoga Aidilfitri ini mencipta detik paling manis untuk anda dan keluarga. PENGARANG

ALEXANDER MCQUEEN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.