SIAPA DIA

Amyra Rosli

EH (Malaysia) - - SEPINTAS -

Sangat sibuk! Itulah yang boleh saya simpulkan tentang jadual kerja Amyra Rosli. Bagaikan bau jamu pun belum habis hilang, Amyra pantas kembali ke lokasi melunaskan kecintaannya kepada dunia lakonan. Saya sendiri terpaksa menunggu dua bulan untuk mendapatkan tarikh Amyra untuk penggambaran ini. Malah saya terpaksa berkomunikasi sendiri dengan pihak produksi, bukannya dengan ibu Amyra yang mesra saya panggil Kak Nor seperti selalu. Empat hari sebelum penggambaran barulah kami mendapat kata sepakat tentang tarikh penggambaran.

Pagi itu Amyra datang bersama ibunya, adik, sepupu serta anak kesayangannya Aqeef Anaqi. Selalu melihat wajah Anaqi di media sosial sahaja, hari itu saya berpeluang melihatnya dengan sepasang mata sendiri. Comel! Keningnya lebat, matanya bundar, dan paling saya suka tentang Anaqi ialah dia tidak banyak ragam, suka tersenyum dan sedikit pun tidak mengganggu proses penggambaran. “Geramnya tengok mata Anaqi,” kata saya kepada Amyra. “Masa mula-mula lahir dulu, mata hitamnya penuh satu mata, mata putih tak nampak langsung,” balas Amyra tersenyum.

Pagi Sabtu itu kami hanya ada tiga jam sahaja untuk melunaskan penggambaran ini bersama bintang yang mula menyerlah menerusi drama Tersuka Tanpa Sengaja dan Cik Bunga Encik Sombong ini. Dan ya, walaupun tiga jam sahaja termasuk bersolek dan dandanan, kami seisi studio lebih dari berpuas hati dengan hasil gambar-gambar yang kami rakamkan. Aksi Amyra di depan lensa nampak bersahaja, mana-mana sudut dia tampak cantik. Sesekali kali lihat wajahnya seiras raut bintang Bollywood, Deepika Padukone. Mata Amyra bagai berbicara dengan lensa, pantas menangkap mata yang memandang. Pagi itu kami memakaikan Amyra dengan himpunan raya daripada Nurita Harith, Innai Red, Fiziwoo dan Jovian Mandagie. Dan kami sempurnakan look Amyra dengan aksesori berkilau daripada Swarovski. Setiap helaian digayakan memang kena, lekuk tubuh Amyra tampak sempurna, malah lebih langsing berbanding sebelum berkahwin dulu.

THE NEW CHAPTER

Perbualan saya dan Amyra pagi itu pastinya banyak menjurus kepada kisah anaknya, Aqeef Anaqi yang baru saja mencecah usia enam bulan (sewaktu penggambaran muka depan ini). Kata Amyra, anaknya itu memang ‘good boy’, tidak banyak meragam mudah dijaga. “Dia sudah biasa ikut saya bekerja, dan Mama atau Amar akan tolong tengoktengokkan,” jelasnya. Kongsi Amyra dengan saya, anaknya itu mudah diurus. Malah sebaik sahaja dilahirkan anaknya itu tidak menangis, selepas beberapa minit barulah terdengar tangisannya.

“Amyra masa kecil dulu macam ni lah. Bila Kak Nor pergi kerja, memang Kak Nor akan bawa dia ikut sekali, dan dia akan duduk dekat satu ruang dan buat hal sendiri. Sikit pun tak kacau,” celah ibu Amyra yang mesra dipanggil Kak Nor. Jika ada yang tidak tahu, ibu Amyra sebelum ini memang sudah lama aktif dalam dunia showbiz, dan pernah berkhidmat untuk syarikat rakaman Warner Music.

Beberapa bulan lalu Amyra terbang ke Seoul untuk penggambaran kempen baru aiskrim Baskin Robbins. Pengalaman sulungnya terbang bersama bayi lelakinya itu cukup menerujakan. “Myra memang risau sebenarnya, kita tak tahu ragam dia bila dalam kapal terbang kan. Untuk keselesaan dia kita terbang dengan business class. Dan bila dah terbang dengan business class kita pula mestilah pastikan anak kita tak meragam kan. Nanti orang bising pula, sebab orang lain bayar lebih sebab mahu lebih selesa. Mujur sebaik bermula penerbangan sampailah ke sana, dia tak banyak meragam. Senyap sahaja. Tidur pun lena. Dan dia boleh tahan dengan cuaca sejuk di sana. Jadi lepas ni bolehlah berjalan jauh lagi,” ceritanya sambil ketawa.

