KEKAL BERTENAGA KETIKA BERPUASA

EH (Malaysia) - - JURNAL -

Bulan yang dinanti-nantikan kini tiba lagi dan memang tidak dinafikan berpuasa memakan sedikit tenaga dan membuatkan kita rasa lebih penat berbanding hari biasa. EH! senaraikan beberapa tip untuk kekal bertenaga untuk kita meneruskan kerja harian tanpa sebarang gangguan.

MAKAN SAHUR

Amat penting untuk anda bersahur pada sebelum berpuasa di siang hari kerana langkah ini membantu untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari selain pada masa yang sama mengelakkan perut menjadi terlalu kosong yang boleh menyebabkan gastrik dan sakit perut. Pilih makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks seperti beras perang, barli, roti rai serta buah-buahan seperti epal dan oren yang mengandungi indeks glycemic rendah yang mengenyangkan.

ELAK LENGAH-LENGAH WAKTU TIDUR

Oleh kerana kita perlu bangun lebih awal untuk bersahur, dicadangkan untuk tidur lebih awal juga bagi memastikan anda mendapat jumlah tidur yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 7 atau 8 jam. Jika anda rasa masih penat ketika bekerja, curi sedikit masa untuk tidur sebentar selama 15 hingga 20 minit bagi menaikkan tenaga. Pada masa yang sama, elak mengambil kafein seperti teh dan kopi kerana ia mempercepatkan proses penyahhidratan ketika berpuasa.

BERSENAM

Jika anda mempunyai masa terluang sebelum waktu berbuka, cuba lakukan aktiviti bersenam, berjalan-jalan mahupun bersiar-siar namun elak keterlaluan, takut haus pula. Aktiviti kecergasan bukan sahaja membantu tubuh untuk menjadi lebih cergas, malah minda juga menjadi lebih kuat dan ia satu pengalih perhatian terbaik daripada memikirkan rasa lapar.

ELAK MATAHARI

Mungkin agak sukar untuk dilakukan terutamanya bagi mereka yang bekerja di luar pejabat, namun jika berpeluang cuba berteduh sebanyak mana yang boleh dan elak terkena cahaya matahari menerus. Matahari ketika pukul 10 pagi hingga 3 petang paling terik dan boleh menyebabkan anda dinyahhidratkan dengan lebih pantas berbanding dengan mereka yang bekerja dalam lokasi lebih dingin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.