Citra Berprestij Dunia

Dijulang di lapangan Baselworld 2017, siri Octo Finissimo Automatic berjaya memperkukuhkan kearifan inovasi Bulgari dengan merangkul rekod ketiganya selepas karya terdahulu yakni Tourbillon dan Minute Repeater

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - GL

Jenama rumah ilham jauhari serta pembikin arloji asal Itali ini sekali lagi menjadi tumpuan dunia. Berbesar hati mempersembahkan citranya yang terus menjulang rekod dunia buat kesekian kalinya mengikuti jejak perkenalan siri Tourbillon pada 2014 dan seterusnya Minute Repeater tahun lalu. Rumah arloji ini membingkis karya terbarunya, Octo Finissimo Automatic yang hanya berketebalan 5.15mm. Bukan saja memperlihatkan susuk rekaan yang mengagumkan, bahkan para pembikin arlojinya gigih memperkasakan mekanisme yang dibaluti jam tangan berdiameter 40mm ini. Di mana nadi yang berpaksikan pergerakan automatik ini hanya mengambil 2.23mm daripada ruang keseluruhannya. Maka, ia adalah jam yang ternipis, mungkin lebih sesuai ditakrifkan sebagai ‘ultra-tipis’ yang ada di pasaran. Garapan ikonik Octo ini terus menolak sempadan kemusykilan pembikinan seutas jam tangan buatan Swiss.

Finissimo, itu sendiri membiaskan erti janji juga mimpi. Kenipisannya yang melampau adalah komplikasi arloji itu sendiri. Memperkecilkan mekanikal yang merancakkan nadi pergerakan bukanlah mudah. Setiap komponen yang berdamping mengutuhkan karya ini difahami lebih lanjut serta direka terperinci bagi melengkapkan rekaan luar biasa ini. Lantaran itu, ia bukan saja melibatkan komponen dalamannya. Bahkan material pembuatan case serta perincian laman dail diambil kira. Maka, bagi menjamin keterbacaan yang jelas, efek kontras diterapkan pada jarum serta penanda masa yang bersadur rawatan PVD. Bertitik tolak daripada itu, Bulgari turut sama mempersembahkan beberapa himpunan lain bagi mengiringi karya hebat ini dengan himpunan Octo Tourbillon Sapphire, Octo Roma dan Octo Ultranero.

Nukilan berprestij Octo, dari kiri Tourbillion, Minute Repeater & Finissimo Automatic

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.