STYLISH EKLEKTIK

Campuran Pelbagai Reka Bentuk Perabot Dari Era Berlainan Bersatu Harmoni Dan Diatur Penuh Estetika. Warna Biru Dan Putih Simbolisme Buat Penghuni Yang Mahukan Ketenangan Dan Kedamaian Abadi

Glam Deko (Malaysia) - - Contents - Teks & Penyelaras NADIA ZOLKIFLI Arahan Seni & Penata Gaya AFIQ KHAIRUDIN Gambar PATRICK CHAN

“Rumah tidak perlu besar tetapi harus bersih dan kemas kerana penghuni memulai dan mengakhiri harinya di rumah.” Khatijah Ahmad

Nada warna biru dan putih menguasai seluruh interior banglo di kawasan Sengkurong ini. Monopoli perabot kayu berwarna putih bermacam reka bentuk dari era berlainan diatur rapi dan penuh seni. Khatijah Hj. Ahmad, pemilik banglo adalah anak Malaysia yang sudah menetap di Brunei lebih 36 tahun setelah berkahwin dengan orang tempatan. “Ketika mula berpindah, sememangnya agak janggal dan sukar menyesuaikan diri di tempat orang. Semakin lama, saya semakin serasi dan Brunei juga tidak sesibuk Kuala Lumpur. Kehidupan disini lebih laidback, semua yang diperlukan berada berdekatan dan jalan tidak sesak!” cerita Khatijah mesra.

Banglo berkeluasan 1, 400 kaki persegi ini didiami Khatijah bersama suami, anak perempuannya dan dua cucu. Banglo dibeli 25 tahun lalu dan Khatijah tidak mengubah langsung reka pelan asal. “Saya hanya memperkemaskan kemasan siling ( cornish) dan selebihnya menumpukan pada dekorasi dalaman yang sememangnya

adalah minat dari azali. It’s a passion, saya berkongsi minat yang sama dengan adik- beradik lain yang menetap di Kuala Lumpur. Mereka mencurahkan seluruh idea dan kecintaan dunia dekor pada rumah mereka. Satu hari, kamu patut lihat sentuhan mereka,” kata Khatijah yang berasal dari Klang, Selangor.

Dapur terbina dibahagian hadapan banglo, bertentangan seni bina kediaman konvensional. Melewati ruang foyer, terlihat katil siang kayu dibeli daripada kedai perabot tempatan, Cinnamon yang menjadi ruang dudukduduk sebaik sahaja pulang dari berpergian.

Sebelum beransur menuju ke ruang makan, Khatijah sempat berkata, “Dari kecil saya diajar untuk mengemas, menghargai rumah yang cantik dan teratur. Rumah tidak perlu besar tetapi harus bersih dan kemas kerana penghuni memulai dan mengakhiri harinya di rumah. The

bigger the house the higher the maintenance. Kediaman adalah perlambangan persona dan jati diri seseorang,”

MATERIAL KAYU DAN ANTIK

Reka pelan banglo terbina memanjang terus menuju ke ruang makan kemudian ruang tamu. Kabinet kayu konsol dicat putih agar selari tema yang ingin diangkat pemilik. Beberapa hamparan permaidani Persian dan Kilim menghiasi ruang lantai menuju ke ruang makan. “Waktu mula berpindah, semua perabot dibeli baru dan hanya satu atau dua barang yang dibawa dari rumah lama. Kebanyakkan perabot dempak seperti sofa, kabinet, almari dan meja kopi diperoleh sekitar Brunei sahaja. Saya sering ke kedai perabot Thomson, Cinnamon, Crimson Square di hotel Empire dan beberapa kedai perabot antik dan etnik Bali tetapi banyak yang sudah tutup,” cerita Khatijah lagi.

Meja kerja antik dibentuk daripada rangka tetingkap lama dibeli di Brunei. Cermin besar dibingkai dalam rangka kayu keemasan ditempah khas oleh Khatijah mengikut ukuran diingininya.

Ditengah- tengah ruang, Khatijah mengaturkan meja makan kayu untuk enam tetamu. Kata Khatijah, “Meja ini asalnya berwarna kayu padu dan segala ira semulajadi dapat dilihat jelas. Kemudian, saya warnakan kepada serba putih agar konsep terbina selari.”

Mata terus tertumpu pada daun pintu yang menutup arah menuju ke ruang atas dan kamar kecil. Daun pintu serba hitam ditatahi butiran gewang mutiara, cukup mempesonakan. “Ironinya, pintu ini sudah lama berada di satu kedai antik yang sering saya kunjungi di Brunei, tapi langsung tidak pernah terpandang. Satu hari, mata terpana sebaik melihatnya dan kedai itu sedang membuat

potongan harga sehingga 50 peratus. Saya terus bayar tanpa berfikir dua kali. Pintu ini sentiasa menjadi bibit perbualan apabila tetamu menjamu makan disini,” kata Khatijah sambil menyatakan asal - usul pintu antik yang didatangkan daripada India.

Ruang tamu yang dibina dengan dinding pemisah menjadi ruang ini cukup intim dan kasual. Dua kerusi berlengan kelabu menemani sofa dua tempat duduk biru jejalur yang baru melalui pemuliharaan fabrik. Meja kopi kaca berkaki keluli menempati di antara ruang dudukduduk yang terbentuk. “Saya sengaja memilih meja kopi jenis kaca telus agar keindahan hamparan permaidani tidak terlindung,” jelas Khatijah. Hamparan permaidani bercorak Aztec pastel dibeli daripada Janine di Kuala Lumpur. Meja solek antik diubah fungsi menjadi meja konsol menghiasi satu pojok di penjuru ruang.

“Kebiasaannya, saya akan pulang ke Kuala Lumpur dua hingga tiga kali setahun bergantung kepada kelapangan waktu. Saya sering menginap di hotel sekitar Bukit Bintang, senang untuk shopping dan makan. Namun, raya saya sambut di Brunei,” cerita Khatijah apabila disoal seberapa kerap pulang ke Kuala Lumpur. Menjengah ke aras atas kediaman yang memayungi tiga kamar beradu dan ruang menonton. Kekal dalam polar dekorasi yang sama, katil bertiang empat kayu padu mendominasi ruang kamar beradu si anak perempuan. Mencipta dimensi berbeza apabila elemen kayu gelap berpadanan biru cobalt dan putih. Kamar beradu cucu perempuan turut mengadaptasi reka bentuk katil yang sama cuma berbeza pilihan material yakni metal dalam warna putih.

Meja kopi hitam material kayu diatur bersama kerusi berlengan dan bangku bermacam ragam buat pembangkit persona sang penghuni. Sambung Khatijah, “Saya sering menghabiskan masa di ruang menonton bersama cucu sambil makan snek, membaca buku kegemaran atau sekadar lepak bertanyakan hari- hari mereka.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.