Typical Malaysian

Menuju kemerdekaan negara yang ke- 60, masih ramai diantara kita yang tersepit dengan pemikiran dan kelakuan dalam takuk lama. Walhal, kemajuan dalam dekad ini sepatutnya telah mengubah perilaku masyarakat kita. Berikut merupakan sikap tak prihatin orang

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI -

Saya hairan dengan sikap orangorang kita. Pergi melancong beria-ria, namun setelah pulang ke Malaysia masih mengamalkan sikap yang sama.

Seingat saya jikalau 25 tahun dahulu, boleh kira berapa je anak-anak Melayu yang pernah menaiki kapal terbang. Tetapi, hari ini tak tahulah apa tujuan sebenar orang sekarang pergi melancong. Sekadar nak tangkap gambar-gambar Instagram atau mengeksplorasi tempat orang. Kalau berdasarkan penilaian saya, kebanyakannya tu nak ‘show off’. Berbanding yang mahu pergi merehatkan minda atau menambah pengetahuan.

Tetapi tak kisahlah tujuannya nak ‘show off’ ke apa, yang saya harapkan, cuba belajarlah satu dua perkara baru. Sebab apa, melancong ni merupakan salah satu cara terbaik untuk memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti hidup. Bukan sekadar nak berhibur semata-mata.

Bagi saya yang jarang ke luar negara, sedikit sebanyak pengalaman pengembaraan saya ke tempat orang telah membuka mata saya. Sikap dan cara pembawaan diri orang asing amat saya kagumi. Tambahan pula, sejak usia kanak-kanak lagi, ibu dan bapa saya selalu menasihati saya agar mencontohi sikap orang asing. Baik daripada cara mereka bergaya, melunaskan cita- cita sehinggalah cara mereka memacu kehidupan. Ingat lagi pesan arwah ayah saya, “Cubalah jadi seperti orang- orang mat salleh, kat mana-mana pun mereka boleh duduk dan membaca buku. Pantang ada masa terluang, membaca buku je lah mereka.”

Saya akui, sikap gemar membaca memang teladan orang asing yang patut orang kita khasnya contohi. Membaca buku seperti novel antara hobi masa lapang mereka. Bukan itu sahaja, banyak lagi sikap- sikap orang asing yang selalu saya rujuk sejak dahulu lagi. Saya percaya bahawa tidak kira apa warna kulit atau bahasa pertuturan, terdapat nilai-nilai sejagat yang kita berkongsi bersama dan menyatukan kita.

TAK MENGHORMATI PEJALAN KAKI

Walaupun berpuluh tahun kita mengecapi kemerdekaan, sehingga ke hari ini kita masih mendengar isu konflik perpaduan dan api perkauman; daripada kegagalan menguasi bahasa kebangsaan hinggalah bergaduh kerana isu tak masuk akal. Namun, apa yang saya perasan, budaya pemanduan masyarakat kita sememangnya bersatu padu berbilang kaum dalam memandu dengan begitu teruk sekali. Pemandu prihatin dan tidak mementingkan diri sendiri boleh dikira dengan jari.

Tahun lepas, saya berkesempatan melancong ke Paris dan apa yang saya dapati ialah golongan pemandu di sana begitu prihatian sekali. Ternampak sahaja, pelintas jalan raya, pemandu akan berhenti segera dan memberi laluan buat pelintas untuk melintas jalan raya dengan selamat.

Tak kira sesibuk mana sekali pun lalu lintas ketika itu. Sedang saya tergesa menuju ke sesuatu tempat, tanpa melihat kiri dan kanan jalan, saya langsung melintas. Dan pabila berada di tengah jalan raya barulah saya tersedar bahawa saya tidak sepatutnya melintas jalan raya sebentar tadi.

Namun, beberapa pemandu kereta menghentikan kereta mereka dan memberikan laluan kepada saya untuk melintas. Mereka bertindak mendahulukan pengguna lain. Mereka tidak sama sekali mementingkan diri sendiri. Jujurnya, saya respek dan kagum dengan keprihatinan mereka. Kita perlu sedar, pejalan kaki juga adalah dikategorikan sebagai ‘Pengguna Jalan Raya’ dan berhak untuk menggunakan jalan raya dengan selamat.

Jika nak dibandingkan dengan sikap pemandu di Malaysia, memang tidak akan bersikap sedemikian. Jarang sekali menyaksikan pemandu yang akan berhenti dan memberikan laluan. Kesemuanya kalau boleh nak langgar saya sampai mati. Mereka

memandu laju bagai dikejar pelesit.

Luahan ini mungkin nampak remeh bagi segelintir individu. Remeh atau tidak, kematian dan kecacatan akibat kemalangan itu bukan spekulasi atau persepsi. Ia merupakan kebenaran, fakta dan kenyataan: mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), seramai 530 pejalan kaki terkorban dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2012.

