Jalil Hamid

Teks, Penyelaras, Penata Gaya & Arahan Seni: Johan Kassim Grooming: May Ng/my Make Up & Academy Gambar: Jason Lee Pakaian: COS Musim Luruh/Sejuk 2017

GLAM Lelaki (Malaysia) - - DALAM ISU INI -

Keberadaannya suatu ketika dahulu bagaikan satu nama wajib dalam isi rumah yang mendambakan hilaian ketawa menerusi aksi lawaknya. Aksinya tidak pernah suram biarpun sudah puluhan tahun mengabadikan diri dalam dunia seni tanah air. Artis pelbagai bakat, Jalil Hamid yang sinonim dengan gelaran komedian tidak pernah putus menabur budi, bakat dan bakti dalam arena seni demi memenuhi jiwa kental seninya. What a legend!

Bertemu Jalil Hamid, 60 tahun akhirnya tertunai. Jikalau disebut siapa komedian berpengaruh di Malaysia, nama Jalil Hamid tentunya tersenarai. Saya sifatkan Jalil Hamid bukan sekadar pelawak biasa yang kita selalu tonton di televisyen, he is a legendary actor. Karya dan keberadaannya sentiasa disanjung tinggi. Kemunculannya di mana-mana acara menerbitkan rasa teruja dan mengagumkan sesiapa sahaja yang berjumpanya. Bagi saya yang mengikuti kronologi kerjaya seni Jalil Hamid, mengagumi perjuangan seninya yang tidak pernah pudar.

Sehinggalah detik ini, Jalil Hamid masih berusaha memperjuangkan legasi seni tempatan dengan melibatkan diri dalam pelbagai cereka juga kerja-kerja seni penuh manfaat. Filem ikonik Queen Control (1992), Baginda (1997) dan Lelaki Harapan Dunia (2015) antara yang pernah dibintanginya.

AKTIVIS TEATER

Kata Jalil Hamid, minatnya yang mendalam terhadap bidang seni merupakan pacuan utama dia masih giat aktif berlakon. Jiwa seninya teramat kental. Dan tiada apa pun yang mampu memadam keghairahannya bergelar anak seni.

“Saya meminati bidang seni dan gemar segalanya tentang perkembangan budaya. Keindahan sesuatu budaya itu sendiri saya suka mengamatinya. Sebab itulah, saya masih aktif dalam arus perkembangan masyarakat dengan melibatkan diri dalam pelbagai kerja seni, tidak kira di bidang apa sekalipun. Matlamat saya ialah untuk membantu golongan yang keciciran bertujuan mencari bakat muda terdiri daripada kalangan anak tanah perancangan berkenaan menyertai industri seni tempatan. Melalui Ikatan Seni Komuniti FELDA (ISKAF), ia memberi galakan kepada anak-anak FELDA ini sehingga mereka mampu menghasilkan produk sendiri, seperti filem pendek,” ujarnya.

Jalil Hamid merupakan anak FELDA yang dilahirkan di Masai, Johor. Persekitarannya sewaktu membesar banyak dipengaruhi gaya hidup masyarakat Singapura pada waktu itu. Kerana lokasi asalnya berhampiran kota Singapura dan akibat itu dia berpeluang berkunjung ke sana sebanyak beberapa kali.

Beritahunya, “Tempat tinggal saya berdepan kota Singapura yang terletak di persisiran Selat Tebrau. Oleh itu, ia memberi saya kesempatan untuk kerap melawat Singapura. Secara tak langsung ia membentuk pemikiran dan gaya fesyen saya.”

Mendengar kisah remaja Jalil Hamid, ternyata minat dalam bidang seni telah lama tertanam. Kehadiran aktivisaktivis teater lokal pada ketika itu banyak merangsang minatnya terhadap lapangan seni lakon.

