BERSABAR & BERSYUKUR!

EH (Malaysia) - - SEPINTAS - Khairul Abidin PENGARANG majalaheh@bluinc.com.my

Sewaktu menyiapkan nota ini, seluruh umat Islam seluruh dunia sudah mula menjalani ibadat puasa. Dan saya secara peribadinya memang ternanti-nanti kedatangan bulan Ramadan, 30 hari yang cukup tenang dan dalam masa yang sama ada ‘kemeriahan’ tersendiri. Mengapa? Sebab ada perkara yang kita lakukan sepanjang Ramadan jarang sekali kita lakukan di bulan lain. Rutin kita di bulan ini berbeza, dan bila ada kelainan kita berasa teruja dan seronok. Sebab itulah saya percaya kita mesti berani mencuba bendabenda baru.

“Dalam hidup ini kita mesti selalu ada dua benda ni, bersabar dan bersyukur,” kata teman saya sewaktu kami berjalan-jalan mengambil angin di kota Singa bulan lalu. “Be patient and be grateful!” Itu asasnya, kerana kita perlu bersabar dalam banyak perkara, bukankah sabar itu besar ganjarannya. Tak semestinya apa yang kita mahu kita boleh terus dapat, selalunya ada sebab mengapa apa yang diidamkan tidak sampai terus ke tangan.

Lihat saja betapa manisnya nikmat menyambut kebebasan penuh suami yang dikecapi Datuk Seri Dr Wan Azizah selepas sekian lama menanti detik itu. Kini dia dapat menikmati ranumnya kehidupan selepas sekian lama menyemai kesabaran. Dan saya juga masih ingat temubual saya bersama Elfira Loy tahun lalu, “Sabar itu indah,” katanya.

Dan sebagai manusia usah pernah lupa bersyukur, sikit atau banyak yang kita ada, kita perlu tahu berterima kasih. Saya tak nafikan kadang-kadang saya ada bertanya pada diri sendiri, “kenapa saya tak ada ini, kenapa orang lain ada itu?” Bila kerap membandingkan kehidupan dengan orang lain memang kita akan selalu berasa serba kekurangan. Count your blessings to fill your life with bliss. Selalunya kita tak sedar, apa yang kita ada adalah apa yang orang lain mahukan. Be grateful! Bila ada sabar dan rasa syukur, semuanya akan lebih mudah.

Jadi bagaimana perancangan teman pembaca menyambut ketibaan Syawal? Tahun ini menyaksikan pementasan himpunan raya bermula cukup awal. Jovian Mandagie membuka gelanggang dengan himpunan ‘zen’ berinspirasikan negara matahari terbit. Kolaborasi Zalora bersama Rizalman Ibrahim pula dipentaskan cukup gemilang dengan koleksi berilhamkan Bollywood dan Bernard Chandran menutup pertunjukkan himpunan raya dengan ilham cukup glamor.

Yang mana satu gaya raya pilihan anda? Terlalu banyak mahu dipilih, kami sendiri di EH! rambang mata menapis mana yang cantik untuk diletakkan di dalam majalah. Pesan saya pilihlah yang bersesuaian dengan isi dompet, tak mahal tak apa asalkan sesuai dengan kita. Styling itu yang penting, bukan harga. Yang lama boleh nampak baru jika bijak menyuai padan. Selamat bergaya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari saya juga seisi keluarga EH!

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.