Kematian akibat kemalangan jalan raya ternyata semakin meningkat. Ini tidak termasuk yang cacat seumur hidup, trauma atau tercedera yang saya kira pasti jumlahnya lebih tinggi. Akan tetapi masih ramai yang gagal memahami kepentingan untuk memandu dengan lebih berhemah apabila berhadapan dengan pengguna jalan raya. Sikap tak wajar ini telah membentuk personaliti orang kita, lantas mencipta persepsi negatif kepada orang luar.

TAK KEMAS MEJA MAKAN

Ini satu lagi sikap kebanyakan orang Malaysia yang saya kurang faham. Sudahlah makan bersepah, air minuman tertumpah sana sini, selepas itu tidak dibersihkan pula. Sisa makanan dan minuman juga plastik makanan dibiarkan bertaburan di atas meja. Dengan harapan ada orang suruhan yang akan mengemaskannya.

Memanglah ia sudah menjadi sebahagian daripada tugas pekerja restoran untuk mengemaskannya, tetapi apalah salahnya anda sebagai individu yang prihatin buanglah sisa makanan tersebut sendiri? Susah sangat ke?

Berdasarkan pemerhatian rambang saya, kala menjamu selera di rangkaian restoran makanan segera di luar negara, kebanyakannya pengunjung akan mengemas dan membuang sisa makanan sendiri ke dalam tong sampah. Dan dulang makanan akan diletakkan di tempat yang telah disediakan. Pada saya, sikap ini merupakan tanggungjawab kita bersama. Tak perlu disuruh atau diarahkan oleh sesiapa.

Saban hari, saya kesan ada perubahan sikap, di mana terdapat orang kita yang mula mengamalkan sikap mengemaskan sisa makanan sendiri. Seperti yang kelihatan di McDonald’s, KFC dan sebagainya. Cumanya, ia masih belum menjadi ikutan dan kurang mempengaruhi terhadap orang sekeliling. Sikap ini mungkin nampak ringan, namun besar impaknya. Ia merupakan suatu tanggungjawab untuk membersihkan persekitaran setempat dan bagaimana anda menguruskan rezeki asasi. Ia menunjukkan sejauh mana kita bersyukur dengan kurniaan nikmat. Sebagai tanda kesyukuran, kemaslah tempat makan seperti mana ia telah disediakan buat anda. In the end, we just want our society to be more responsible.

PENGGUNAAN ESKALATOR

Malaysia, satu-satunya negara yang saya sedari begitu ‘tenang’ sekali kala menggunakan perkhidmatan eskalator. Sebab apa, kebanyakannya yang menggunakan eskalator di Malaysia really taking their own sweet time. As if nothing’s happening. Misalnya, pengguna eskalator yang bersama kawan atau sesiapa sahaja, akan berdiri di kedua- dua bahagian. Ruang bahagian kiri dan kanan akan dipenuhi sehingga membuatkan individu yang ingin berjalan cepat tak dapat melaluinya. Tiada ruang mencukupi buat pengguna ingin berlalu.

Kala kembara saya ke Tokyo, suatu pemandangan unik saya saksikan. Masyarakat Tokyo menggunakan eskalator berjajar rapi memanjang ke bawah di sebelah kiri sedangkan bahagian kanan dibiarkan kosong sahaja. Padahal tidak ada penjaga stesen di situ yang mengatur dan menjaga etika menggunakan escalator. Semua pengguna seperti sudah mengerti dan memahami etika ini. Penduduk Singapura pun terkenal dengan gaya hidup seperti ini. Orang kita sahaja tak belajar-belajar lagi.

Situasi ini sama dengan penumpang kereta api KTM dan LRT di Malaysia. Walaupun terdapat garisan yang berfungsi sebagai petanda memberi ruang bagi penumpang hendak keluar, orang- orang kita tetap berebut nak masuk. Kesalnya, masyarakat kita tak berupaya mematuhi etika tersebut. Kerana seringnya terlihat penumpang yang mahu keluar tak sempat turun di destinasi mereka disebabkan kesesakan yang tercetus. Akibat tidak beratur dan mengendahkan tertib, kesesakan tersebut boleh menyebabkan pelbagai situasi tak diingini berlaku.

USAH PANDANG RINGAN

Masyarakat maju ialah masyarakat berdisiplin dari serba- serbi terutamanya cara pemikiran dan tingkahlaku. Adakah rakyat kita sudah bersedia untuk mengubah sikap daripada masyarakat yang kurang disiplin kepada masyarakat yang berdisiplin? Kalau tak bersedia, tidak usahlah mengganggap diri atau masyarakat atau negara sebagai moden atau sudah merdeka jika nilainilai murni yang sepatutnya diamalkan tidak diamalkan. Walau bagaimanapun, saya harapkan masyarakat kita akan sedar akan kepentingan tertib juga sikap prihatin sesama manusia suatu hari nanti. Selamat menyambut Hari Merdeka!

Kemerdekaan Malaysia & Budaya Pop Bahtera merdeka ciptaan oleh Allahyarham Kassim Masdor Persembahan Datuk Siti Nurhaliza Iklan merdeka 2007 Petronas Baju bendera Allahyarham Sudirman

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.