FIKRY IBRAHIM

The New Face Of Comedy?

GLAM Lelaki (Malaysia) - - MUKA DEPAN -

Jam hampir dua belas tengah malam. Namun suasana di kafe ini masih gamat biarpun beberapa jam lagi fajar Isnin bakal bertandang, membawa dengannya minggu kerja yang baru.

Fikry Ibrahim, hadir ke temujanji dengan gaya santai cap, kemeja T dan seluar drop-crotch serba hitam, tidak terkecuali daripada tuntutan mencari rezeki. Malah, dia harus ke Sri Pentas seawal lima pagi kelak sebelum ke lapangan terbang untuk dibawa merantau ke Sabah bagi menjalani rakaman selaku pengacara baru Jalan Jalan Makan Angin musim kedua. Drama debutnya pula, Hero Seorang Cinderella, gandingan bersama Fazura dengan hero Malaya generasi baru, Fattah Amin sudah pun tamat siaran 24 episodnya pada Jun yang lalu. Nah. Nampak gayanya, kehadiran Fikry Ibrahim semakin jaleh di mata arus perdana. Dan bayangkan, kurang setahun yang lalu, tiada siapa pun mengenali wajah dan nama bakat mentah ini.

Bagi mereka yang tertanya-tanya siapakah gerangan jejaka yang menghiasi sampul depan GL bulan ini, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, kini 23 tahun, merupakan pemenang tempat ketiga siri realiti Lawak Solo tahun lalu. Namun, belum pun setahun jagung melangkah kaki ke arena hiburan, Fikry dengan pantasnya telah diberi kepercayaan untuk menjadi hos dan pelakon. Selain drama Hero Seorang Cinderella, dia juga telah dipertanggungjawabkan menerajui program hiburan Gema Gegar Vaganza (GGV) selaku pengacara bersama Achey Bocey dan Siti Nordiana. Menerima bukan calang- calang tawaran, boleh disimpulkan, dalam sekelip mata saja Fikry Ibrahim menginjak populariti.

Lihat saja pada statistik. Jika platform media sosial Instagram dijadikan kayu ukur, dalam jangka masa belum genap 12 bulan populariti Fikri mendadak naik dengan drastik. Sebelum menyertai Lawak Solo yang mula bersiaran di penghujung Oktober tahun lalu, bilangan pengikut Fikri cuma sekitar 500 orang. Usai saja peringkat akhir pertandingan stand-up komedi itu, para pengikut Instagram-nya mula mencecah angka 20,000. Pada hujung Mei tahun ini, setelah tamat GGV, angka itu melonjak ke 50,000 pula. Kini, di saat rencana ini ditulis, berikutan lakonannya sebagai juruterbang Noah Farizzam dalam Hero Seorang Cinderella, akaun IG Fikry Ibrahim mencatat lebih 210,000 pengikut. Maksudnya kenaikan 420 kali ganda dalam masa 9 bulan!

Berbekalkan bakat semulajadi dan rupa paras yang kacak, dalam masa begitu singkat sinaran bintang Fikri yang pada awalnya sekadar berkelipkelip kini sudah menyala menghampiri tahap supernova. Uniknya lagi, Fikry bemula daripada kosong. Tiada pengalaman sebagai pelawak

stand-up, tiada latihan sebagai pengacara, dan tiada pengetahuan dalam seni lakonan. Yang ada hanyalah keberanian, kesediaan untuk belajar dan bakat yang dipengaruhi oleh satu- satunya ‘senjata’ dalam genggamannya: gerak hati. TERDETIK UNTUK MENCUBA Sementara menanti fotografer melaraskan

setting kamera, penata gaya menghampiri Fikry Ibrahim untuk memperbetulkan lipatan seluarnya. Fikry yang sedang berdiri di atas sebuah kekaki kayu tiba-tiba bersuara, “Eh, eh, jangan dekat!”

“Kejaplah,” ujar Harry, sambil mencapai kelepet seluar Fikry, “Nak betulkan ni.”

Tersipu- sipu malu, dengan muka tampak bersalah, si pelawak ini membalas, “Sorry lah, bro. Saya baru lepaskan ‘angin’.”

