KERANA CANTIK

EH (Malaysia) - - Sepintas -

Kecantikan itu bermula dari dalam. Klise? Ya, sangat klise. Tapi lebih klise pemahaman sesetengah orang tentang kecantikan dalaman. Ramai yang kata hendak cantik hati mesti baik, usah ada hasad dengki. Ya, betullah tu. Tapi, bila bercakap kecantikan bermula dari dalam, bukan berkaitan soal hati baik atau tidak sahaja, ia juga ada kena mengena bagaimana kita menjaga kesihatan, mengawal makan serta senaman yang diamalkan.

Apa yang kita hadam itulah yang menentukan kesannya pada luaran. Kata pakar cantik, usah kerap menjamah yang manis-manis, kerana yang manis itu tidak elok untuk badan. Selain naik berat badan, gula juga sebenarnya buat kita cepat nampak tua. Bagaimana pula gula buat kita nampak tua? Mengarut? Gula bertindak balas dengan protein, lantas berlakunya proses yang dipanggil glycation, menghasilkan advanced glycation end products atau dikenali sebagai AGEs yang akhirnya merosakkan kolagen dan keanjalan kulit. Air kosong elok diminum selalu untuk detoks. Tanyalah mana-mana kawan kamu yang berkulit cantik, pasti rahsianya bermula dari bergelas-gelas air kosong sehari.

Lagi satu saya percaya kalau hendak cantik kita mesti berasa gembira. Gembira itu tinggi nilainya, kerana dengan gembira kita sentiasa berasa senang dan tenang. Hari ini saya fikir tidak ramai orang yang berasa gembira dengan kehidupan mereka. Tekanan kerja, duit, dan expectation daripada orang sekeliling menjadi penghalang seseorang berasa gembira. Masalah akan sentiasa ada, ia lumrah kehidupan tapi yang penting adalah bagaimana kita menanganinya, usah biarkan masalah mengawal kehidupan kita. Sebagai manusia kita berhak berasa gembira, bergelak tawa.

EH! edisi ini berbicara tentang cantik. Saban tahun akan ada satu edisi yang kami memberi fokus soal kecantikan. Menghiasi halaman cantik EH! bulan ini kami merakam wajah empat selebriti kita yang berbeza-beza cantiknya. Fouziah Gous, Kilafairy, Kaka Azraff dan Tasha Shilla kami solekkan dalam gaya yang unik, memberi isyarat untuk cantik kita tidak perlu terikat pada peraturan. Bak kata Francois Nars, “Do not be too serious, it’s only makeup!”. Ya, berseronoklah bermain alat solek, itu membuat kita gembira. Kami juga memanggil pembaca EH! untuk mencuba beberapa trik solekan yang boleh menyembunyikan cela wajah. Mekap itu memang sesuatu yang magis.

Bulan ini juga kami membawa khabar cantik dari seluruh pelusuk dunia hasil kembara penulis EH! ke beberapa negara lewat kebelakangan ini. Kami membawa cerita haruman dari Paris, Sydney dan Pulau Bintan, juga meraikan ulang tahun produk legenda Sulwahsoo di Seoul juga meraikan ulang tahun ke-20 Laura Mercier di Tokyo. Siapa kata kecantikan itu sekadar benda remehtemeh? Kecantikan bagi saya ialah sains, mencipta atau memakai satu-satu produk perlu diiringi dengan ilmu. Untuk cantik usah semberono memakai produk yang bukan-bukan. Nanti menyesal. Seperti saya kata tadi, dalam hidup kita mesti gembira, dan bukankah bercantikcantik itu salah satu punca yang membuat kita berasa gembira? PENGARANG

BCBG KATE SPADE

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.