Farah Nabila

‘Harumnya’ bagaikan sudah dapat dihidu biarpun hayatnya di laman seni baru berputik kudup. She is our new television darling.

EH (Malaysia) - - Contents - GAMBAR CHEE WEI TEKS & PENYELARAS KHAIRUL ABIDIN ISHAK ARAHAN SENI YANTIE BASHARUDIN PEN ATA GAYA JULIA AZMAN SOLEKAN EMMY AGUNG DANDAN AN JUNO KO PAKAIAN & AKSESORI BURBERRY, MAX MARA & BOTTEGA VENATA AKSESORI SWAROVSKI

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dan pastinya tuan empunya diri sendiri tidak menyangka siri ‘Titian Cinta’ menjadi pembuka pintu yang cukup luas untuknya terus melangkah serta menyinar di laman seni tanah air. Farah Nabilah, gadis muda yang baru berusia 25 tahun ini berjaya mencuri perhatian penggemar drama televisyen.

Petang itu di studio, Farah muncul bersama pembantunya. Sebaik bersalaman dia menghulurkan sekotak kek cawan red velvet. “I ada bawa cupcakes, tapi sorry kalau tak cukup ya. I buat sendiri. Makan tau,” jemputnya. Oh terharu, bukan semata kerana dia bawakan buah tangan untuk seisi studio, kesudiannya menyediakan sendiri kek itu menambah manis pada kerjasama sulung saya dan Farah Nabilah.

TERUS MENJAGA PRIVASI

Saya tidak pernah bertemu Farah Nabilah atau mesra disapa Fawa sebelum penggambaran ini. Jadi seharusnya saya tidak meletakkan sebarang expectation, cuma apa yang dikhabarkan oleh Julia, Penulis kanan Fesyen EH!, bekerja dengan Farah cukup mudah. Dan itulah yang dibuktikannya pada hari itu. Semuanya serba mudah biarpun ketika itu dia sedang membilang hari untuk berangkat ke tanah suci, menunaikan ibadat umrah bersama keluarga.

“Jika orang yang baru bertemu dengan Fawa, seperti saya hari ini, apa yang boleh saya jangka tentang karakter sebenar Fawa?” tanya saya. “Saya tak tunjuk karakter saya sebenar pada pertemuan awal. Saya seorang yang lebih gemar memerhati gelagat orang, saya observant. Tapi bukanlah saya seorang yang judgemental tapi saya lebih suka ambil masa untuk sesuaikan diri. Dan kerana itulah ramai yang berpendapat saya ni sombong. Biasalah, kita semua perlu masa untuk warm up, bila sudah selesa orang akan tahu saya sebenarnya seorang yang easy going,” luah gadis berbintang Pisces ini.

Sebelum hangat dengan ‘Titian Cinta’, Farah Nabilah sudah membintangi beberapa naskhah drama, namun dek penangan siri yang bersiaran di TV3 itu nama Farah menjadi tular. Malah sewaktu saya menonton Anugerah Skrin penghujung tahun lalu, dia antara yang mendapat sorakan hangat daripada seisi dewan. “Popular secara tiba-tiba, terkejut? Apa bezanya kehidupan Fawa sebelum dan selepas ‘Titain Cinta’?,” soal saya. “Saya sebenarnya seorang yang sangat ringkas. Bila keluar saya lebih selesa sarung apa sahaja yang selesa, tidak dress up. Saya tidak kisah pun sama ada orang kenal atau tidak, itu lebih mudah dan selesa. Dulu mungkin ada yang kenal saya tapi dia orang mungkin tidak ambil kisah. Misalnya dari dulu saya suka kongsi gambar saya memasak di Instagram, tapi tak ada yang peduli pun, tetapi hari ini sudah berbeza. Jadi kalau you tanya beza dulu dan sekarang, cuma perhatian dari orang sahaja. Dari segi diri saya sendiri tidak ada yang berubah.”

“Titian Cinta itu satu naskhah secukup rasa. Semuanya serba kena, baik dari barisan pelakon termasuk pelakon tambahan kemunculan masing-masing ada impak, plot cerita juga keseluruhan yang terlibat. Jika diikutkan jalan ceritanya boleh dikatakan klise, bukanlah kisah baru tapi cara ia dipersembahkan yang membuatkannya menarik misalnya dari segi suntingan. Dan saya akui Zul juga ada beri impak yang besar untuk drama ini,” hurainya.