Begitulah suasana sesi fotografi kami. Aksi ‘posing’ diselang- selikan seloroh Fikry yang disampaikan dengan penuh bersahaja. Hei s

naturally funny. Pabila mengenakan baju cetakan flora dan fauna daripada koleksi Burberry Beast, dan dikehendaki melipatkan lengan baju untuk mendedahkan lengannya yang lebat dengan bulu, Fikry bergurau lagi, “Konsep styling hari ni ‘hutan simpanan’, eh?”

Berasal dari Jitra, Kedah, anak sulung daripada empat beradik ini memang meminati komedi sejak kecil lagi. Pendedahannya kepada genre komedi berdasarkan filem-filem jenak adan rancanganrancangan lawak seperti Raja Lawak dan Super Spontan. Namun tidak pernah terlintas di hatinya untuk mencuba kerjaya sebagai seorang komedian. “Setelah mendapat diploma dalam Komunikasi Massa di Melaka, saya melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam Pengiklanan di UiTM Shah Alam,” Fikry bercerita. “Tamat semester keempat, saya bercuti di kampung dan masa itulah ternampak iklan untuk uji bakat Lawak Solo.”

Julung kali dianjurkan, Lawak Solo merupakan pertandingan mencari pelapis baru komedi

stand-up anjuran Astro Warna. Sesi uji bakat dikendalikan serata negara, dan sepuluh peserta terpilih akan dijemput ke siaran langsung bermula Oktober 2016. Seorang peserta akan disingkirkan setiap minggu untuk menentukan empat pelawak yang bakal bersaing di peringkat akhir. Walaupun tidak pernah membuat lawak standup dan tidak pernah pula melihat dirinya sebagai seorang komedian, entah mengapa terdetik di hati Fikry untuk mencuba uji bakat yang dianjurkan di Pulau Pinang. “Saya di Jitra, dan hendak pergi ke Penang lebih kurang dua jam. Tapi dari rumah pakcik saya di Sungai Petani pula, perjalanan ke lokasi audition lebih kurang setengah jam saja. Kebetulan, esoknya memang saya perlu berjumpa pakcik saya tu. Jadi, saya pun pergi, bawa mak saya sekali kerana dia mahu ikut jalan-jalan di Pulau Pinang.”

Akan tetapi, agenda yang dirancang tidak berjalan dengan lancar. “Sebelum sampai ke rumah pakcik, kereta saya ‘jahanam’ dekat Juru!” jelas Fikry, loghat Utaranya pekat. “Saya dah mengamuk dah masa tu, takut lambat ke audition. Jadi rancangan tergendala, terpaksa pergi ‘repair’ kereta. Hilang duit 400-500 ringgit. Permulaan yang tak elok sebab saya jadi tak happy dibuatnya.”

Selesai pembaikian kereta, Fikry dan ibunya pun langsung ke Penang Times Square, lokasi uji bakat. “Biasanya, jambatan (Pulau Pinang) jarang ‘jam’ pada hari Ahad. Tapi hari tu jalan sesak! Terasa macam banyak dugaan saya masa tu,” Fikry menyambung dengan penuh animasi. Akhirnya, tiba di destinasi, Fikry pun mendaftarkan diri dan melalui pusingan pertama. “Material yang saya gunakan masa itu ialah pengalaman makcik saya yang saya olahkan sedikit.” Barisan juri ketika itu terdiri daripada seorang produser Astro, juga pelawak Douglas Lim dan Ebby Yus. “Saya naik pentas, saya nervous – tak tengok juri pun!”

Mujurlah, Fikry terpilih untuk mara ke pusingan kedua. Namun kritikan daripada Douglas mengguris hatinya. “Dia kata, ‘You ada karisma, ada persona, tapi jokes you tiru orang lah...’ Oh, dalam hati saya dah panas dah masa tu, haha. Sebab saya terfikir, mana ada saya tiru orang. Cerita tu original!”

Mereka yang terpilih diminta untuk hadir ke pusingan kedua pada hari seterusnya, tapi Fikry merasakan tidak berbaloi untuk berulang-alik ke Pulau Pinang memandangkan kampungnya jauh. “Saya terfikir bukan senang untuk datang Penang lagi esoknya. Dan ketika itu, saya sudah pun membayar parking dan memandu keluar dengan mak saya.”

