Menjadi Khalifah Keluarga

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI - Oleh: Hafiz Hood GL

Lumrah hidup semua yang dicipta ada regunya. Malam regu siang, laut regu darat, langit regu bumi, uda regunya dara, lelaki regunya wanita. Maka ikatan antara lelaki dan wanita, pada paksi dan janjinya diakhiri dengan citrawarna alam perkahwinan dan berumahtangga. Ya, alam rumahtangga adalah imaginasi setiap pasangan bercinta – dan impian ini perlu menjadi realiti lantaran kitaran kehidupan, keperluan fitrah azali, ketetapan agama, tak kurang juga ada yang mencari jodoh kerana tekanan dogma masyarakat sekeliling mereka.

Namun acapkali pasangan yang bercinta terlupa bahawa ikatan perkahwinan tidak boleh mandiri dengan sekadar rasa cinta. Kerana rasa cinta tidak boleh membeli sekampit beras untuk diberi makan ahli keluarga mahupun tidak sekali boleh memberi teduh keluarga dari angkasa kelabu. Fitrah perkahwinan memang indah, namun perkahwinan juga menuntut sang lelaki menjadi khalifah. Dan tugas sebagai khalifah lahir dengan tanggungjawab yang tidak mudah.

Fakta yang perlu dihadam oleh masyarakat dan negara adalah statistik perceraian di Malaysia tidak menggambarkan indahnya alam rumahtangga. Pada 2012 sebanyak 29,253 pasangan mendaftar untuk bercerai, manakala pada 2013 pula sebanyak 29,583 pasangan dan angka tersebut terus meningkat kepada 33,842 pasangan pada 2014. Kajian oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat punca yang dikenal pasti membawa kepada perceraian pasangan muda adalah tiada persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus) dan isteri curang (11.8 peratus). Bukan niat menghakimi atau mempersoalkan takdir malahan paksi rukun Iman untuk percaya pada qada’ dan qadar masih diyakini. Tetapi punca ini perlu dibedah supaya pasangan bakal pengantin lebih mengerti – bahawa perkahwinan bukan hanya kisah dongeng Hero Seorang Cinderella yang berakhir dengan bahagia semata, namun untuk bahagia liku yang dilalui jalannya tak rata, halangannya berbeza.

Tertancap perhatian pada statistik punca perceraian pasangan muda – didominasi oleh faktor persefahaman dan suami yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya semua kembali kepada khalifah yang mengemudi nakhoda. Kalau berjaya merentas beduk lautan gelora, maka bahagia adalah akhirnya. Fahamkah sang lelaki konsep tanggungjawab sebelum melangkah ke alam rumahtangga?

Islam dan agama lain yang menjadi kepercayaan serta panduan hidup mana-mana insan bergelar lelaki sering mengingatkan tanggungjawab yang perlu dipikul olehnya selepas memasuki alam perkahwinan bukan omong kosong. Tetapi memang perlu diteliti. Pertama, tanggungjawab dari segi ekonomi. Keperluan asas perlu dijaga rapi, menanggung isteri dan anak bukan semudah petik jari. Nafsu untuk bersuka ria wajar dikawal seketatnya – sebelum atau selepas berumahtangga. Hakikatnya ramai kalangan lelaki yang acah-acah cool cuba untuk berkahwin muda dengan majlis yang gilang-gemilang akhirnya tersungkur dengan bebanan hutang sepanjang perkahwinan. Persandingan yang meriah bukan jaminan perkahwinan # tilljannah! Malahan pernah dilaporkan di Mahkamah Syariah bahawa ada kes perceraian yang berlaku hanya kerana ada lelaki menjadi suami / bapa tidak mampu menyediakan keperluan asas untuk ahli keluarga kerana masih bergelut menyelesaikan hutang majlis perkahwinan walaupun selepas 3 tahun. Adakah wajar perkara sebegini berlaku? Maka sang lelaki yang ingin mengemudi keluarga perlu bertanggungjawab dan memiliki kerjaya yang stabil serta berpendapatan tetap untuk mengawal ekonomi keluarga.

Kedua, tanggungjawab menyayangi sepenuh hati dari segi emosi dan spiritual. Suami perlu mengemudi isteri untuk saling menyayangi, dan bapa perlu membimbing anakanak dalam berhemah dan bertoleransi. Jaga hubungan kasih sayang sesama pasangan, dan jaga hubungan dengan Tuhan. Yang paling penting, suami perlu mengelakkan sikap panas baran dalam hubungan! Dalam Surah an-Nisa, ayat ke19 juga Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu bencikan mereka, kerana mungkin kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” Maka ketetapan untuk menggauli dan menyayangi isteri dengan cara yang baik ini adalah

divine order dan menjadi kewajipan buat para lelaki.

Ketiga, tanggungjawab mendidik diri sendiri dan keluarga – ini adalah bebanan tugas paling berat yang perlu dipikul seorang khalifah dalam keluarga. Ilmu, tumbesaran, kesedaran sivik dan common sense seseorang individu bermula daripada institusi rumah. Suamilah yang sewajarnya memberi penerapan nilai agama dan kepentingan mengangkat maruah keluarga sebagai satu konsep yang perlu difahami anak dan isteri. Lelaki perlu faham dan berasimilasi dengan konsep tanggungjawab mendidik keluarga adalah asas kepada kebahagiaan rumahtangga.

Tuntasnya, menjadi khalifah dalam keluarga bukan mudah. Tanggungjawab yang dipikul sang lelaki merangkumi tugas memastikan kemandirian ibadah dan kebahagiaan melalui metodologi sendiri. Tiada keluarga yang bahagia bila lelaki tidak bertanggungjawab. Sama seperti tiada negara yang tidak porak-poranda bila dipimpin pemimpin yang leka meranapkan amanah yang diberi. Begitulah ibaratnya tugas seorang khalifah. Kalau sang lelaki sudah bersedia, silakan mula mengemudi nakhoda rumahtangga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.