“Kawasan tempat saya membesar yakni Felda Cahaya Baru dikira terpencil. Tak banyak hiburan dan program menyeronokkan diadakan di sini. Tetapi, saya dan kawankawan mengadakan persembahan muzik di situ dengan alasan untuk menghiburkan orang kampung juga atas dasar minat kami dalam muzik. Menghabiskan masa lapang dengan menonton wayang padang yang menayangkan filem-filem Hindustan, koboi, filem Tamil dan sebagainya. Melalui itulah, saya banyak terdedah dengan dunia seni antarabangsa pula.”

“Dalam pada masa yang sama, terdapat aktivis teater seperti kumpulan Bangsawan dan Sandiwara yang menjelajah ke serata negeri termasuklah tempat tinggal saya bertujuan untuk mempersembahkan karya mereka. Kebetulan di FELDA, terdapat pentas bergerak yang pernah menampilkan pelakon teater seperti Ahmad Yatim, Zami Ismail, A.R Badul, Rahim Omar dan ramai lagi. Kala mereka mempersembahkan teater, ia telah memupuk minat saya dalam bidang teater pula. Entah bagaimana, saya terhibur menyaksikan setiap persembahan mereka. Bermulalah dari situ, saya diberi peluang untuk menyertai bengkel berlakon anjuran Jabatan Kesenian Johor dan sebagainya. Melalui itu saya banyak menimba pengetahuan tentang selok-belok lapangan teater.”

TRANSFORMASI SEBAGAI KOMEDIAN

Sedang giat mengembangkan bakatnya, namun Jalil Hamid mengakui dia turut mendapat tentangan ibu dan bapanya. Kehidupan keluarga yang mendesak juga sumber pendapatan keluarga yang ala kadar telah menyebabkan kerjaya seni Jalil Hamid kurang mendapat sokongan ibu dan bapanya.

“Mereka belum nampak hasil pekerjaan saya. Mereka bimbang kerjaya saya sebagai anak seni tidak mampu untuk menampung makan minum sekeluarga. Iyalah, pendapatan ketika itu memang tak cukup untuk setiap ahli keluarga.”

Setelah beberapa tahun kemudian, bakat berlakon teater Jalil Hamid mula meraih perhatian ramai dan pernah diberi pengiktirafan sewajarnya. Menurut Jalil Hamid, watak utama yang dipegangnya menerusi teater Wak Cantuk yang popular suatu ketika dahulu telah membuktikan kewujudannya dalam bidang seni teater.

“Sejak kemenangan saya sebagai pelakon terbaik (menerusi Wak Cantuk), orang teater mula mengenali saya. Nama saya menjadi sebutan di kalangan aktivisaktivis teater ketika itu.”

“Pabila nama saya mula dikenali, saya dipanggil oleh Rahim Razali untuk menghadiri sesi uji bakat persembahan teater Uda dan Dara untuk watak Alang Bakhil. Saya memang tak jangka akan menerima panggilan tersebut. Pementasan teater Uda dan Dara menampilkan namanama besar pelakon teater ketika itu. Misalnya, Eman Manan dan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar.”

“Kata Rahim Razali pula karakter Alang Bakhil memang karakter saya. Sejak daripada itu, saya mula aktif berlakon

“SEJAK KEMENANGAN SAYA SEBAGAI PELAKON TERBAIK (MENERUSI WAK CANTUK), ORANG TEATER MULA MENGENALI SAYA. NAMA SAYA MENJADI SEBUTAN DI KALANGAN AKTIVIS- AKTIVIS TEATER KETIKA ITU.”

teater ke pentas yang lebih besar dan pada masa sama mengadakan persembahan teater lain tanpa henti di pelbagai lokasi termasuklah Dewan Bahasa.”

Melangkah ke era ’90-an, Jalil Hamid menawan penonton dengan lakonan santainya dalam sitkom komedi 2+1. Sitkom 2+1 mencetus fenomena tersendiri sehingga beratus-ratus episod pernah diterbitkan. Selainnya, Raja Ema, Imuda, Susan Lankaster, Jaafar Onn dan Ahmad Busu turut berlakon. Bukan sitkom 2+1 sahaja mendapat rating tinggi, malah beberapa sitkom lain yang turut mewarnai dunia penonton sepanjang era ’90-an. Sitkom Gado Gado antara hasil kerjanya yang lain berupaya mengumpul bilangan peminat tertentu.