Lalu gerak hatinya bersuara. “Saya terdetik untuk patah balik, sebab saya rasa tak puas hati.”

Dengan muka tebal, Fikry berdepan semula dengan panel juri dan langsung membuat stand-up selama lebih kurang setengah jam. Material yang dipetik merupakan antara topik trademark Fikry, yakni berkisar bahasa dan loghat Utara. “Saya rasa lawak saya masa tu sangat bodoh! Agak bangang lah,” akuinya, ketawa. “Saya malu, tapi demi nak buktikan kepada Douglas bahawa lawak saya original, haha.”

Hasil daripada sesi baru itu, nama Fikry Ibrahim dimasukkan terus ke dalam senarai KIV. “KIV pun, KIV lah. Janji saya rasa puas hati saya dah buat apa saya mampu. Jujur saya cakap, kalau saya tak jadi patah balik untuk cuba sekali lagi hari tu, saya tahu saya akan menyesal seumur hidup.”

Ungkapan ‘penantian itu satu penyeksaan’ tepat membayangkan keadaan minda Fikry dalam minggu-minggu berikutnya. “Setiap kali iklan Lawak Solo keluar, saya terfikir, ‘Eh, dapat tak ni ah??’” Akhirnya, Fikry mendapat panggilan menyatakan bahawa dia telah terpilih ke senarai Top 31. Di mana lebih kurang 25 daripada mereka sudah berpengalaman membuat stand- up. Biarpun dibuai rasa antara yakin dan tak yakin, nasib menyebelahinya kerana setelah habis pusingan uji bakat kali itu, Fikry berjaya memasuki Top 10. Cuma tak sangka pula berita gembira itu akan membuatnya terasa buntu.

LAWAK SOLO SATU PEMBELAJARAN

Keputusan untuk meneruskan hasratnya meyertai Lawak Solo bukannya satu keputusan yang mudah. Demi Lawak Solo, Fikry terpaksa mengorbankan

“SAYA DIBERITAHU ARWAH HASBULLAH AWANG PERNAH BERKATA, PERCENT. ITU YANG SAYA PEGANG.”

pengajiannya seketika. “Saya buntu sebab terpaksa tangguhkan study. Dan kalau saya tangguhkan

study, rakan-rakan satu batch dengan saya tidak akan bersama bila saya sambung semula pengajian nanti.” Resah, Fikry meminta nasihat daripada ibu dan sahabatnya, yang rata-rata memberitahu betapa ramainya orang lain yang mengharap untuk memasuki Lawak Solo tetapi gagal. Peluang sebegini tak mudah jatuh ke riba. Akhirnya, Fikry pun akur dengan pengorbanan yang harus dibuatnya. “Sebenarnya, saya tak minat sangat nak

study. Saya jenis yang lebih suka berniaga. Tapi disebabkan tiga adik di bawah saya, kalau saya tak habis belajar, kemungkinan besar nanti mereka pun terikut-ikut.” Yang menariknya, biarpun Fikry berhenti daripada pengajian ijazah sarjana mudanya, pengalamannya di Lawak Solo pula ibarat satu kursus istimewa untuk belajar subjek baru: komedi stand-up. “Hajat saya untuk sampai ke final, tapi bila tengok pesertapeserta lain, nervous- lah juga,” akui Fikry. “Jadi,

first day sebelum naik stage, saya hisap rokok di belakang tak terkira! Pegang mic pun tergetargetar. Kalau penonton tak gelak, rasa macam nak je tumbuk orang, haha. Tapi bila kita buat lawak dan orang gelak, itu sememangnya satu kepuasan. Boleh tidur lena malam tu.”

Fikry sedar bahawa dia tidak berpengalaman berbanding majoriti peserta yang sudah menjadikan komedi stand-up periuk nasi mereka. “Tiap-tiap minggu saya kena marah, dan saya pun faham kenapa. Orang lain dah siap material, saya masih terfikir apa saya nak buat... Saya memang dikritik teruk dan saya pun faham sebab saya tak tahu bagaimana nak ‘create story’ untuk stand-up.”

