Eklektik

Rambang gayanya mencaturkan aneka ragam dan reka bentuk perabot berlainan era, ternyata menjadi. Simbahan warna- warna menyengat di ruang tertentu mencipta impak dramatik yang diperlukan jiwa sang penghuni

Glam Deko (Malaysia) - - Kediaman - Teks NADIA ZOLKIFLI Arahan Seni & Penata Gaya AFIQ KHAIRUDIN Gambar WAN IZHAR ( ODS)

Laman rumah banglo lama ini teduh dilitupi rimbunan pepohon tua yang hidup di sepanjang pinggiran jalan raya keluar masuk. Sesekali angin sepoi- sepoi menyapa, terlihat dedaun kekuningan luruh menyembah landskap subur menghijau. Ruang tamu luar dibina seakan verandah memperagakan susun atur dua sofa bereka bentuk Scandinavian, kerusi berlengan antik Oriental, meja kayu beranyam, lampu lantai, kabinet, pasu- pasu dan perhiasan antik lainnya menyatu sempurna; melakar persona tersendiri sang penghuni. “Asalnya, ruang ini adalah sebahagian daripada struktur parkir kereta. Namun, saya jadikan ruang duduk- duduk buat menghirup udara segar. Jubin hitam berkilat menutupi permukaan lantai menyuntik sensasi elegan pada keseluruhan wajah ruang,” bicara Leslie Variyan, pemilik kediaman.

Jiwa penghuni mencintai seni, nalurinya mengagumi perhiasan etnik berestetika tinggi. Atas nama cinta pada kesenian ini, Leslie menzahirkan pada ruang dalaman dengan padanan perabot antik dan perabot yang memiliki karakter tersendiri. “Saya melihat lebih dari 30 jenis rumah di pelbagai lokasi termasuk Bangsar dan Jalan Gasing, tetapi tiada yang berkenan. Membeli rumah ibarat membeli wangian diri, its very personal. Segala yang ada di banglo ini adalah apa yang dicari selama ini yakni terbina dalam bandar, struktur setingkat, keluasan tanah yang cukup besar; 7, 600 kaki persegi,” cerita Leslie yang juga pengasas dan pereka fesyen untuk jenama fesyen sedia pakai, Variante dan rangkaian couture, Variyan. Leslie mula mendiami kediaman ini 4 tahun lalu. Ironinya, lokasi banglo ini berdekatan dengan kawasan di mana dia membesar, Kampung Tunku, Petaling Jaya. Kata Leslie, “Saya gembira untuk kembali ke kawasan yang familiar.”

STRUKTUR ASAL Tiada apa yang diubah suai pada struktur banglo setingkat ini. Leslie mengekalkan reka pelan asal; kediaman ini memiliki 4 kamar beradu, 5 bilik air dan dapur. Beritahu Leslie, “Tiada apa yang perlu diubah kerana setiap ruang mampu direka mengikut kegunaan dan cita rasa saya. Saya cuma menukar kemasan dan aksesori seperti tetingkap kerana reka bentuknya retro, tidak menepati konsep keseluruhan kediaman.”

Ruang lantai utama kediaman terbahagi kepada dua ruang tamu. Meja konsol kayu sarat perhiasan seni seperti koleksi pasu, bukubuku bertindak sebagai panel pemisah antara dua ruang ini. Elegan dalam simbahan warna alami, langsung menyerlahkan keseluruhan koleksi perabot dan aksesori yang rata- ratanya jenis kayu, sarat ukiran dan berwarna kelam. Sofa fabrik baldu marun ditempah dari Janine menghiasi ruang menonton. Peti televisyen diatur di atas kabinet kayu didatangkan dari Portugal juga dibeli di Janine. Terlihat kabinet antik, The Wedding Cabinet sarat perincian ukiran tangan di pojok antara ruang tamu menuju ke ruang kamar beradu. The Wedding Cabinet; kabinet kayu yang diberikan kepada pengantin perempuan sebagai mas kahwin oleh masyarakat Cina. Kata pemilik, “Kebanyakkan perabot dan aksesori dikumpul saat saya mula mampu untuk membeli dan belajar menghargai seni reka bentuk. Ada juga yang didapati lewat kembara. Barangan rumah pertama yang saya beli adalah sehelai hamparan permaidani di pasar lambak, kota

New York. It’s nothing special tetapi saya masih simpan sehingga hari ini. Saya juga kerap berkunjung ke pameran dan ekspo berkaitan seni dalam negara. Kabinet antik ini diperoleh di kedai perabot Suzie Wong, Plaza Low Yatt suatu masa dulu.”

Binaan panel gerbang membawa terus ke ruang makan. Gantungan lampu- lampu beraneka ragam dan saiz menyuntik dimensi berbeza. Pintu lipat ( folding door) dipilih menggantikan panel tetingkap lama menjadi titik tumpu utama tetamu yang datang. Bagaikan bingkai lakaran lukisan taman, pintu ini menembusi terus ke ruang landskap yang memukau pesona mata. Melengkapi fungsi ruang, meja makan kayu gelap dalam reka bentuk industrial daripada Janine dilihat cukup praktikal dan kukuh buat menampung enam hingga 10 tetamu pada satu- satu masa. Ruang makan dibina bersebelahan ruang dapur.

DRAMA WARNA Leslie ternyata tidak gentar bermain warna- warna gemilang bagi menghidupkan segenap ruang. Warna biru terang mewarnai keseluruhan ruang makan. Kabinet konsol kuning memecah dimensi kelam segenap ruang. “I just need a lil bit of drama in my life. Warna- warna gemilang sama sekali berkuasa menukar mood saat kaki melangkah masuk ke ruang yang tercipta. Begitu juga ruang makan; ruang sosial buat penghuni meraikan tetamu. Pada mulanya, saya memilih warna cat biru cair untuk ruang makan ini, tetapi seperti ada yang tidak kena.” kata Leslie yang turut memilih warna kelabu gelap untuk dapur.

Gantungan karya- karya seni pelbagai motif lakaran artis tempatan turut menjadi penyeri di kediaman ini. Siri lukisan naga dihasilkan oleh Raduan Man, tergantung megah di ruang tamu. Leslie memberitahu bahawa saiz siri lukisan naga ini sebenarnya jauh lebih besar. Setiap lukisan yang ada di kediaman ditempah khas daripada pelukis. Begitu juga dengan lukisan monyet di atas bahan aluminium yang juga hasil seni Raduan Man. “I just love strong colors. Saya juga sukakan motif naga. Ramai tidak tahu bahawa pelukis tempatan cukup berbakat dan sememangnya luar biasa. Kerjakerja seni Raduan Man ini berjaya menembusi sehingga ke pasaran Hong Kong,” kata Leslie lagi sambil menunjukkan beberapa lagi karya seni tempatan koleksinya daripada artis Ismadi Salehuddin.

“I JUST NEED A LIL BIT OF DRAMA IN MY LIFE. WARNAWARNA GEMILANG SAMA SEKALI BERKUASA MENUKAR MOOD SAAT KAKI MELANGKAH MASUK KE RUANG YANG TERCIPTA,”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.