ORGANIK INDUSTRIAL

Material Kulit, Besi Dan Kayu Semulajadi Menjadi Teras Banglo Tiga Tingkat Ini. Tumbuhan Hijau Merimbun Bukan Sekadar Aksesori Penyeri Malah Menyuntik Nyawa Di Segenap Ruang Yang Ada

Glam Deko (Malaysia) - - News - Teks & Penyelaras NADIA ZOLKIFLI Arahan Seni & Penata Gaya AFIQ KHAIRUDIN Gambar WAN IZHAR ( ODS)

“Dimensi segar, terbit secara organik menerusi motif alam dan kemanusian yang dizahirkan.” Azry Fazamy

Pereka, Azry Fazamy diberi mandat untuk merealisasikan impian pemilik membina kediaman yang sudah lama dibiar tidak berpenghuni. Kali ini, Azry mahu menghidupkan atmosfera organik yang mana, palet kelam diadun bersama material metal, kayu padu dan kulit sebagai paksi kediaman. Manakala, kehidupan hijau semulajadi turut dibawa masuk ke setiap ruang hidup penghuni. Banglo tiga tingkat ini mengekalkan seni bina bahagian luar. Bagaimanapun, Azry mengubah langsung bahagian dalam kediaman berpandukan gerak kehidupan seisi penghuni agar kediaman dibina praktikal dan selesa.

PENYATUAN RUANG SOSIAL Ruang tamu utama, ruang makan dibina berkongsi lantai yang sama di aras bawah kediaman. Struktur siling berganda memberi laluan mudah buat udara dan pencahayaan semulajadi di sekitar kediaman. Jelas Azry, “Kelemahan reka pelan kediaman ini adalah kewujudan ruang- ruang kosong yang tidak praktikal dan tidak dapat digunakan semaksimum mungkin. Jadi saya hapuskan ruang- ruang ini termasuk struktur asal dapur dan bilik utiliti bagi memberi lebih ruang sosial yakni ruang tamu utama dan ruang makan.”

Warna kelabu kelam dengan kesan kemasan simen mentah dipilih bagi membentuk dinding fokal di ruang tamu. Gril gelangsar besi padu menggantikan fungsi langsir dan tirai bertindak menabir cahaya semulajadi di kala siang. “Selepas melihat struktur rekaan siling tinggi dan tetingkap yang diusulkan Azry, saya bersetuju tanpa ragu. Gril gelangsar ini cetusan idea Azry kerana saya tidak mahukan langsir sebagai penabir suria selain kos penyelenggaraan yang tinggi dan berkala. Gril ini secara tidak langsung memberi impak berbeza pada ruang ini. Malah, saya terpegun melihat hasil

“KELEMAHAN REKA PELAN KEDIAMAN INI ADALAH KEWUJUDAN RUANG- RUANG KOSONG YANG TIDAK PRAKTIKAL DAN TIDAK DAPAT DIGUNAKAN SEMAKSIMUM MUNGKIN.”

akhir,” kata pemilik yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada Azry untuk projek ini.

Meja kayu sepanjang lapan kaki ditempah khas oleh pemilik. Kata pemilik lagi, “Setiap perabot dan aksesori yang mahu dibawa masuk, saya meminta pandangan Azry agar konsep yang terbina tidak tersasar jauh. Lagipula, saya memang sukakan perabot berasaskan kayu semulajadi. Ini termasuk meja konsol berkaki besi di bahagian foyer kediaman.”

Jelas Azry, kediaman ini banyak bermain tekstur dan material semulajadi kerana pemilik menitikberatkan jenis kemasan agar tahan lama dan wajah terlihat mewah. Kemasan dek kayu di bahagian depan dan belakang kediaman, menggunakan kayu jenis cengal kerana faktor ketahanan dan warna semulajadinya. “Saya tidak mahu landskap taman di bahagian belakang kediaman kelihatan seolah terpisah dengan binaan tembok batu. Jadi idea pagar gelangsar kayu cengal cukup ideal,” sambung pemilik.

PEMBAHAGIAN RUANG Sementelah ruang bawah didedikasikan sebagai ruang sosial, aras dua banglo menempatkan kamar beradu utama dan ruang duduk- duduk. Ruang duduk- duduk antara struktur tambahan yang dilakukan oleh Azry. Titik fokal ruang; lukisan hutan tropika memenuhi panel dinding ruang karya, Nik Mohd Hazri. Sambung Azry, “Asalnya, kamar beradu utama terletak di aras paling atas dengan saiz ruang terbesar. Atas dasar praktikaliti, penghuni mahu menukar fungsi ruang; kamar beradu anak- anak dan ruang belajar dibina di aras paling atas.”

Sedikit tersasar dari landasan keseluruhan kediaman, kamar beradu ditata minimal dengan latar serba putih. Pantulan cahaya dan biasan imej menerusi perincian kaca perabot dan cermin menerbit aura elegan. Setiap kamar

beradu dibina secara en suite lengkap walk- in wardrobe. Beritahu Azry, “Setiap penambahan struktur bangunan dan ruang, mengikut spesifikasi material dan kemasan bangunan asal termasuk warna cat, kemasan lantai dan kemasan siling. Ini memastikan keseluruhan bangunan terbina kelihatan lebih kemas dan mengekalkan standard dan orang tidak boleh menebak bahagian mana yang telah diubah.”

AKSESORI PENYERI Azry turut mengakui gantungan lukisan bermotifkan alam dan manusia koleksi pelukis tempatan; Marisa R Ng dan Nik Mohd Hazri antara nadi kediaman ini. Lakaran lukisan figura ibunda pemilik membibit rasa nostalgia. “Koleksi lukisan yang ada merenjis sedikit warna dan tekstur pada latar kediaman yang agak suram dan mendatar. Dimensi segar, terbit secara organik menerusi motif alam dan kemanusian yang dizahirkan,” beritahu Azry.

Mahu kehidupan seisi penghuni diselubungi kehidupan hijau, setiap pojok dan ruang dipenuhi pepohon renek merimbun segar. Diatur elok di dalam pasu beraneka ragam dan saiz, Azry sempat berkongsi tips, “Pilih tumbuhan yang mudah hidup dan tidak terlalu sensitif untuk kegunaan indoor. Namun, masih ada yang beranggapan tumbuhan

indoor tidak memerlukan penjagaan rapi. Silap! Tumbuhan jenis ini juga perlukan trimming dan siraman dua kali sehari agar hidup segar dan tumbuh merimbun. Malah, penghuni perlu membawa keluar pokok- pokok yang ada untuk bermandikan zat matahari waktu pagi dan petang. Gunakan tanah jenis kompos agar tumbuhan tumbuh segar.”

Meja konsol kayu berkaki besi dibawa dari kediaman lama menepati suai padan keseluruhan konsep banglo. HALAMAN SEBELAH Gril gelangsar sebagai penabir suria menggantikan fungsi langsir atau tirai konvensional.

Kamar beradu si anak gadis dibina berteraskan gaya retro industrial. Seni graviti dinding dihasilkan oleh pelajar seni dari UiTM.

HALAMAN SEBELAH Kamar beradu utama tersasar dari landasan konsep asal, moden elegan serba putih dihiasi aksesori berkaca dan keemasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.