Sikit demi sedikit, Fikry mula mempelajari perihal stand-up daripada barisan mentor dan peserta lain. “Saya belajar bahawa komedi stand

up ni punyai Rule of Three: kemukakan idea, perkukuhkan idea, selepas tu adakan ‘twist’. Tapi setiap komedian ada teknik dan cara berbeza. Jadi saya belajar daripada mereka semua. Saya juga banyak belajar melalui YouTube, perhatikan apa yang orang buat salah.”

Akhirnya, selepas 8 minggu bertarung, Fikry berjaya mendapat tempat ketiga. “Bila masuk ke

final, saya tak jangka dapat nombor tiga, ingatkan nombor empat. Jadi itu pun, alhamdulillah.” Peserta daripada Pulau Pinang, Danial Mohd. Zaini, dinobatkan juara Lawak Solo musim pertama. “Saya memang menjangkakan dia akan menang. Cuma saya frust kerana result saya dengan tempat kedua hanya lari satu peratus! Jadi, saya balik kepada Allah – itu yang Dia tentukan, saya terimalah. Tapi nak terima masa awal-awal tu, berat juga. Terasa ‘down’ sekejap, senyum fake atas stage... haha.” REDHA PADA REALITI Berbekalkan kejayaannya di Lawak Solo, Fikry bertanggapan rezekinya akan bertambah murah. Biar berbaloi menangguhkan pengajian. Malangnya, 3- 4 bulan setelah tamatnya Lawak Solo, tiada tawaran pun datang bertandang. “Yang saya dapat

job kecil-kecil, misalnya untuk acara kenduri, bayaran RM300. Saya terima saja untuk ambil pengalaman dan belajar.”

Pasrah dengan realiti yang tidak dijangka itu, Fikry pun mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman. “Saya give up. Tiada rezeki, saya pun rasa tak redha dengan keadaan dan tertanya-tanya, kenapa saya tak dapat apa- apa

job? Busuk-busuk pun dapat nombor tiga kut? Haha.”

Namun, lama-kelamaan, Fikry pun redha dengan situasinya. Mungkinkah itu satu pengajaran yang harus dia pelajari sebelum rezeki datang bergolek? Kerana seminggu setelah pulang ke Kedah, Fikry dijemput hadir uji bakat untuk Jalan Jalan Makan Angin, Gema Gegar Vaganza dan berlakon drama. Bagaikan peristiwa lama berulang kembali, Fikry mulai rasa gementar semula pabila melihat namanama yang sudah established turut menghadiri sesi uji bakat yang sama. Tapi alhamdulillah, dia berjaya mendapat tawaran daripada kesemua uji bakat itu. Fikry sudah boleh mula bekerja!

“Tapi minggu pertama untuk Jalan Jalan Makan Angin, ‘jahanam’ juga lah, haha,” Fikry berkongsi jujur. “Sebab saya belum tahu pengacaraan yang betul. Tapi itu okey lagi sebab kami boleh mengambil beberapa ‘take’. Untuk Gema Gegar Vaganza pula, minggu pertama pun ‘ jahanam’ sebab kali ni bukannya boleh ambil beberapa ‘take’ pun! Misalnya, ada perkataan saya salah sebut, memang kena kritik. Tapi saya terima sebab memang kesalahan saya.”

Dalam menceburi dunia pengacaraan, Fikry teringat pada nasihat yang pernah dikongsi bersama oleh salah seorang tenaga pengajarnya sewaktu mengaji dulu. “Saya diberitahu arwah Hasbullah Awang pernah berkata, ‘ Talent is 15

percent. Selebihnya ialah kerja keras.’ Itu yang saya pegang. Harapan saya untuk GGV agar saya boleh sama tahap dengan Siti Nordiana dan Achey. Jadi, saya belajar.”

Pengalaman berlakon drama pun tidak kurang mencabarnya. “Sebagai penonton, bila kita tengok orang berlakon tak bagus, kita sembang besar, kata dia ni kayulah, kakulah... Tapi bila kita sendiri cuba berlakon, baru kita tau kita pun kayu macam mana!” Fikry berseloroh, loghatnya menebal. “Untuk Hero Mr. Cinderella, saya diberitahu ‘character you pilot, you baik dengan mak you, you happy-go-lucky.’ Itu saja. Saya tak diberitahu watak saya tu orang KL ke, orang Kedah ke. Jadi bila mereka cakap ‘happy- golucky’, saya pun guna dialek Kedah. Memanglah kena maki lepas tu, haha!”