Menurut Farah, populariti yang dikecapinya hari ini juga memberi tempias kepada ahli keluarga termasuklah adikadiknya yang masih kecil. Menyedari perhatian yang diberikan kepadanya hari ini, Farah mengingatkan adik-adiknya untuk kekal menjaga privasi keluarga tanpa berkongsi apa-apa yang tidak perlu. “Saya selalu ingatkan adik-adik saya, hadkan apa yang boleh dikongsi apa yang tidak. Usah tunjuk sangat benda dalam rumah, kalau boleh jangan tag location. Hari ini macam-macam benda boleh jadi. Misalnya dulu saya terkejut bila ada peminat tahu adik saya kemalangan walhal saya tak kongsikan apa-apa di Instagram. Tiba-tiba ada yang tinggalkan komen bertanyakan hal itu. Saya seorang yang cukup menjaga hal privasi saya, dan saya berterima kasih kepada keluarga sebab mereka faham dan terima perhatian yang orang berikan. Sejak dulu lagi, even sebelum saya dikenali seperti hari ini saya cukup menjaga hal-hal peribadi.”

“Tetapi sudah menjadi resam, orang lebih tertarik untuk tahu kisah-kisah peribadi. Hal-hal kerjaya diletakkan di tangga nombor dua atau tiga. Peminat lebih berminat nak tahu apa yang mereka tidak lihat di kaca TV. Jadi bagaimana Fawa nak seimbangkan apa yang boleh dikongsi apa yang tidak?” sambung saya. “Privasi tetap privasi, lebihlebih lagi hal berkaitan dengan keluarga, seharusnya dikawal dan dikurangkan. Misalnya bila pergi bercuti, gambargambar saya akan kongsikan sehari kemudian atau bila sudah habis bercuti. Dan kadang-kadang tak perlu kongsi lokasi yang tepat.”

Bukan mudah untuk mendapat status popular (atas nama kualiti dan bakat), namun lebih sukar untuk mengekalkan momentum populariti itu. Yang banyak terjadi di dalam industri hari ini rata-rata pelakon hanya mampu mengekalkan kerancakan kerjaya mereka dalam satu dua siri sahaja, kemudian tenggelam dek dipintas bintang lain. Saya bertanyakan kepada Farah adakah dia punya sebarang strategi agar jaluran kerjaya seninya diterima secara berterusan.

“Saya percaya semua itu bergantung kepada rezeki juga. Kita hanya mampu usaha dan berikan yang terbaik selain mengharapkan percaturan kita berjaya.

“BAGI SAYA SITUASI INI AKAN MEMBUATKAN PELAKON YANG BAGUS TIDAK DIBERI PELUANG YANG SEPATUTNYA.”

Saya akui selepas ‘Titian Cinta’ saya sedikit memilih kerana saya meletakkan kualiti di tangga pertama. Hari ini pelakon terlalu ramai, jadi saya perlu bersaing dengan cara yang sihat yakni menawarkan hasil kerja yang baik. Saya memilih atas alasan kualiti bukan demand yang bukan-bukan.” Ada benarnya kata Farah, kerana semakin kerap kita muncul semakin tinggi expectation penonton, jika masih berputar dengan prestasi serupa mungkin mengundang rasa muak dan jemu di kalangan penonton. Kelainan harus diterapkan selain kualiti.

Berbicara tentang persaingan, dalam mana-mana lapangan kerja hal ini tetap ada, sejak di bangku sekolah sekalipun kita sudah mula bersaing, berlumbalumba untuk jadi pelajar paling bijak, yang dapat nombor satu di dalam kelas. Apatah lagi dalam dunia hiburan, persaingannya ketara, siapa lebih popular, siapa lebih bagus dan siapa dapat lebih banyak anugerah. Dan bila ditanyakan hal persaingan kepada Farah, baginya persaingan itu perlu ada.

“Bila ada persaingan secara tak langsung ia merangsang kita untuk bekerja lebih keras. Tapi biarlah dalam cara yang sihat, usahlah bersaing untuk rebut tawaran kerja pula. Jika kita tidak bersaing kita akan terus berada di zon selesa, kita rasa kita sudah bagus. Persaingan menggerakkan kita untuk terus perbaiki kualiti kerja.” Kongsi Farah, dalam memperbaiki persembahan lakonannya dia banyak melakukan research dengan meluangkan masa menonton filem. Nashkah lakonan Natalie Portman, Charlize Theron, Johnny Depp dan Angelina Jolie sering dijadikan rujukan. Bila ditanyakan tentang pelakon tempatan yang disukainya, pantas Farah menjawab Nad Zainal. Baginya Nad cukup hebat dalam menghidupkan satusatu karakter.

