MODESTY & CAREFREE

EH (Malaysia) - - Sepintas -

Saat saya menulis nota editor ini saya baru saja beberapa hari pulang bercuti di Barcelona, kebetulan diundang Chanel menghadiri pertunjukkan himpunan Haute Caouture juga pelancaran haruman terbarunya di Paris, saya mencuri peluang cuti raya lalu menjejakkan kaki ke kota bersejarah itu. Selain seronok melihat tempat orang, satu yang saya suka ialah saya punya masa untuk diri sendiri, ‘Me me time’ orang kata. Tidak seperti selalu, kali ini saya tidak membeli kad sim lokal apatah lagi untuk klik ‘on’ pada data roaming.

Saya rasa banyak bezanya, saya lebih fokus dengan hal-hal bercuti, mata asyik melihat indahnya pemandangan, memerhati gelagat orang, menikmati langit biru musim panas dan saya berasa lebih tenang. Tidak lagi sibuk memeriksa telefon bimbit dari masa ke semasa. Telefon saya guna hanya untuk mengambil gambar dan video saja. Bila pulang ke tempat penginapan atau singgah makan di kafe yang punya wi-fi barulah saya gunakan telefon. Itupun sekejapsekejap untuk melihat arah jalan juga mengirim atau membalas mesej.

Pengalaman itu terus mengingatkan saya kepada perbualan saya dan teman saya sewaktu berbuka puasa sebulan lepas. Dia mahu quit media sosial. Baginya media sosial buat dia hilang fokus, dia mahu menjalani hidup ‘normal’, bebas melakukan apa yang dia mahu. Dia mahu hidupnya lebih mudah dan tenang. Melakukan rutin yang sudah lama ditinggalkan sejak ‘berkahwin’ dengan media sosial seperti membaca buku dan menonton siri. Media sosial sebenarnya membuat kita ketagih, tidak boleh berpisah dengan telefon bimbit. ‘Kehidupan’ di media sosial juga sebenarnya melahirkan ramai manusia yang judgemental, yang peranannya menghakim dan menghukum. Jika kita orang biasa-biasa pun sudah berasa tempiasnya, bagaimana agaknya selebriti berhadapan dengan komen-komen pedas dan lazimnya tak berasas di media sosial setiap hari. Ada saja yang tidak kena.

‘Kehidupan’ di media sosial sebenarnya membuatkan kita takuttakut untuk menjadi diri sendiri, bimbang mahu melakukan apa yang kita suka, menyebabkan kita memikirkan apa yang akan orang kata terlebih dahulu sebelum memikirkan kegembiraan diri sendiri. Kita dihimpit rasa risau dan bimbang, tidak lagi carefree. Media sosial membuat kita menajdi orang lain, kita hanya mahu yang cantikcantik saja dipamerkan, mahu impress orang lain (atas objektif dan misi berbeza-beza). Adakalanya kita tidak jujur dengan diri kita sendiri. Walhal dalam hidup kita sebenarnya perlu bersederhana dalam segala perkara.

Isu EH! kali ini mengajak pembaca untuk bersederhana dalam bergaya seiring dengan selera majoriti orang kita hari ini. Tidak mahu terdedah, mahu yang lebih longgar, tidak terlalu menjerit namun masih manis dipandang. Keselesaan menjadi perkara pokok dalam modesty fashion. Jadi, selak halaman fesyen untuk ilham suai padan. Kami juga lengkapkan ruangan kecantikan dengan perbelanjaan mengikut bajet, berbelanja bijak juga satu cara hidup bersederhana. Kata orang ukur baju di badan sendiri.

PRADA

GUESS

CHANEL DIOR

RADLEY

FOSSIL

BELIF

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.