“Sementara itu, populariti saya sebagai komedian mula memuncak pada awal ’90-an dan melayakkan saya untuk menyandang gelaran Pelakon Komedi Popular 1992 anjuran Berita Harian. Orang ramai pula mula memandang serius kerjaya saya sebagai anak seni. Sungguh tak jangka,” luah peminat A. R. Tompel ini.

Transisi Jalil Hamid sebagai komedian bukan senang. Katanya, dia terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebagai pelawak pula.

Berikutan populariti yang dikecapi Jalil Hamid menjurus sebagai pelawak, dia mengambil langkah baru dengan menghasilkan album genre komedi yang memuatkan single Ayam. Katanya, komposer Azmeer merupakan individu penting di sebalik penghasilan lagu Ayam, lantas mencipta impak tersendiri.

KOMEDIAN PERLU BIJAK

“Terus terang saya katakan yang sebenarnya saya tak pandai nak buat lawak. Apa yang saya lakukan ialah sebagai pemegang watak komedi, saya akan berimaginasi dengan teknikteknik tertentu. Tambahan pula, saya gemar memerhati persekitaran dan orang sekeliling. Terdapat satu individu itu saya perhatikan gemar menjelirkan lidahnya tiap kali melihat perempuan. Reaksi miangnya itu saya terapkan dalam watak komedi saya. Boleh dianggap setiap penjiwaan watak saya adalah berdasarkan pemerhatian hari-hari.”

Pada 2011, Jalil Hamid pernah melibatkan diri dalam program Maharaja Lawak Mega. Pada mulanya, dia kurang senang untuk menyertai program kegemaran ramai tersebut. Hematnya, lawak tak boleh dipertandingkan. Setiap individu punya stail masing-masing. Dalam dunia lawak, bukan ada satu jenis sahaja. Tetapi atas pujukan kawan-kawan dan sekadar ingin berseronok bersama kawan-kawan lama, dia bersetuju untuk mempertaruhkan bakat yang ada. Tambahnya lagi, tanggungjawab seorang pelakon itu pelbagai.

Selain berbakat, pelakon komedi harus bijak berkreativiti. Penyampaian komedi perlulah pelbagai agar tidak mendatar. Kalau tak penonton akan cepat bosan. Jalil Hamid berkata bahawa komedian perlu bijak mengasah bakat komedi mereka.

“Memang tak mudah nak menjadi komedian yang relevan sepanjang zaman. Misalnya, saya tak pernah terfikir bahawa lagu Ayam akan mendapat sambutan menggalakkan walaupun digelak ketawakan. Akan tetapi lagu tersebut mengutarakan subjek cerita yang dekat dengan kita.”

Tanpa ragu, sekarang memang era kebangkitan pelawak. Pelawak boleh jadi kaya-raya mengalahkan penyanyi. Nama-nama baru telah rancak meniti di bibir penggemar komedi bagi meneruskan legasi baru komedi tempatan. Kehadiran pelawak generasi baru tak bermakna komedian veteran akan diketepikan. Sebagai bukti, anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin 2016 menerusi Calon Syurga milik Jalil Hamid. Biarpun bukan memegang watak komedi, namun dia berupaya merevolusikan bakat berlakonnya dengan variasi karakter.

“Kemenangan tersebut membuatkan saya sentiasa mengucap rasa syukur. Nasihat saya, sebagai pelakon terutamanya yang senior jangan ketinggalan dengan perkembangan semasa. Dalamilah pengetahuan baru mengenai keadaan semasa. Jangan mudah berpuas hati dengan mutu lakonan sendiri agar lakonan tidak nampak statik.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.