SEBOTOL HARUMAN IKONIK

Penggemar aroma ikonik Acqua Di Gio pasti menyenangi aroma baru ‘adiknya’ Acqua Di Gio Absolu. Tidak percaya? Cubalah sendiri, pastu jatuh cinta!

EH (Malaysia) - - DUNIA LELAKI -

Acqua Di Gio yang diperkenalkan Giorgio Armani bukanlah aroma asing dalam dunia haruman lelaki. Malah minyak wangi yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 itu antara haruman yang disenangi oleh mana-mana lelaki yang pernah menyemburnya. Dan jika ditanyakan pada saya, ia antara aroma mesti ada dalam senarai produk grooming lelaki. Mengapa? Kerana aromanya sangat segar, punya ciri maskulin dan juga sangat malar segar.

Menyedari betapa ikoniknya haruman ini, Giorgio Armani memperkenalkan pula Acqua Di Gio Absolu yang menjadi bahagian ketiga bagi keluarga Acqua Di Gio. Menerusi aroma baru ini Giorgio Armani mahu lelaki-lelaki di seluruh dunia bermesra dengan alam khususnya air dan kayu-kayuan. Mengapa kayu dan air menjadi pilihan? Kerana dua unsure ini cukup utuh elemen kelakiannya dan dalam masa yang sama cukup

evergreen. Ia juga membangkit kekuatan sensual yang cukup tersendiri.

Untuk versi baru minyak wangi ikonik ini, pakar haruman Alberto Morillas mengabadikan kekuatan dan kebebasan dalam sebotol haruman. Dia meramu bahan-bahan utama dengan cukup mesra. Antara intipati Acqua Di Gio Absolu ialah nota-nota marin, patchouli (yang menyuntik bau kayu-kayuan). Patchouli untuk Acqua Di Gio Absolu diambil dari Guatemala.

Bagaimana pula dengan botolnya? Giorgio Armani masih mahu mengekalkan rupa asal haruman ini namun dipersembahkan dalam gaya yang lebih mewah lagi maskulin. Penutup botol haruman ini menggunakan kayu dan diukir dengan lambang Giorgio Armani pada kemuncaknya. Botol jernihnya pula menonjolkan cecair aroma ini yang berwarna coklat keemasan. Cukup mewah!

Acqua Di Gio Absolu boleh dimiliki pada harga bermula dari RM260 hingga RM490, dan hadir dalam tiga saiz berbeza, 40ml, 75ml dan 125ml.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.