Seolah- olah cerminan pengalaman-pengalaman yang sebelumnya, Fikry berpeluang belajar daripada rakan-rakan sekeliling yakni para pelakon dan kru yang sedia memberi nasihat kepadanya. “Mungkin rezeki saya macam itu,” Fikry berfikir. “Bukan pada duit tapi pada orang yang sanggup mengajar, tak sombong. Itu membuat saya rasa bersyukur sangat.” Kini, berbekalkan apa yang dia pelajari, Fikry mula rasa seronok untuk berlakon.

“Saya ambik Nabil (Ahmad) sebagai contoh. Dia pelawak dan pengacara. Kalau boleh, saya ingin mengacara dan berlakon. Sebab keduaduanya boleh inject humour. Lagipun, sekarang banyak tawaran yang saya terima ke arah keduadua itu. Offer melawak bukan tiada, tapi kurang.” Bercakap mengenai projek-projek baru, Fikry akan mengacara 10 episod Jalan Jalan Makan Angin musim kedua yang akan disiarkan di TV3 bulan ini. Dan lanjutan daripada kemampuannya sebagai pelakon pembantu dalam Hero Mr. Cinderella, Fikry Ibrahim telah diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama pula dalam drama Kerana Syurga Bukan Percuma, adaptasi novel tulisan Najmi Fetih, yang akan disiarkan di Astro Oasis Oktober depan. Selain itu, Fikry juga bakal berkongsi komedinya melalui Super Spontan yang akan datang. ANTARA BAKAT DAN RUPA Fikry sedar betapa pantasnya kerjaya seninya berkembang sekarang. Mana tidaknya. Sesetengah pelakon perlu mengumpul pengalaman beberapa tahun dahulu sebelum diberi peluang untuk memegang watak utama dalam sesebuah drama. Ada juga yang terpaksa menjadi ‘Pak Pacak’ di awal pembabitan mereka dalam dunia lakonan sebelum boleh dipertanggungjawabkan dengan sebaris dialog.

Namun ‘budak mentah’ ini baru berlakon satu drama, sudah pun ditawarkan watak utama dalam drama kedua. “Saya tahu bukan senang untuk memikul peranan sebagai pelakon utama. Ia susah. Tapi saya rasa, sesuatu itu kalau kita nak senang, memang kena susah- susah dulu. Dan saya sedar kini saya murah rezeki – saya bersyukur kat situ. Tapi dalam sudut lain, saya juga risau kalau cepat naik, cepat pula jatuh. Takut nanti orang cepat jemu. Buat masa sekarang, peluang yang ada, saya ambil.”

Apa pula komen Fikry berkaitan sesetengah pihak yang mengatakan Fikry banyak menerima tawaran disebabkan oleh rupa yang tampan? “Jujurnya, saya rasa rupa saya biasa saja. Ramai lagi yang handsome. Mungkin sebab saya berjambang, muka macam pak Arab sikit… haha. Rupa ini saya rasa, sebagaimana kita lahir dalam keluarga kaya, ia adalah satu bonus. Tapi kalau kita lahir dalam keluarga kaya dan tak reti nak uruskan harta, ‘jahanam’ juga. Betul tak?”

“Lagipun, muka ni lama-lama orang jemu. Dari psikologinya, orang handsome, bila orang tengok dia buat benda terhegeh-hegeh, orang tak suka. Orang menyampah! Kalau dia muka biasa, orang boleh terima. Macam mana pun saya buat di atas stage tu, ada hari tak jadi juga, handsome ke tak handsome. Jadi semua ni lebih kepada talent, kerja

keras. Tiada substance, tak guna juga.” GL

Teks & Penyelaras: Abdul Aziz Draim Penata Gaya: Zuhairie Sahrom Arahan Seni: Zulkifli Sulaiman & Ainuddin Fikry Gambar: Edmund Lee Grooming & Rambut: Syed Faizal Syed Noh Pakaian: Burberry dan Salvatore Ferragamo Musim Luruh Sejuk 2017

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.