URBAN TROPIKA

Perabot Bereka Bentuk Moden Dan Nusantara Disatukan Harmoni Dalam Gaya Cukup Minimal Tapi Sarat Estetika Seni. Simetri Lurus, Berdimensi Terbuka Dengan Binaan Panel- Panel Kaca Telus Membentuk Satu Elemen Malar Segar Dalam Reka Bentuk Dalaman Banglo

Glam Deko (Malaysia) - - Kediaman - Teks & Penyelaras NADIA ZOLKIFLI Arahan Seni & Penata gaya AFIQ KHAIRUDIN Gambar PATRICK CHAN

Di atas sebidang tanah di kawasan kejiranan elit di Jerudong, Brunei terbina empat banglo persendirian termasuk rumah induk membentuk sebuah perkampungan keluarga. Banglo milik salah satu anak perempuannya dibina dalam simetri lurus, berdimensi terbuka dengan binaan panel- panel kaca telus untuk cahaya semulajadi menembusi masuk ke setiap ruangruang hidup yang ada. Pemilik tanpa ragu menggunakan khidmat konsultansi dan reka bentuk, Wan Zainal Abidin daripada firma, WaMa Designs. “Sebelum ini, banglo berkeadaan lama dan telah melalui banyak proses pengubahsuaian yang melibatkan penyambungan ruang. Pemilik juga melakukan pengasingan ruang yang ada menjadikan setiap ruang kelihatan lebih kecil dan gelap. Jadi, kami sepakat untuk memusnahkan sebahagian besar dinding dan pembahagi ruang bagi mewujudkan dimensi ruang lebih terbuka memenuhi keperluan seisi penghuni,” cerita Wan Zainal pabila ditanya mengenai sejarah banglo.

DIMENSI TERBUKA Segala yang ada terpamer minimal dan praktikal berpadanan gaya hidup pemilik yang tinggal bersama tiga anak mereka. Dalam satu pelan lantai terbina ruang tamu, ruang sosial, ruang makan dan dapur di aras bawah. Kesemua ruang dibina tanpa sebarang dinding pemisah mencipta dimensi pandangan terus dan terbuka. Binaan pintu gelangsar kaca dan tetingkap bereka bentuk labuh memberi pandangan terus ke taman

landskap, kolam renang dan kebun mini pemilik. Ironinya, pemilik menanam sendiri sayur- sayuran dan buah- buahan di lapangan tanah yang masih berbaki. Mereka turut memiliki rumah hijau khusus untuk melindungi jenis tanaman daripada panahan matahari terik dan serangga perosak. Tanaman jagung, mulberi, pokok pisang, basil, daun pandan dan serai segar menghijau memagari sekitar taman landskap banglo. Petang itu, kami dijamu buah zaitun ( figs) paling manis pernah dirasai yang baru sahaja dipetik daripada laman banglo.

Berhadapan ruang tamu, Wan Zainal membina dapur yang menyatukan fungsi dapur kering dan basah. Kabinet dapur berpulau di tengah ruang berfungsi sebagai ruang memasak dan juga kaunter sarapan. Kabinet direka dalam sentuhan moden, polos dan putih licau. Pelbagai jenis herba dan rempah memasak disusun rapi dalam rak kayu terbuka yang dibina melekap terus ke dinding. Jelas Wan Zainal, “Ruang dapur dan binaan panel kaca bersebelahannya benar- benar memberi impak malar segar kepada keseluruhan banglo ini. Ianya menjadikan ruang lebih terbuka, terang dan moden sama sekali berbeza dengan keadaan asal banglo dan berpadanan gaya hidup moden keluarga ini.”

Kata Wan Zainal lagi, “Saya dan pemilik telah lama mempunyai jalinan persahabatan. Namun, ini tidak mengganggu perjalanan dan etika kerja saya. Ketika projek berlangsung, mereka sekeluarga menetap di Kota Kinabalu. Sebagai klien, mereka melakukan bahagian mereka dengan wajar -

memberikan segala idea, panduan dan rujukan agar projek berjalan mengikut jadual dan menjadi seperti apa yang mereka mahukan.”

Wan Zainal turut menyatakan pemilik hanya terbang ke Brunei sekali atau dua kali sebulan untuk melihat keadaan projek. “Mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada saya dan ini memberikan lebih banyak ruang untuk saya berkarya dan mencurahkan idea berkaitan projek. Teknologi komunikasi seperti panggilan video amat membantu,” sambung Wan Zainal. Banglo ini berjaya disiapkan oleh Wan Zainal dalam tempoh enam bulan sahaja.

Ruang tamu ditata dalam gaya kontemporari minimal dengan sofa berbentuk L yang bergandingan dengan jenis sofa yang sama. Simbahan palet putih gading pada sisi- sisi dinding berbalas gantungan seni antaranya songket perkahwinan penghuni menyuntik elemen sentimental. Hamparan permaidani Parsi tenunan tangan membangkit seri ruang. Ternyata pemilik menggemari perabot bercirikan nusantara yang sarat perincian ukiran menghiasi di pojok- pojok ruang kediaman. Kata Wan Zainal, “Apabila segalanya selesai, saya menyerahkan kediaman ini seperti kanvas kosong. Pemilik membawa masuk sendiri perabot dan aksesori yang telah mereka miliki dan hanya melakukan beberapa padanan baru ketika berpindah.”

Tidak jauh dari kabinet berpulau, set meja makan kayu padu diiringi dua bangku

memanjang mempamerkan gaya serba santai untuk sekeluarga berkumpul menjamu selera. Kiranya, dari sudut pandangan dapur, ruang tamu utama, ruang sosial, ruang makan dan taman landskap luar terbentuk interaksi hubungan mata tanpa sebarang gangguan penghalang.

KONTRAS MALAR SEGAR

Panel- panel kaca telus dilestarikan pada bahagian struktur tangga menuju ke aras atas yang menempatkan kamar- kamar beradu. Struktur tangga dibina terbuka berpaksikan binaan bata sebagai paksi pemegang, tidak menyesakkan mata kerana cahaya berupaya menembusi masuk. Setiap anak tangga dilapisi kepingan kayu padu terus dilestarikan memenuhi terus pelan lantai aras dua banglo.

Bercanggah daripada reka letak perabot kamar beradu seperti kebiasaan, ruang wardrobe dibina di bahagian depan kamar beradu utama. Wardrobe direka dalam keadaan minimalis moden. Panel- panel pintu kabinet dibina polos putih tanpa sebarang pemegang bagi mencapai look yang lebih bersih ( clean) dan moden. Salah satu binaan wardrobe berada di tengah ruang bertindak sebagai dinding pemisah antara ruang wardrobe dan kamar beradu. Di bahagian belakang kabinet, barulah diatur katil dan meja solek.

Menjenguk kamar si anak bujang, Wan Zainal bertindak meletakkan binaan panel kayu di antara ruang katil bersekali rak terbuka agar terbentuk ruang privasi meski mereka berkongsi kamar yang sama.

Binaan panel kaca berangka besi hitam menggantikan fungsi dinding pemisah bagi memberi laluan mudah buat pengcahayaan semulajadi. HALAMAN SEBELAH Almari antik konseol di satu pojok di kamar tamu utama.

Songket di hari perkahwinan dibingkai dan digantung indah membibitkan nilai sentimental penghuni. HALAMAN SEBELAH Ruang sosial menempati meja pool dan almari kayu sarat dihuni aksesori dan barangan kaca kristal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.