BON APPÉTIT

Cocott’ adalah bistro yang menyajikan hidangan tradisional Perancis dalam seni dekorasi yang lebih kasual dan chic.

EH (Malaysia) - - Realiti - TEKS MUZAMMIN MUZLAN ARAHAN SENI KHAIRANI RAMLI GAMBAR PATRICK CHAN

Dari bisque ke foie gras dan tidak dilupakan variasi pemanis mulut seperti macaron dan crème brûlée, Perancis cukup dikenali di seluruh dunia dengan seni gastronomi yang cukup ikonik. Kini anda tidak perlu terbang ke Paris untuk menikmati sajian Perancis. Cocott’ telah membuka pintu mereka awal tahun ini dalam memperkenalkan hidangan tradisional Perancis dalam seni dekorasi bistro yang lebih santai dan kasual.

Terletak di aras satu Greens Terrace, Taman Tun Dr. Ismail, Cocott’ adalah cetusan idea RuiYang bersama cef eksekutif Geoffroi Herin yang banyak mengumpul pengalaman daripada restoran dua bintang Michelin, Le Clos des Sens. Istimewanya di sini, setiap hidangan disajikan di dalam bekas cast-iron iaitu cocotte lantas menjadi inspirasi disebalik nama bistro ini.Penggunaan cocotte ini juga dapat menggalakkan elemen perkongsian makanan kala menikmati hidangan autentik Perancis yang sarat tradisi.

Menurut pemilik, Cocott’ memperkenalkan seleksi menu sebenar Perancis yang turut menyuntik rasa tempatan dengan menggunakan bahan-bahan lokal, tanpa menggadaikan identiti budaya mereka. Buat yang pertama kali ke sini, saya sarankan anda untuk mencuba Grilled Jumbo Asparagus yang hadir bersama sos telur masin. Berbeza, telur masin di sini menggunakan telur ayam dan bukannya telur itik seperti kebiasaan. Jangan lupa juga untuk mencuba sendiri Pan Seared Foie Gras dan Australian Grain-Fed Beef Rib Eye yang menyelerakan. Pastikan anda memesan sekali Cocott’ Homemade Bread bersama hidangan anda nanti. Akhiri kunjungan dengan Mango Tatin sebagai pemanis mulut. Di sini juga terdapat set menu makanan tengahari dan menu set yang menyajikan kombinasi beberapa hidangan untuk anda kongsi bersama teman.

Pan Seared Foie Gras RM42

Flamed Cured Mackerel RM28

Pan Seared Salmon RM44

Australian Grain-Fed Beef Rib Eye RM84

Mango Tatin RM19

Cocott’ Homemade Bread RM4

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.