DI SEBALIK SEKEPING POTRET

Selain rencana biografi yang berkongsi kisah penuh inspirasi, ruangan Profil juga telah menyajikan koleksi potret yang ikonik dan istimewa

GLAM Lelaki (Malaysia) - - PROFIL RETROSPEKTIF - Teks: Abdul Aziz Draim Gambar: Arkib GLAM Lelaki

Dimuatkan pertama kalinya dalam isu #7 pada tahun 2010, naskhah yang menampilkan Dato’ Hans Isaac di muka depan, ruangan Profil menampilkan biografi ringkas personaliti-personaliti yang memberi kami inspirasi melalui bakat, dedikasi dan sukses yang mereka kecapi dalam bidang kerja masing-masing. Profil memberi kami peluang untuk mengenali namanama ini secara personal, mempelajari jatuh-bangun perjalanan hidup mereka dan menyiasat motivasi yang membakar semangat mereka untuk merealisasikan suatu impian.

Umpama ‘mini- Cover Story’ yang mendukung paparan cerita muka depan utama, Profil mengajak pembaca untuk berkenalan dengan golongan kreatif dan profesional yang kebiasaannya sukar untuk dikenali dengan lebih dekat kerana bukan semuanya bergelar ahli show business yang kerap mendapat liputan media. Malah, sungguhpun kita sudah biasa membaca nama-nama sesetengah daripada mereka dalam berita perniagaan atau hiburan, ada juga muka-muka di belakang tabir atau di luar dunia glamor yang belum diketahui masyarakat arus perdana namun GL rasa wajar untuk dikongsikan bersama para pembaca.

Misalnya, Khai Aziz, aktivis dan pengasas Drug Free Youth Association yang memperjuangkan mesej antidadah melalui medium muzik, fesyen dan seni. Atau Nazehran Jose Ahmad, anak kelahiran Kota Bharu yang dicalonkan untuk Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin melalui novelnya ‘ The Michelangelo Code’. Dan Pendebat No. 1 Asia, Syed Saddiq yang mempertahankan hak masyarakat untuk bebas bersuara.

Sudah tentunya, ikon-ikon fesyen tanah air juga diberi

spotlight dalam ruangan Profil. Bermula dengan pengasas dan pengerusi Festival Fesyen Islamik (IFF), Dato’ Raja Rezza Shah Raja Zurin, diikuti pereka-pereka seperti Bon Zainal, Tengku Syahmi, Moto Guo, Joe Chia dan Jovian Mandagie yang bercerita mengenai komitmen mereka kepada industri busana ini. Tidak lupa juga tokoh-tokoh perniagaan seperti pengarah urusan Zalora, Giulio Xiloyannis, pengarah urusan Habib Jewels, Dato’ Meer Sadik Habib, juga barisan peneraju arena penyiaran dan media massa seperti orang kuat Primeworks Studio, Ahmad Izham Omar, serta pengasas Feisk Productions, Iskander dan Feisal Azizuddin.

And of course, wakil-wakil dunia seni yang sudah sebati dengan DNA GLAM Lelaki. Yang termasuk warga-warga komuniti teater seperti Boudeng Edruce, Khalid Salleh, Hariry Jalil, juga barisan pelakon Di Bawah Lindungan Kaabah (Adi Putra, Elfira Loy dan Taufiq Izmir). Dunia perfileman pula pernah diwakili oleh pengarah U-Wei Haji Saari bersama pelakon Datin Sofia Jane dan Diana Danielle untuk filem Hanyut, disusuli aktor Beto Kusyairy bersama Hasnul Rahmat dan Zamarul Hisham. Sebagai satu ‘surprise’ untuk para peminat, ruangan Profil juga pernah menyatukan semula para pelakon filem Kami The Movie dan Mukhsin. Malah, para pelakon itu sendiri tidak diberitahu mengenai reunion itu. (“Oh my God! You guys are shooting KAMI, aren’t you?!” luah Liyana Jasmay apabila melihat Juliana Evans, Syahrul Ezani dan Nas-T pun berada di studio).

Selain wawancara mendalam, Profil turut memberi GL permisi untuk mengabadikan subjek-subjek kami dalam medium potret. Intim, ikhlas dan ikonik, koleksi imejan ini mewakili personaliti dan kisah hidup di sebalik setiap satu subjeknya. Sempena ulangtahun GLAM Lelaki yang ke-10 ini, kami himpunkan kembali beberapa potret Profil yang telah menghiasi halaman GL sepanjang satu dekad ini, khas buat tatapan anda.

Siti Saleha, aktres (OKT 2014)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.