“Saya tak pernah terbayang pun bagaimana perjalanannya,” singkat jawapan Amyra saat saya bertanyakan adakah dia sudah membayangkan seronoknya bergelar ibu. “Dari mula pregnant saya sudah rasa seronok. Bagi saya journey waktu hamil sangat indah. Sangat best sebenarnya. Memang tak dinafikan memang ada rasa letih sebab semuanya jika boleh saya mahu uruskan sendiri tapi yang indahnya banyak. Myra misalnya akan sentiasa looking forward benda atau perkembangan baru Anaqi, nak tunggu dia tumbuh tinggi, merangkak, berdiri, berjalan dan macammacam lagi. Saya percaya perasaan ini mana-mana wanita bergelar ibu berkongsi keterujaan yang sama.” Kongsi Amyra lagi, anaknya itu membesar cepat dan diakui oleh doktor sendiri. “Doktor kata Anaqi agak advance pembesarannya, duduk cepat dan sekarang boleh meniarap sendiri,” tambahnya yang melahirkan Anaqi secara normal pada 15 Oktober tahun lalu.

Diuruskan oleh ibunya sendiri sedikit sebanyak memudahkan untuk Amyra dan Amar menyusun jadual kerja mereka. “Bila sibuk, biar dua-dua sibuk, bila cuti biar sama-sama cuti, jadi saya dan Amar boleh merancang untuk berehat ke mana-mana.” Tambah Amyra lagi dia beruntung kerana ibunya memang banyak membantu dia menguruskan anaknya saat dia sibuk di lokasi.

“Apa yang Amyra looking forward

“SAYA TAK PERNAH TERBAYANG PUN BAGAIMANA PERJALANANNYA.”

sekali untuk hari raya tahun ini?” saya mengajaknya berbicara tentang lebaran. “Bila raya antara benda paling awal yang orang selalu fikir ialah fasal fesyen atau baju raya. Itu antara benda yang kita selalu kaitkan dengan raya selain perihal berkumpul bersama keluarga. Amyra sendiri memang looking forward nak dress up kan Anaqi tapi dia baby boy jadi tidak sukar mencari apa yang sesuai, tidak perlu terlalu fancy. Jika dulu baju raya ikut keluarga saya atau famili Amar, tahun ini kami sendiri boleh pilih warna untuk kami sekeluarga sendiri.”

Lagi satu yang menarik tentang sambutan hari raya tahun ini, Amyra sekeluarga (bersama suaminya Amar dan permata sulungnya Anaqi akan menjadi wajah kempen Aidilfitri TV3. “Inilah pertama kali kami sekeluarga bekerjasama. Ia sesuatu yang saya cukup nanti-nantikan.”

Berbicara tentang rutinnya bila meraikan Aidilfitri, jelas Amyra sejak dulu lagi dia sekeluarga akan mengambil kesempatan untuk pergi bercuti. “Saya dan Amar memang beraya di sini saja, keluarga Amar di Kajang dan saya di Melawati, jadi dalam sehari dua kami dah sempat untuk beraya di rumah-rumah sanak saudara lain. Family trip ni seronok sebab meriah, dan keluarga Amar pun akan turut serta.”

Bila ditanya tentang amalan rayanya sejak dulu lagi, jelas Amyra dari dulu lagi ibunya sudah membiasakan mereka sekeluarga untuk melawat pusara pada hari raya pertama sebaik selesai solat sunat Aidilfitri. “Itu sudah jadi kewajipan,” ujarnya. “Biasanya hari raya pertama saya akan habiskan masa bersama keluarga Amar, dan kemudian akan pulang ke Melawati untuk melawat adik-beradik mama yang lain,” ujar pemilik nama penuh Nur Amira Izzati binti Rosli ini.

BACK ON TRACK!

