SANTAI KOTA Burger & Lobster

Pertama di Asia, restoran udang karang dan burger popular dari London kini dibuka di Sky Avenue, Resort World Genting.

EH (Malaysia) - - Muka Depan - TEKS MUZAMMIN MUZLAN ARAHAN SENI KHAIRANI RAMLI GAMBAR KEENKY YONG

Seperti menjadi kewajipan bagi rata-rata pelancong Malaysia akan singgah ke restoran Burger & Lobster kala berkunjung ke kota London, England. Dan kini anda tidak perlu lagi terbang ke London untuk merasa sendiri hidangan udang karang popular itu kerana restoran yang mula beroperasi pada 2011 ini sudah dibuka di SkyAvenue, Resorts World Genting.

Melangkah masuk ke restoran berukuran 3,500 kaki persegi ini, pengunjung dapat melihat deretan akuarium yang menempatkan udang karang hidup yang berusia sehingga 29 tahun. Seni dekorasi sekitar restoran pula menggunakan peralatan menangkap udang karang. Pandangan anda pasti tertumpu pada dinding restoran yang dihiasi dengan 104 replika peti tradisional menangkap udang karang yang sama seperti digunakan oleh nelayan di Nova Scotia, Kanada.

Seleksi menu di sini sama seperti restoran di London. Bahkan, udang karang yang digunakan juga diterbangkan eksklusif dari Nova Scotia, Kanada sama seperti rangkaian Burger & Lobster yang lain dalam mengekalkan standard yang terbaik. Pilihan menu udang karang terdiri daripada tiga pilihan iaitu The Original, The Big Boy dan Chili Lobster. Buat yang pertama kali ke sini, saya sarankan anda untuk mencuba hidangan Chili Lobster yang hadir bersama roti signature brioche. Isitmewanya, menu ini dihasilkan oleh Group Chef Resorts World Genting, Oliver Lopez yang cukup popular sehingga ia turut dimasukkan ke dalam menu di London.

Selain itu, pilihan menu burger di sini menggunakan 100 peratus daging lembu Australia dengan diapit roti brioche berbijan dan ditambah daging salai, keju, salad, tomato, bawang, jeruk khas dan sos rahsia Burger & Lobster. Pesan The B&L Burger untuk merasai kombinasi bersama udang karang yang hadir dengan kentang goreng dan salad pelengkap. Jika mahukan kelainan, jangan lupa untuk mencuba Lobster Rolls yang hadir dalam tiga pilihan iaitu The Chili, The Original dan Seven Samurai. Setiap hidangan di sini hadir dalam saiz yang besar dan boleh dikongsi bersama.

Lengkapkan kunjungan anda dengan Time Keeper yang merupakan minuman campuran teh, limau kasturi, daun limau kafir dan gula Melaka yang dihidangkan dalam plastik diikat tepi bergantungan. Untuk pemanis mulut pula, cuba sendiri Durian Tempura yang menyuntik rasa tempatan kala anda berkunjung ke Resorts World Genting nanti.

The Original Lobster Roll RM153 The Original Burger RM95

Chili Lobster RM 173

Time Keeper RM 24

Durian Tempura RM28

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.