Sama ada penonton tahu atau tidak, rata-rata drama yang ditayangkan di kaca televisyen hari ini ‘dikuasai’ oleh stesen TV sendiri. Siapa yang terpilih menunjangi satu-satu projek banyak ditentukan oleh stesen TV, pemilihan mutlak tidak terletak di tangan pengarah mahupun penerbit. Saya halakan soalan ini kepada Farah, dan sebagai pelakon pastinya dia punya pandangannya sendiri. “Sejujurnya saya kurang bersetuju tentang hal ini. Lebih-lebih lagi hari ini penilaian banyak dilakukan menerusi media sosial. Mereka memilih pelakon yang terkenal di media sosial, yang rajin update aktiviti mereka. Bagi saya situasi ini akan membuatkan pelakon yang bagus tidak diberi peluang yang sepatutnya, misalnya Izara Aishah dan Beto. Mereka berbakat tapi kerana mereka tidak aktif di media sosial peluang mereka seakan disekat.” Bila bercakap tentang Izara, saya teringat penghujung tahun lalu dia ada memuat naik tweet berkenaan hal ini. Dan rasanya perlu ada keseimbangan antara populariti dan kualiti kerana penonton hari ini sangat bijak, hanya yang terbaik dan benarbenar bermutu mendapat tempat.

“Lagi satu saya juga kurang bersetuju bila pelakon diminta mempromosikan drama mereka di media sosial. Bukan berkira tetapi biarlah berpada-pada. Kita perlu promosikan bisnes orang tapi kita tidak diberikan apa-apa. Perlu ada win-win situation. Usah harapkan pelakon sahaja, dan mengharapkan kami melakukannya dengan percuma,” jelasnya yang memulakan langkahnya dalam bidang seni lakon menerusi drama ‘Inikah Cinta’.

MEMASAK TERAPI STRES

Jika anda salah seorang daripada 566 ribu (jumlah setakat artikel ini ditulis) pengikut Instagram Farah, pastinya anda ada melintasi terlihat muat naik gambar atau video Farah memasak. Saya juga ada membelek-belek post nya di Instagram dan terlihat video dia menyediakan nasi ayam, quiche dan bermacam-macam lagi. Kata Farah dia memang suka memasak sejak kecil lagi. “My mum dari dulu memang dah melatih saya duduk di dapur. Seawal darjah satu saya sudah dibiasakan dengan kerjakerja di dapur. Lama-kelamaan passion dan minat memasak berkembang.” Ternyata ada benarnya kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’, kerana sudah terbiasa sejak kecil, hal-hal di dapur bukanlah asing baginya.

Pada Farah, memasak bukan sekadar aktiviti kosong, baginya ia juga adalah satu ruang untuk dia melepaskan tekanan. “Kadang-kadang dapat potong bawang pun dah boleh buat saya release stress. Kadang-kadang kalau stres, pukul tiga pagi pun saya boleh ke dapur dan bakar kek. Ia bagaikan satu terapi paling mujarab untuk saya. Saya suka menjamu keluarga dan kawan-kawan. Seronok rasanya bila dapat sediakan masakan dan tambah seronok bila tengok orang yang makan betul-betul enjoy.”

“Apa sajian yang paling sedap Farah sediakan?” usik saya. “Rasanya butter chicken. Kalau kek seperti kek gula hangus dan red velvet,” pendek jawabnya yang pernah menjalani pengajian jangka pendek untuk kursus menyediakan pastri.

Kongsi Farah lagi, dia berharap tahun ini dia dapat merealisasikan angan-angannya untuk mempunyai rancangan masakan sendiri. Dengan populariti serta kebolehannya beraksi di dapur saya percaya impiannya itu bakal direlaisasikan tahun ini. “Saya mahukan sebuah program yang sangat santai, yang mana dalam program itu saya akan menyediakan three course meals, dari appetizer, sajian utama hinggalah manisan,” kongsinya. Giada at Home yang dinakhodai Giada De Laurentiis antara program masakan yang digemari Farah selain Barefoot Contessa yang dikendalikan oleh Ina Garten. Malah kedua-dua pakar masakan itu jugalah yang menjadi rujukan serta idolanya.

DO GOOD!

Dalam kembara kehidupan ini, yang menentukan arah tuju hidup adalah diri kita sendiri. Pilihan semua ada di tangan kita. Sama ada susah atau senang kita seharusnya sering mengingatkan diri sendiri. Sama seperti saya, saya percaya Farah juga punya pegangan serta nasihat yang sering dibisikkan pada hati. Kata Farah dia selalu ingatkan dirinya untuk berbuat baik dengan sesiapa sahaja. “Do good, good will come to you,” pendek jawabnya. “Dalam hidup ini usah penat berbuat baik, pada orang lain juga diri sendiri. Bila kita buat baik maka yang baik-baik sajalah yang datang kepada kita,” sambungnya yang bakal terbang ke Milan untuk penggambaran siri terbaru ‘Halalkan Hati Yang ku Curi’, yang mana siri yang direncana bersiaran pada bulan Ramadan ini menyaksikan gandingannya bersama Aliff Aziz.