Bercerita tentang kerjaya seninya, Amyra berasakan untuk kembali on track bukanlah satu masalah baginya. Hendak menghidupkan kembali ‘enjin’ di set bukan hal besar, tetapi ada hal lain yang menjadi perhatiannya, bentuk dan berat badannya sendiri. “Myra sebenarnya cukup concern dengan bentuk badan Myra selepas melahirkan Anaqi. Myra mahu pastikan Myra masih diberikan watak-watak yang Myra dapat sebelum Myra berkahwin,” luahnya yang sedang hangat dengan drama Nur yang bersiaran di TV3 sepanjang Ramadan tahun ini. Pabila Amyra bercerita tentang projek baru ini yang menggandingkannya bersama aktor paling hangat masa kini, Syafiq Kyle saya sudah dapat rasakan drama ini bakal hit. Biasanya dramadrama yang penuh ‘drama’ mudah sekali mencuri perhatian sementelah itu sudah menjadi cita rasa orang kita.

“Jadi bila Myra kata Myra concern fasal berat badan, jadi apa yang Myra buat untuk realisasikan misi Myra itu?” saya bertanya. “Bagi Myra itu semua bergantung kepada diri kita sendiri. Kalau kita betul-betul nak kurus dan kita usaha, pasti boleh. Masa pantang 44 hari tu memang Myra ikut dan jaga betul-betul. Myra patuh dengan apa yang boleh, apa yang tidak. Bila habis pantang Myra kawal apa yang Myra makan, nasi masih ambil tapi tak banyak. Sayur dilebihkan.”

Kongsi Amyra dengan saya dia menjaga makan bukan sahaja kerana mahu turunkan berat badan tapi kerana anaknya masih menyusu badan. “Bila kita breastfeed makan memang perlu, yang berkhasiat itu seeloknya. Dan orang kata bila kita breastfeed ia memudahkan untuk kita turunkan berat badan juga. Dan bila sudah mula penggambaran, waktu makan tak menentu jadi secara tak langsung ia membantu Myra untuk kekalkan berat badan sekarang.” Dalam masa yang sama Amyra tidak menafikan usianya yang masih muda dan kadar metabolisme yang masih tinggi banyak mempermudahkan usahanya mengembalikan berat tubuhnya ke angka yang asal. “Kalau tanya fasal exercise memang tak ada masa,” selorohnya.

Bila berbicara tentang penerimaan tawaran, jelas Amyra semenjak berkahwin dia cukup berhati-hati dalam pemilihan skrip. Tiap baris akan dibaca dengan teliti. “Lebih-lebih lagi kalau ada tawaran lakonan bersama, jadi kita taknaklah dalam skrip ada kata-kata yang mungkin boleh melanggar apa-apa lebih-lebih lagi benda sensitif. Kalau boleh biarlah yang indah-indah sahaja. Dan kalau boleh sebenarnya saya dan Amar akan cuba mengelak watak suami isteri dalam mana-mana projek.”

“Saya sebenarnya sejak sebelum berkahwin pun memang banyak digandingkan dengan Amar. Andai kata dia bukan hero saya sekali pun, mesti dia ada paling tidak sebagai supporting. Dan sejujurnya saya selesa bila bekerjasama dengan Amar dalam satu projek. Ia lebih memudahkan. Pergi set pun boleh datang bersama,” jelasnya yang mendapat pendidikan formal seni lakon dari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Mudahkah untuk mengekalkan momentum atau memastikan nama Myra sentiasa segar dalam industri? Memandangkan kerjaya bukanlah tumpuan 100 peratus kerana Myra perlu bahagi-bahagikan fokus antara keluarga dan kerjaya. Berbanding sebelum ini, tumpuan penuh kepada kerja bukan satu masalah.” “Bukan tak boleh untuk fokus kepada kerjaya 100 peratus, ruang itu masih ada andai kita bijak mengatur kerja kita. Tidak semestinya bila Myra tidak ke set, Myra tak ada kerja lain yang boleh dibuat. Myra ada pengurus Myra yakni Mama, dan dia memang tahu bagaimana merancang aturan kerjaya Myra supaya nama Myra sentiasa ada dalam industri. Bila tak berlakon Myra masih ada tanggungjawab sebagai duta, Baskin Robbins misalnya. Perlu muncul di mana-mana majlis.”

