KEMBALI HANGAT

EH (Malaysia) - - Siapa Dia -

Saat temu bual ini dilangsungkan, drama bersiri Cinta Masam Manis yang menyeri slot Akasia di TV3 belum lagi menemui penonton. Namun saya percaya saat naskhah ini tiba di tangan anda, drama ini sudah mencetus fenomenanya tersendiri. Cinta Masam Manis menggandingkan Izara bersama Zamarul Hisham dan turut dibintangi Raja Ilya dan Shahz Jaszle. Saya fikir idea menggandingkan Izara dan Zamarul adalah satu percaturan bijak memandangkan kedua-duanya sudah agak lama tidak dilihat menghiasi layar kaca dengan drama TV bersiri.

“Mengapa tiba-tiba terima tawaran Cinta Masam Manis, sedangkan agak lama Izara menyepi?” saya bertanya. “Secara jujurnya saya mahu memenuhi permintaan peminat. Sudah ramai yang bertanya, menghantar tweet bertanya bila mahu berlakon siri. Jadi ini Izara anggap satu hadiah buat peminat.” Ya, saya fikir sudah tiba masanya untuk Izara kembali menyuburkan namanya kembali, selepas Vanila Coklat mencetus fenomena beberapa tahun lalu jadi diharapkan comeback nya kali ini kembali memekarkan namanya. Suka atau tidak, drama bersiri punya impaknya tersendiri dalam kerjaya seseorang pelakon. Peminat berasa lebih dekat.

Namun Izara menafikan yang dia menyepikan diri beberapa tahun ini, padanya mungkin kerana dia banyak mewarnakan kerjayanya menerusi telemovie dan filem maka ramai menyifatkan kerjanya tidak serancak dulu. “Sebenarnya saya masih aktif, tidak pernah menyepikan diri. Faham-faham sahajalah, bila terbabit dengan filem, prosesnya agak panjang, bermula dari membaca skrip sehinggalah karya itu muncul di pawagam.”

“Atau Icha memilih?,” usik saya. “Memilih mungkin. Selalunya saya akan teliti skrip dan jalan ceritanya dulu. Jika menarik baru Icha terima. Bayaran juga menjadi faktor, kerana jika bayarannya tidak setimpal dengan komitmen kerja untuk apa saya terima. Berlakon, waktu kerjanya bukan menentu, dari siang bawa ke malam,” jelasnya yang mula dikenali menerusi Kerana Laila dan Soffiya. Sebagai artis, baik penyanyi atau pelakon, anugerah dilihat sebagai satu bonus. Malah tidak keterlaluan andai anugerah dijadikan sebagai perangsang untuk amna-mana artis bekerja lebih keras. Anugerah itu satu penanda aras kerjaya seseorang artis. Bila ditanyakan peranan anugerah dalam kerjaya selebriti, Izara berpendapat anugerah sangat penting. “Sampai ke hari ini saya masih memasang harapan mahu menggenggam trofi pelakon terbaik. Walaupun kadang-kadang saya fikir anugerah kita punya politiknya sendiri dan mungkin ada unsur favouritism, saya takkan pernah putus asa. Saya anggap semua ini satu cabaran untuk saya bekerja lebih keras lagi,” tegasnya.

Kata Izara, selepas beberapa tahun bergelar selebriti, hari ini dia berasa lebih selesa. Kematangan menjadi faktor utama yang menyumbang keselesaannya itu. “Perhatian yang diberikan membuat saya tidak selesa, tapi itu dulu. Hari ini semuanya beransur baik. Saya percaya ini semua ada hubung kait dengan pengalaman dan kematangan saya sendiri. Lagi satu, saya rasa hari ini orang lebih menghormati saya. Seiring peningkatan usia, layanan orang sekeliling juga sudah berubah. Saya lebih tegas hari ini. Lagi satu orang sudah lihat kebolehan dan kemampuan saya, mereka tahu saya di sini betul-betul serius.”

“Siapa selebriti Malaysia yang Izara fikir punya perjalanan kerjaya yang cukup baik? Mungkin ada seorang dua selebriti yang Izara jadikan rujukan?” “Saya sangat mengagumi bagaimana Bront Palarae merencana kerjayanya. Bakatnya diangkat, dia dihormati. Dia juga tidak banyak gosip dan dia yakin dengan kerjanya. Dia akan buat apa yang dia mahu buat. Saya mahu jadi seperti dia.” Selain Bront, Izara juga memandang tinggi Datuk Siti Nurhaliza. Padanya Siti punya perjalanan kerjaya yang sangat cemerlang.

“Jika soal kerja, banyak yang saya pelajari daripada Adib sebenarnya. Dari apa yang saya perhatikan Adib punya tahap keyakinan yang cukup tinggi. Dia akan buat apa sahaja yang dia mahu buat, dan yang menariknya apa yang dia buat mesti betul walaupun pada awalnya saya berasa ragu. Dan dari attitude nya itulah saya belajar untuk jadi seorang yang lebih tegas dan confident. Dan hari ini saya rasa lebih fokus dalam kerja,” jelas bintang Pilot Cafe ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.