“Farah ada bad habit?” tanya saya mengajaknya berbual perkara yang lebih santai. Dia ketawa sebelum menjawab soalan saya itu. “Saya ni sebenarnya suka tidur, tapi tak tahulah itu dikira bad habit atau tidak. Mungkin jarang dapat peluang bermalas-malas di rumah, jadi bila cuti saya lebih senang duduk di rumah dan tidur. Kadangkadang jika tak ada plan nak keluar, bila bangun pagi saya takkan mandi sampailah sebelum maghrib,” balasnya tertawa.

“Bagaimana dengan kehidupan Fawa sewaktu zaman remaja?” “Sejak remaja lagi sampailah sekarang saya bukanlah orang yang suka keluar, yang suka bersosial. Sejak remaja lagi jika keluar, pukul 11 malam saya mesti dah kena ada di rumah. Dan sebenarnya bukan senang saya nak dapat kebenaran untuk keluar berjalan-jalan. Bila nak keluar saya kena ambil hati my mum. Saya orangnya senang terpengaruh, jadi saya rasa atas sebab itulah my parents kawal saya dengan cara begitu. Of course hanya our parents yang kenal anak dia macam mana, jadi mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita.”

“Masa remaja, did you ever do anything that annoyed your parents?” saya menyusul dengan pertanyaan lain. “Kalau dulu jika saya tidak mahu balik atau mahu tidur di rumah Icha (Izara Aishah) bila malam baru saya bagitahu. Saya cakap saya tak mahu balik. Biasanya kalau kata bermalam kat rumah Icha memang selalu dapat green light. My mum dah faham sangat.”

YAKIN ITU SEKSI

Bagi saya orang yang bijak itu seksi. Cara seseorang berfikir dan melihat sesuatu perkara berbeza dengan orang lain, itu seksi di mata saya. Tapi lain orang lain pula tafsiran dan definisinya. Saya tanyakan apa itu seksi kepada Farah. Jawabnya seksi itu banyak berkait rapat dengan keyakinan diri. “Bila seseorang itu yakin, maka seksilah mereka.”

“Kadang-kadang saya pakai baju lawalawa, mekap cantik-cantik, buat rambut dan menata rapi dari hujung rambut sampai hujung kaki, tapi kalau saya tak yakin pun tak jadi juga. Jadi saya rasa keyakinan diri tu yang penting, dan yakin tu datang bila kita sendiri selesa dengan diri kita,” luahnya yang dilahirkan pada 10 Mac 1992.

Namun Farah akui berhias dan memakai yang cantik-cantik itu adalah sumber untuknya mendapatkan keyakinan. “Dress up boost my confidence. Saya akan hilang keyakinan bila saya tidak tahu tentang suasana satu-satu situasi. Misalnya kalau ke mana-mana majlis, kalau saya tak pasti bagaimana susasananya saya akan nervous. Saya ada stage fright, dan saya juga tak yakin bila berada di depan lensa kamera. Tapi lama-kelamaan berbekalkan pengalaman, lama-lama rasa gemuruh hilang.”

Bila bercakap tentang stail dan gaya, kata Farah apa yang tersarung di tubuhnya banyak bergantung kepada mood. “Saya tidak ikut trend dan juga memandang jenama sebagai perkara penting. Semuanya bergantung mood dan apa yang sesuai dengan saya. Kalau ada satu-satu trend tengah popular tapi saya rasa tak sesuai dengan diri saya, untuk apa saya ikut. Yang penting saya mesti selesa,” jelasnya yang menyatakan dia sesekali tidak akan menggayakan crop top (baju senteng) mahupun mini skirt.

“Selebriti paling stail di mata Fawa?” “Saya suka melihat Fyza Kadir. Dia sentiasa on point. Saya suka melihat apa saja yang dia pakai walaupun saya rasa tak mungkin saya akan pakai. Dia sangat fashionable. Saya juga suka Scha Alyahya. Apa yang dia gayakan saya boleh relate, dan saya boleh terinspirasi melihat gayanya. Dia lebih boleh tampil sangat kasual namun masih nampak stylish,” katanya mengakhiri temubual yang saya langsungkan menerusi ganggang telefon sehari sebelum dia terbang ke Mekah.

“KADANGKADANG KALAU STRES, PUKUL TIGA PAGI PUN SAYA BOLEH KE DAPUR DAN BAKAR KEK. IA BAGAIKAN SATU TERAPI PALING MUJARAB UNTUK SAYA.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.