“Apakah karakter diri Myra yang berubah sejak berkahwin?” tanya saya. “Rasanya Myra lebih alert dalam menguruskan masa. Jika dulu Myra tinggal bersama Mama, jadi semuanya Mama nak uruskan. Walaupun Myra dan adik-beradik nak tolong, Mama still mahu buat semua. Tapi bila dah bersuami dan ada anak, Myra kena bijak urus masa. Apa-apa yang hendak dibuat Myra perlu pertimbangkan suami dan anak. Dah tak boleh nak ke spa atau buat manicure sesuka hati. Masih boleh pergi tapi masanya perlu dirancang. Pengurusan masa itu penting.”

“Lagi satu Myra rasa Myra lebih kental hari ini. Jika difikirkan memang penat, berkejar ke set, balik menguruskan anak dan keluarga tapi Myra tak melayan rasa penat tu. Myra selalu fikir fasal Mama, dia idola Myra. Kalau dia boleh buat, mengapa tidak Myra. Mama sejak dulu menguruskan semua sendiri. Dia boleh ikut Myra ke set, dalam masa yang sama uruskan hal adik-adik yang lain, masih sempat memasak untuk keluarga tanpa bantuan orang gaji, sebab dulu kami memang tiada pembantu rumah. Jadi pada Myra, tak ada sebab untuk Myra mengeluh.”

“Bagaimana pula dengan Amar?” saya mencelah. “Amar sebenarnya tak banyak berubah jika mahu dibandingkan sebelum dan selepas berkahwin. Sejak dah jadi ayah saya sedar dia seorang yang memang sentiasa bersedia untuk membantu memudahkan apa-apa urusan keluarga. Tanpa disuruh dia boleh uruskan semua. Jika habis kerja misalnya dia akan terus balik. Setakat ini dia memang banyak membantu.”

Bila ditanyakan andai ada pengalaman lalu yang mahu diperbetulkan andai diberi peluang, secara tenang Amyra menjawab, “tiada. Setiap hari adalah ruang baru untuk Myra belajar. Sebagai pelakon sendiri Myra berpeluang untuk menimba pengalaman baru. Lepas SPM Myra dah mula bekerja, jadi dari situ Myra belajar dengan mengumpul pengalaman. Jadi kalau ditanya tentang benda-benda lepas, tiada apa yang Myra mahu sesalkan. Semuanya adalah sesi pembelajaran bagi diri Myra. Benda baru tak putusputus.”

Bila ditanya tentang kelemahan diri yang mahu diperbaiki, Myra terdiam seketika. Berfikir-fikir jawapan yang tepat. “Myra rasa Myra perlu perbaiki cara Myra mengawal emosi. Sebagai perempuan kita memang ada masanya terlalu mengikut atau melayan emosi.”

Saya sempat menghubungi Amyra bertanyakan beberapa soalan akhir untuk melengkapkan temubual bersamanya. Bila diajukan soalan tentang harapannya kepada kerajaan baru kepada dunia seni, balas Amyra dia berharap anak-anak seni diberikan ruang dan peluang untuk lebih bebas berkarya. “Bukanlah kita meminta untuk berkarya tanpa batas, Cuma berilah lebih sedikit ruang dan peluang. Hendak cakap banyak pun Myra tak berani kerana bagi Myra isu ini agak serius,” balasnya menutup bual bicara kami berdua.

“MYRA RASA MYRA PERLU PERBAIKI CARA MYRA MENGAWAL EMOSI. SEBAGAI PEREMPUAN KITA MEMANG ADA MASANYA TERLALU MENGIKUT ATAU MELAYAN EMOSI.”

GAMBAR AARON LEE (LENSWORKS PRODUCTION) TEKS & PENATA GAYA KHAIRUL ABIDIN ISHAK PEMBANTU RAZIN MOHD PENYELARAS PAKAIAN JULIA AZMAN ARAHAN SENI ZULKIFLI SULAIMAN & YANTIE BASHARUDIN JURUVIDEO NABILA FARHANA SOLEKAN SHENG SAW DANDANAN GARY BOBS PAKAIAN HIMPUNAN LEBARAN NURITA HARITH, FIZIWOO, JOVIAN MANDAGIE & INNAI RED AKSESORI SWAROVSKI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.