TEMUBUAL BERSAMA, BAPA PESAKIT (64 TAHUN) HULU KELANG

EH (Malaysia) - - REALITI -

‘HANYA MAMPU BERDOA PADA TUHAN’

Setiap pesakit kebanyakannya memiliki simptom yang berbeza-beza, ia mengikut persekitaran juga latar belakang dan gaya hidup pesakit. Sebelum meneroka lebih jauh saya berkesempatan untuk menemubual salah seorang penjaga iaitu bapa pesakit. Pesakit merupakan anak lelakinya yang sudah menghidapi penyakit Bipolar sejak sepuluh tahun lalu (semenjak umur 22 tahun).

Bagaimana anda mendapat tahu bahawa anak anda memiliki penyakit Bipolar?

Kelakuannya agak agresif, cepat marah, mengamuk dengan memecahkan barangan di rumah. Dia mula cakap benda-benda yang merepek dan hal menjadi lebih teruk apabila dia tidak dapat tidur. Pada awalnya kami terpaksa meminta bantauan polis kerana sewaktu itu tiada apa lagi yang dapat membantu. Polis kemudian merujukkan anak saya ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), dan hari itulah kami sekeluarga dimaklumkan bahawa anak saya menghadapi penyakit bipolar. Pada waktu itu kami tidak tahu langsung berkenaan penyakit ini hingga ia terjadi kepada anak saya sendiri.

Dalam 10 tahun menjaga anak yang menghidap bipolar, apakah peristiwa atau cabaran yang tidak dapat dilupakan?

Peristiwa paling menguji setakat ini adalah apabila dia ditahan polis atas tuduhan membuat ugutan keselamatan pada awal tahun 2016.

Apakah rawatan dari segi ubat-ubatan atau sesi kaunseling yang diberikan dalam proses pemulihan?

Mencari ubat yang tepat pada awalnya bukanlah mudah, kerana doktor akan sentiasa menukar ubat mengikut tindak balas pada anak saya, sama ada ia berkesan atau tidak. Akhirnya dia menerima ubat jenis lithium dan keadaannya semakin terkawal. Doktor memberi ubat dengan dos yang tinggi pada awal rawatan dan kini selepas beberapa tahun dia hanya bergantung pada dos ubat yang minimal, begitu juga buat sesi kaunseling yang dijalankan dengan kerap bersama pakar.

Bagaimana anda mengatasi kesan peribadi pada diri anda sendiri, terutamanya bila pesakit berada di luar kawalan?

Ia merupakan salah satu cabaran terbesar saya, tidak mudah, saya hanya mampu berdoa pada tuhan. Selepas mendapati anak saya menghidapi penyakit ini, saya korbankan aktiviti yang sering saya lakukan, saya cuba untuk sentiasa bersama dengannya. Beri sokongan dan nasihat yang diperlukan dan sentiasa memantau perkembangannya. Alhamdulilah hari ini selepas 10 tahun kondisinya semakin baik, sudah bekerja dan bertunang, dia bakal mendirikan rumah tanga, Insya-Allah.

Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada penjaga pesakit bipolar di luar sana?

Jangan pernah amik remeh tentang penyakit ini, ia satu penyakit yang serius, sama juga seperti diabetis, kanser, dan penyakit serius lain. Ia perlu dirawat dan anda perlu sentiasa merujuk kepada pakar. Saya percaya ia bukan satu perkara yang mudah dan dalam situasi ini anda perlu banyak bersabar dan jangan pernah putus asa. Bimbing mereka semasa mereka memerlukan dan sentiasa berdoa pada Tuhan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.