CARA UNTUK ELAK RASA SUNYI

EH (Malaysia) - - Jurnal -

Perasaan sunyi antara subjek kompleks dan sensitif yang juga antara punca kemurungan mental yang boleh membawa kepada maut. Masalah ini tidak harus dipandang remeh dan perlu dirawat secepat yang mungkin. Selain daripada rawatan profesional seperti terapi, kami cadangkan beberapa idea untuk bergaul yang anda boleh cuba dengan perlahan-lahan.

USAH SALAHKAN DIRI SENDIRI

Bagi mereka yang pemalu dan gemar bersendirian, tidak salah untuk anda rasa demikian kerana ini adalah karakter peribadi anda. Namun tanya diri sendiri - adakah anda rasa sunyi kerana kehendak sendiri atau kerana anda fikir anda disisih oleh orang sekeliling. Rasa sunyi boleh dibentuk atas pelbagai sebab, namun yang paling penting anda harus elak menyalahkan diri sendiri. Cuba kenali punca rasa sunyi ini dan cuba luahkan kepada orang yang terdekat.

SERTAI ORGANISASI KEGEMARAN

Manusia dilahirkan dengan pelbagai karakter sama ada positif mahupun negatif. Cuba salurkan tenaga dan masa anda untuk menyertai organisasi yang fokus kepada isu positif yang anda gemari. Namun sebelum anda sertai mana-mana organisasi, pastikan anda lakukan homework dan pilih organisasi yang bertauliah. Bukan mudah untuk mengurangkan rasa sunyi dalam sekelip mata, namun pabila anda bergaul dengan mereka yang positif, mungkin perasaan tersebut akan berkurangan.

LAKUKAN SESUATU YANG KREATIF

Bergantung kepada apa yang anda gemar, anda boleh luangkan masa untuk lakukan sesuatu yang kreatif seperti bermain dengan alatan muzik, melukis, mewarna mahupun menulis. Menurut James Pennebaker, penyelidik di University of Texas di Austin, Amerika Syarikat, menulis dapat membantu menangkap rasa sunyi dengan lebih baik. Ia juga merupakan langkah positif untuk anda meluahkan perasaan dan pengalaman. Selepas menulis, mungkin anda boleh membaca kembali penulisan anda dan amati dengan perspektif berbeza untuk mengenali diri dengan lebih baik.

BERHATI-HATI PABILA MENGGUNAKAN LAMAN SOSIAL

Menurut kajian oleh American Journal of Preventive Medicine, pengguna tegar laman sosial seringkali meluahkan rasa sunyi setelah meluangkan masa di laman sosial. Manusia lahir dengan pelbagai emosi dan cara mudah untuk berhubung dan berinteraksi adalah secara muka ke muka. Jika boleh, kurangkan masa di laman sosial yang boleh membuatkan anda rasa cemburu. Sebaliknya luangkan masa bersama teman mahupun keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.