Termeterai sebuah kisah cinta agung dalam dakapan erat gelungan cincin mewah tanda kasih bersemi.

EH (Malaysia) - - Kenali Jenama -

P ertama kali diperkenalkan di Malaysia sekitar 1994. Sentuhan padu cukup eksklusif, elegan dan sofistikated membuatkan peminatnya setia bersama. Barang kemas Goldheart dibarisi koleksi emas putih, berlian dan platinum dalam rekaan serba sempurna. Di Goldheart, setiap kisah cinta yang terjalin jika diganding bersama perhiasan diri mewah lebih mengangkat sebuah hubungan abadi.

Ilham romantis nan tersendiri telah membawa kepada tiga koleksi eksklusif buat bakal raja sehari. Antaranya Romantic Blue, Celtic Knot dan Cherie. Setiap paduan rekaan tersemat pelbagai ceritera menarik yang tercetus ruangan berbeza.

Koleksi Romantic Blue menjurus kepada penceritaan lebih dari ikatan perkahwinan. Ia seperti memohon restu. Satu kata janji, jujur, setia, percaya dan kekal selamanya. Itulah antara makna tersirat di sebalik rekaan sebentuk cincin yang direka bersama batu berona biru nilam pada sekeping logam platinum. Setiap cincin diukir pada logam platinum PT900 pada bahagian luar dan dalaman bersadur emas merah 18 karat atau emas putih 18 karat. Mengikut ramalan dalam konteks kamus berlian, rona biru nilam bermaksud perkahwinan membawa kebahagiaan.

Simbolik bagi Celtic Knot lebih kepada sesuatu ikatan yang mistik yang membawa maksud tidak akan terpisah untuk selama-lamanya. Ini boleh ditujukan kepada sebuah cinta, kepercayaan, kesetiaan dan hubungan persahabatan. Rekaan simpulan ini sudah pun dipraktikkan sejak sekian lama.Ia mula ditemui sekitar kurun ketiga atau keempat yang digunakan pada hiasan lantai mozek pada era Roman. Secara keseluruhan, rekaan Celtic Knot menjadi simbol kepada sebuah budaya kebanggaan bagi warisan Welsh, Irish atau Scottish. Walaupun rekaan simpulan ini masih menjadi tanda tanya. Tetapi, pembawaan maksud tersiratnya sangat menjadi kegemaran bagi penggemar barangan kemas. Loket Celtic Knot ini bersadur emas putih 18 karat.

Bibit-bibit cinta melengkapkan koleksi Cherie yang dalam bahasa Perancis bermaksud Sweetheart. Ibarat satu jampi cinta bebas berterbangan ke seluruh kota Paris. Rekaan eksklusif koleksi ini membawa kepada bentuk solitaire iaitu batu berlian tunggal dan dikelilingi bersama berlian halus Le Lumiere. Setiap cantuman dan panduan ini dihasilkan oleh Goldheart Malaysia. Koleksi Cherie ini datang dalam bentuk cincin dan anting-anting, setiap bentuk bersadur emas putih 18 karat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.